Friday, October 31, 2008

MENYAMBUT HARI KEMENANGAN

“ Ya Allah, Ya Tuhanku…Engkau jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik buatku, Engkau terimalah segala amalanku, meski aku tahu terlalu banyak kekurangannya, meskipun aku malu untuk mempersembahkannya kepada-Mu, namun terimalah ya Allah dengan segala kekurangan....”
Mama sendirian bersama ayah bonda mama di pagi raya.

Ramadhan telah meninggalkan kita dan kita juga telah tinggalkan Ramadhan. Serasa sedih dan sebak, adakah mama sempat lagi bertemu Ramadhan yang akan datang. Jika ini, Ramadhan yang terakhir buat mama, mohon Allah menerima taubat dan amalan mama.
Sebahagian kecil cucu Tok Mek dengan wajah riang ria.

1 Syawal mama lalui dengan kesedihan yang tersembunyi. Kesedihan yang mama yang tak mampu ungkap dengan kata-kata. Ayah tiada di sisi mama untuk merayakan hari kemenangan besar ini, hari di mana manusia kembali kepada fitrahnya, setelah sepurnama mentarbiyah jasad dan roh. Mama pulang ke rumah bonda di Dungun, setelah 2 hari sempat berpuasa bersama ayah bonda di Kelantan. Memang keletihan mama memandu, mengambil masa 4 jam lebih juga jarak rumah ayah bonda Dungun dan Bachok. Alhamdulillah, Auntie Huda sentiasa bersama mama dalam setiap perjalanan.

Auntie Huda dan anak saudara mama, Alya Nadhirah di pagi 1 Syawal.

Demi menjaga hati kedua-dua belah pihak, mama berulang alik dari Dungun ke Bachok beberapa kali. Kedua-dua mama sayang dan kasih, kedua-dua juga mama mohon keredhaan. Alangkah bagus, jika ayah ada di sisi. Raya ke 2 mama pulang ke Bachok lagi. Meriah di rumah Tok Mek (bonda ayah) berbeza dengan rumak Nenek (bonda mama). Rumah Tok Mek gamat dengan suara cucu-cucu Tok Mek yang ramai. Kedukaan mama terubat dengan gelak dan tawa anak-anak saudara.

“Ya Allah.. Kau selamatkan keluarga kami dari azab api neraka-Mu. Lindungi keluarga kami dari fitnah dunia dan fitnah akhirat. Jadikan keluarga kami, hamba yang sentiasa mengingati-Mu...”

Mama bersama sahabat-sahabat di perkarangan Balai Islam, Lundang, Kota Bharu.


Hari raya ke 3, mama sempat menghadiri majlis lebaran bersama Tok Guru Nik Abd. Aziz di Balai Islam, Kota Bharu. Program ini anjuran Markaz Siswazah Kelantan (MSK). Pagi tu, mama bergegas keluar kerana sudah kelewatan, majlis bermula pukul 8.30 pagi. Tanpa mama sedari, telefon bimbit mama tertinggal. Ya Allah, subhanamalla yana mu wala yashu.. Mama memandu dengan gelisah, mama tak sempat memaklumkan pada ayah yang mama mahu ke program tu. Mama bersama Auntie Huda dan Auntie Rad menuju ke Balai Islam.

Ketika majlis lebaran mahasiswa/siswazah Kelantan.


Sesampainya, majlis telah bermula. Dan tak berapa lama kemudian, mama dapat panggilan dari ayah melalui handphone Auntie Huda. Mama rasa lega sangat. Kalau tidak, hati mama tak tenang, seperti ayah tidak meredhai pemergian mama.

“Ya Allah..ku mohon redha-Mu atas keredhaan suamiku.. Tanpa redha suamiku, ku hilang redhaMu... Tanpa redha-Mu, hidupku langsung tiada berguna...”

Lebaran bersama keluarga di kampung, mama rasakan begitu singkat pada raya. Pada petang raya ke 3, mama pulang ke rumah Nenek di Dungun. Dan terus pulang ke Kuala Lumpur pada pagi raya ke 4. Mama terpaksa pulang awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bila mama fikir balik, serasa tak termampu mama bersendirian pulang ke kampung. Kekuatan ini kurniaan dari Allah dan dari ayah. Ayah adalah kekuatan mama.....

BALIK RAYA TANPA AYAH

Mama habiskan waktu bertugas dengan hati yang membuak-buak untuk pulang ke kampung. Begitu rindu untuk menatap wajah ayah bonda di Dungun dan Bachok. Rindu pada ayah lebih-lebih lagi, hanya hati yang merintih tanpa siapa yang melihat. Hanya Allah tempat mama lempiaskan rindu ini. Tidak tertanggung rasanya keperitan ini…
Ayah sudah mengingatkan mama untuk tidak memandu pulang sendirian. Alhamdulillah Auntie Huda (Nurul Huda Bt Aziz@Salim) mahu beraya bersama mama tahun ini. Lagi bernasib baik, anak saudara mama, Nora dan seorang lagi adik seusrah mama Auntie Radiah turut pulang bersama mama. Kami bertolak seawal 7.30 pagi pada hari Sabtu 27 Sept 2008. Tanpa mama rancang, Uncle TG dan sahabat-sahabatnya bersama Huzaifah (nama kereta Uncle TG) bertolak pulang sejalan dengan mama. Dengan nama Allah, kami mulakan perjalanan pulang beraya dengan hati yang tidak sabar bertemu sanak saudara..
Auntie Rad, Kak Nora dan Auntie Huda ketika singgah
di Hentian Temerloh sebelum kejadian.
Kita merancang, Allah jua merancang.. BURAQ (nama kereta mama & ayah) mendapat kecederaan di kakinya (tayar). Mama mengucap syukur pada Allah, dalam kelajuan yang mama pun tak tahu berapa (meter Buraq rosak baru kelmarin, tak sempat baiki), mama dapat mengawal stereng, dari line 3, mama terus ke tepi highway. Kejadian berlaku dekat Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat dengan Maran. Mulanya mama ingatkan pancit. Syukur lagi mama panjatkan pada Allah, on that time jugak ada peronda lebuhraya tiba dan terus menolong mama menukar tayar spare. Kalau tidak, tak tau nak minta tolong pada siapa. Tayar Buraq pun mama tak mampu nak angkat. Alhamdulillah..Allah yang Maha Penolong..Rupanya tayar Buraq bukan pancit, tapi PECAH! Ya Allah, kau selamatkan aku ya Allah…terima kasih ya Allah…



Peronda lebuhraya sedang tukar tayar spare pada Buraq

Seperti yang telah Allah rancang, Uncle TG ada untuk teman uruskan tayar Buraq. Mama, Auntie Huda, Auntie Rad dan Nora semua perempuan, ada batas dan had kemampuan. Tapi Allah permudahkan kami dengan rancangan yang mama sendiri tidak sedari. Selepas tukar tayar spare, mama exit di Kuantan dan terus cari kedai tayar untuk tukar tayar baru. Akhirnya Buraq dan Huzaifah teruskan perjalanan pulang sehingga sampai ke destinasi dengan selamat. Syukur padaMu, Ya Allah.. Kau telah selamatkan perjalanan kami ini...

Sebahagian kecederaan yang dialami pada kaki Buraq.


Buraq sedang dirawat kat satu workshop dekat Kuantan.Tukar 2 biji tayar depan baru.

MENCARI MALAM LAILATULQADAR

“Malam lailatul qadai itu lebih baik daripada seribu bulan” (alQadr: 3)

Kasih sayang Allah itu tidak terbatas dengan hanya penciptaan alam dan segala isinya. Malah kita dikurniakan dengan satu malam yang terlalu istimewa. Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak berlipat ganda, pasti malam ni amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadat selama 83 tahun 4 bulan.

Setiap dari kita pasti tertanya-tanya, bilakah berlakunya Lailatulqadar? Persoalan itu turut mama fikirkan. Tapi mama teringat kata-kata ayah, kenapa perlu fikir bila malam Lailatulqadar? Kita ini kuat beribadah hanya pada malam itu?? Lalu, di mana ikhlas kita?

Benar. Jika kita ini hamba yang ikhlas, tanpa mengira batasan waktu, kita tetap beribadah kepadaNya. Namun, LailatulQadar adalah tawaran hebat dari Allah. Kehebatan malam Lailatulqadar juga digambarkan oleh allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tiada keburukan sehingga terbit fajar. Malam itu para malaikat mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman. Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam istimewa ini.

Nabi Muhammad saw sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebajikan dan kasih sayang Allah swt. Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa, “Kebiasaanya Rasulullah saw berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan malam-malam yang lain.” Malam itu diisi dengan amal ibadah sepenuhnya kerana tiada lagi malam yang lebih baik untuk beribadah kecuali malam Lailatulqadar.

Pesanan mama untuk anak-anak mama, hidupkanlah malam lailatulqadar dengan amal ibadah yang benar-benar ikhlas, berdoa dan bersungguh-sungguh untuk mencari keampunan dan keredhaanNya. Serasa amat rugi melepaskan peluang keemasaan ni untuk bertaubat sebanyak-banyak taubat nasuha, moga dosa-dosa lampau diampunkan Allah. Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walau bertongkat, hatta mengengsot sekalipun. Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa kita sedar sama ada kepada Allah, ibu bapa mahupun orang sekeliling kita.

“Ya Allah, Ya ‘Aziz...Kuatkan aku Ya Allah..jangan tidurku itu melebihi ibadah kepadaMu. Kuatkan aku untuk bangun menghadapMu.. Temukan aku dengan malam Lailatulqadar, temukan aku dengan malam keampunanMu...”

Ayah tanpa jemu mengingatkan mama untuk sama-sama mencari lailatulqadar. Pukul 4.07 pagi, mama dikejutkan dengan SMS dari ayah, “Salam sayang untuk isteri tercinta. Bangunlah bertahajud mencari cinta dan kasih sejati dari allah. Selamat mencari lailatulqadar...” Sering mama dikejutkan dengan SMS dan panggilan dari ayah.. Bertambah membuak hati ini untuk bertemu dengan lailatulqadar..

“Ya Allah, demiMu ku menyintai suamiku. Matikan aku dan dia dalam agamaMu, dan matikan kami kerana mempertahankan agamaMu. Terimalah segala amalan kami dan temukan kami dengan malam Lailatulqadar..”

23 Ramadhan 1429

YA ALLAH, TUHAN YANG MAHA PENYEMBUH

Entah mengapa semalam tiba-tiba kepala mama sakit teramat sangat seperti ada sesuatu yang sedang mengetuk-ngetuk otak mama. Badan mama mula terasa panas tetapi sejuk di dalam. Berbuka puasa, mama terpaksa berselimut kerana kesejukan. Lalu sejurus selepas berbuka puasa, mama solat maghrib dan hanya mampu membaca Al-Quran satu muka sahaja, lantaran kepala mama semakin kuat berdenyut. Sebiji ulphamol tak mencukupi untuk menghilangkan kesakitan ini.

Ya Allah, dugaan apa yang Engkau timpakan ini… Sembuhkan aku dari kesakitan ini, Ya Allah yang Maha Mengasihani.. Lalu mama turun ke bawah dan menelan 2 biji lagi uphamol. Mama tahu 3 biji pil itu sudah melebihi dos yang dibenarkan, tapi mama tidak mampu menahan kesakitan ini. Lalu mama naik dan berbaring. Adik mama iaitu Iza masuk melihat keadaan mama, mama hanya mampu meminta Iza menutup lampu dan seperti sudah tahu dengan kebiasaan mama, Iza memasang lampu garam bukit. Mama memejamkan mata, dengan hati berzikir menyebut nama Allah, moga kesakitan ini akan lenyap dengan mengingati Allah…


Tanpa mama ketahui jam berapa, mama terlena sepanjang malam dan mama dikejutkan dengan mimpi bertemu ayah. Wajah ayah muncul dalam mimpi mama dalam keadaan yang sungguh bercahaya dan tampak tenang. Mama sangkakan ayah pulang….tapi dalam mimpi tersebut ayah hanya tersenyum tanpa sebarang bicara. Mama terus terjaga dan melihat jam pada telefon bimbit mama, Ya Allah…sudah pukul 4.00 pagi! Mama bergegas bangun kerana mama belum solat Isyak. Dengan sedikit waktu yang ada selepas solat Isyak, mama bertahajud dan bertarawikh. “Ya Allah, dengan berkat bulan Mu yang mulia ini, selamatkan suamiku dan jauhi dia dari sebarang penyakit dan musibah. Sampaikan rindu dan kasihku padanya dan jika ditakdirkan antara kami ada yang pergi dulu, temukan kami kembali di akhirat sana Ya Allah, Tuhan yang menyatukan hati….”


Alhamdulillah, syukur sangat mama bila kesakitan yang dirasai sudah hilang dan badan mama pun sudah hilang panasnya. Ya Allah..sihatkan tubuh badanku untuk terus beribadat kepadaMu, jangan kau timpakan aku dengan ujian yang tidak mampu aku pikul.. Dengan rahmatMu ya Allah, temukanlah aku dengan malam lailatul qadr, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan”


Hari ini mama lalui dengan penuh kesyukuran atas kesihatan yang Allah berikan. Malam ini juga mama dapat bertarawikh seperti biasa di Surau Ad- Diniyyah serta bertadarus seperti malam-malam sebelumnya. Cuma malam ini ada kelainan sedikit. Oleh kerana semua kumpulan tadarus sudah menghabiskan bacaan yang ditetapkan, sahabat-sahabat Muslimat ini akan melihat dan memperbetulkan bacaan kumpulan Tadarus kanak-kanak pula. Bahagia sungguh mama berada dalam komuniti ini, penuh kekeluargaan dan menitik beratkan soal didikan anak-anak. Walaupun tak semua, tetapi usaha untuk ke arah itu jelas terpamer. Mama mendengar bacaan dari seorang anak bernama “Dayah”. Alangkah indahnya, jika tika ini mama turut mempunyai anak perempuan…. “Ya Allah kurniakan aku zuriat yang soleh solehah yang bisa menjadi pembela agama Mu kelak..”


Malam ini mama dan Auntie Iza balik sedikit awal. Auntie Iza tidur awal dan mama masih berjaga untuk menyiapkan tugasan sekolah mama. Mungkin malam ni, mama tak tidur… Ada sesuatu mama mahu buat… demi mencari cinta hakiki, kasih sejati.. Mama risau mama tak sempat untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Jika itu takdiran mama, mama redha..tetapi mama mesti bersedia. “Ya Rabbul ‘Izzati…terimalah segala amalanku Ya Allah.. jangan Kau campakkan kembali ia seperti kain buruk. Sesungguhnya aku terlalu hina Ya Allah…lebih hina daripada sampah.. Matikan aku dengan pengakhiran yang baik, matikan aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu, matikan aku dalam keredhaan suami dan ibu bapaku, matikan aku dalam keredhanMu dan Rasulullah SAW insan mulia….”


20 Ramadhan 1429

Friday, October 24, 2008

BERSAHURLAH...................

Balik daripada terawih, mama baca SMS daripada ayah. SMS tu sampai pada pukul 9.33 malam. Mama agak di tempat ayah baru pukul 4 petang lebih kurang. SMS ayah buat hati mama sebak:
“Salam sayang dan rindu di bawah bayangan kaabah buat isteri
tersayang. Kutulis kata sayang dengan tinta air mata, di atas
sejadah dalam masjidilharam buat isteri yang sentiasa bertakhta
di hati. Moga hati dan lidahmu ringan mengingati Allah di bulan barakah ini...”


Peringatan demi peringatan untuk mama walaupun ayah berada di kejauhan. Syukur padaMu, Ya Allah...mengurniakan seorang suami yang bisa memimpinku ke jalanMu. Ayah tanpa jemu mengejutkan mama bertahajud dan bersahur. Ya..bersahur..kelemahan mama dari dulu, tidak suka bangun bersahur. Tidak kira puasa wajib mahupun sunat, mama terlalu jarang bersahur. Namun, ramadhan kali ini mama berusaha melawan kelemahan ini. Mama tetap bersahur, walaupun sekadar minum air dan makan sebiji kurma.

Mama sangat berterima kasih kepada Auntie Iza kerana sering menyediakan sahur untuk mama. Pernah sekali mama terleka di tikar sejadah, mama tak sedar waktu sahur hampir semput, Auntie iza naik ke bilik mama membawa segelas air. Terima kasih, iza...

Sungguh terlalu banyak hikmah dalam bersahur. Rasulullah saw pernah bersabda, “Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seseorang kamu hanya minum seteguk air.” [HR Ahmad]

Selain mendapat pahala kerana mengikut sunnah Rasulullah saw, dengan bersahur juga mendapat keberkatan kerana ia menguatkan jasmani bagi orang yang berpuasa untuk beribadat dan meningkatkan rohani orang berpuasa dari segi keikhlasan beribadat. Seperti ramai yang sedia maklum, waktu sahur juga merupakan waktu doa mudah dimakbulkan Allah swt. Bersahur juga melatih kita menjaga kesihatan dari segi pemakanan kerana kita digalakkan bersahur dengan makanan yang mudah hadam, kurang atau tudak pedas serta di akhiri dengan susu.

Selain yang mama sebutkan di sini, masih ada lagi hikmah dan kebaikan bersahur. Pesanan untuk anak-anak mama, jangan tinggalkan amalan bersahur kerana lebih mementingkan tidur. Bangunlah untuk mendapatkan pahala dan limpah kurnia Allah. Nikmatilah dua hidangan yang amat berkat di bulan yang penuh barakah ini, iaitu hidangan berbuka dan hidangan bersahur. Betapa malangnya orang yang diberi makan kemudian diberi pula pahala, lalu dia tidak mahu menerimanya. Bersahurlah.....

12 Ramadhan 1429

LEBURKAN DOSA DI TAPAK TANGAN

“Ya Allah…Ya Rabbul ‘Izzati..
Aku hamba berdosa, Aku hamba yang hina,
Aku banyak beralasan dalam menjalankan perintahMu
Aku sangat lemah melawan hawa nafsuku
Dan sering kali taubatku berpaling
Serasa tidak sanggup menghadap-Mu lagi
atas kehinaan diri ini
Kau dengarkan pintaku ini Ya Allah
Ku rintih keampunan daripada Mu, Ya Ra
hman
Ku rayu cinta Mu untukku, Ya Rahim..
Dengan berkat dan rahmat Ramadhan Mu..
Terimalah taubat dari hamba Mu ini…”

Mama titipkan dua potong hadith:

“Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, keinsafan
dan harapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” [HR Al Bukhari]

Ubadah b. Samit r.a. meriwayatkan pada suatu hari ketika Ramadhan
hampir tiba, Rasulullah saw bersabda : “Telah datang kepadamu
bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya
dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampunkan dosa-dosa
kamu dan memakbulkan doa-doa kamu.” [HR Tabrani]

Tawaran yang cukup hebat ini tidak sepatutnya kita sia-siakan begitu sahaja. Ramadhan juga adalah bulan yang menunjukkan sifat pemurahnya Allah swt kepada hamba-hambaNya. Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya dan memakbulkan doa hamba-hambaNya. Memandang ke dalam diri, mama berbisik...”Allah terlalu bermurah kepada aku. Jika aku tidak memohon, angkuh sangat diri aku ini! Sombong benar aku ini!”

“Ya Allah...tolonglah aku untuk hanya berdoa kepadaMu. Tolonglah aku untuk hanya beribadah kepadaMu dan ampunkanlah dosa-dosa ku yang terlalu banyak tidak terkira ini, Ya Allah...”

Doa bagi mama adalah peneman setia, penguat jiwa dan penenang hati. Mengangkat dan menadah tangan menghala ke langit, satu bentuk pengabdian dan pengharapan kepada Tuhan yang tiada sekutunya. Doa adalah senjata mukmin! Benar..doa adalah senjata. Dengan hati yang sentiasa berdoa, mama menjadi lebih tabah melalui hari-hari tanpa ayah. Bayangkanlah....setiap detik mama merindukan ayah dan risaukan keadaannya. Dan yang hanya mampu lakukan adalah doa, doa dan terus berdoa... Dengan harapan, ayah selamat dan sentiasa dalam lindungan Allah. Hanya pada Allah mama bergantung harapan dan kerinduan. Tanpa doa, mungkin sekali hati mama takkan tenang. Tanpa doa juga, mungkin sekali mama tidak keruan. Lalu tahulah mama, kenapa doa itu dikatakan senjata.

Pada malam ini, tazkirah Ramadhan di surau juga berkisar tentang doa. Sering orang berdoa berputus asa. Katanya, Allah tidak mendengar pintaku, Allah tidak kasihankan aku. Namun sedarkan kita? Terdapat beberapa sebab kenapa doa kita tidak diterima oleh Allah. Antaranya :
1.Kamu melakukan kemungkaran dan maksiat, tetapi tidak bertaubat dan menyesal.
2.Kamu mengaku hamba Allah, tetapi tidak melaksanakan perintahNya, malah melakukan laranganNya.
3.Kamu mengaku umat Nabi Muhammad saw, tetapi tidak mengikut sunnahnya.
4.Kamu mengaku dunia ini tidak berharga, tetapi selesa dengannya.
5.Kamu mengaku bahawa dunia ini sementara, tetapi amalan kamu seolah-olah mahu kekal di dalamnya.
6.Kamu mengaku akhirat itu kekal, tetapi kamu duduk di atas dunia seperti selama-lamanya.

Jadi, doa perlu diiringi dengan amal solah dan keikhlasan. Waktu yang paling mujarab untuk berdoa adalah di waktu sepertiga malam. Di kala ramai yang lena diulit mimpi, kita bangun menunaikan solat sunat, bermunajat, berdoa dan merintih memohon keampunan daripada Allah. Indahnya tika itu mama rasakan sehingga tiada kata boleh diungkapkan akan keindahan berbicara dengan Pencipta yang Maha Pengasih. Ayah pula saban malam tanpa jemu mengejutkan mama bertahajud, meskipun berada di kejauhan.. “Terima kasih, sayang... Cintamu padaku adalah keranaNya. Ya Allah yang menguasai hati-hati ini. Teguhkan kami pada jalanMu, Matikan kami dalam agamaMu...”

Untuk anak-anak mama, yang bakal meneruskan perjuangan yang bukan sedikit membenci, jadikan doa sebagai senjata kalian. Nescaya, Allah akan memberikan kekuatan kepadamu..

09 Ramadhan 1429

Thursday, October 23, 2008

INNI AKHAFULLAH : Sesungguhnya aku takutkan Allah


Entry kali ini mama akan sampaikan satu kisah yang mama dengar dari tazkirah ramadhan malam tadi. Kisah seorang pemuda soleh yang hatinya sentiasa berada di masjid. Pemuda ini juga berguru atau dengan kata lain belajar agama dengan seorang Tuan Guru yang ‘alim. Pemuda ini memiliki rupa paras yang tampan dan menarik.

Pada suatu hari, ketika sedang berjalan menuju ke masjid seperti kebiasaannya, terdengar suara seorang perempuan memanggil-manggil.

“Wahai pemuda….. wahai pemuda yang budiman, aku perlukan bantuanmu.”

Dengan hati yang ikhlas, pemuda itu mendekati perempuan tadi seraya bertanya, “bantuan apakah yang boleh aku hulurkan?”

“Aku mahu mengalihkan sebuah almari, tetapi tidak terdaya kerana aku ini wanita yang lemah kemampuannya,” jelas perempuan tadi.

“Jadi di mana almari itu?,” Tanya pemuda itu lagi.

“Di dalam…” jawab perempuan tadi lalu berjalan masuk ke dalam rumahnya. Si pemuda menuruti langkah perempuan tersebut. Perempuan tadi memasuki sebuah bilik tidur. Tanpa syak wasangka, si pemuda turut masuk ke dalam bilik tersebut.

“Jadi, di mana almarinya?” Tanya pemuda dalam kebingungan setelah melilau matanya mencari almari yang dimaksudkan.

“Almari itu adalah aku. Angkatlah aku ke katil itu. Tiada siapa di sini melainkan kita berdua.” Si perempuan terus mengunci pintu bilik tersebut.

Dengan hati yang terkejut, maka diketahuilah niat sebenar si perempuan tadi. Di kala rayuan si perempuan mendayu-dayu menggoda, si pemuda berdoa dan beristighfar dalam hatinya. Secara tiba-tiba, pemuda tersebut mendengar suara yang entah dari mana datangnya, mengarahkannya masuk ke dalam bilik air yang kebetulan berada di dalam bilik tersebut.

“Wahai perempuan, aku ingin ke bilik air sebentar. Biar lepas hajatku dulu, barulah boleh aku lepaskan hajatmu,” si pemuda berhelah. Si perempuan mengangguk sambil menguis-nguis kakinya dengan gaya menggoda.

Di dalam bilik air, si pemuda buntu kerana tiada jalan keluar melalui bilik air tersebut. Dengan hati yang tanpa henti berdoa dan meminta pertolongan Allah untuk dilepaskan daripada godaan perempuan tersebut. Sekali lagi, terdengar suara membisikkan supaya pemuda mengambil najis daripada lubang tandas itu, lalu melumurkannya ke seluruh badannya. Walaupun tindakan itu begitu menjijikkan, tetapi demi menyelamatkan diri daripada zina, si pemuda tanpa teragak-agak terus menuruti bisikan tersebut. Dicelupnya tangan ke dalam lubang najis, dan dilumur ke badan dan muka.

Lalu si pemuda keluar daripada bilik air. Si perempuan terkejut besar dan terus memaki hamun si pemuda atas perlakuan si pemuda yang disangka gila. “Engkau keluar dari sini, sungguh celaka perbuatan kamu ini. Busuk! Jijik!” Perempuan tadi terus membuka pintu biliknya.

Si pemuda terus keluar daripada bilik tersebut dengan penuh rasa syukur. Dengan tergesa-gesa dia, menuju ke masjid dan membersihkan dirinya. Setelah yakin dirinya sudah bersih dan tidak berbau najis, si pemuda masuk ke masjid dan terus mendirikan solat. Kemudian, dia terus duduk dalam halaqah pengajian seperti kebiasannya. Ketika itu, Tuan Guru sudah memulakan pengajaran.

Dengan tiba-tiba, Tuan Guru itu bertanya, “Bau apa ini? Dari siapa bau ini datang?” Si pemuda itu serba salah dan tidak senang duduk kerana khuatir bau itu datang darinya. Dia yakin bahawa dia benar-benar sudah membersihkan najis tadi sehingga hilang baunya. Sekali lagi terdengar, Tuan Guru bertanya dengan soalan yang sama tetapi dengan nada yang lebih keras.

Akhirnya, si pemuda tampil dan mengaku mungkin bau itu datang darinya, lalu memohon maaf kepada semua yang hadir dan juga Tuan Gurunya itu. Tuan Guru terus menghampirinya dan meminta pemuda menceritakan apa yang telah terjadi pada dirinya. Lalu diceritakan apa yang telah terjadi dan terus Tuan Guru memeluknya seraya berkata, “Ini adalah bau-bauan daripada syurga.”

Begitu alkisah yang telah diceritakan oleh Ust. Ghazali di surau Ad-Diniyyah. Mama sendiri tidak pasti sumber utama kisah ini, tetapi ia cukup untuk memberikan iktibar dan teladan buat kita dalam meniti hidup seharian. Fitnah itu cukup banyak dan di mana-mana boleh terjadi. Terpulang pada diri bagaimana untuk elak daripada fitnah, fitnah dunia dan fitnah akhirat.

Selain daripada itu, godaan wanita tadi sebenarnya menguji keimanan si pemuda yang hatinya terikat dengan masjid dan sejauh manakah solat yang didirikan boleh mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran dan maksiat.

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; pemuda yang hatinya terpaut pada masjid; 2 pemuda yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; pemuda yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” [Riwayat Muslim]

Mama teringatkan ayah lagi… Pernah satu tika ayah beritahu mama, tempat solat lelaki adalah tempat di mana azan dikumandangkan. Mama bangga mempunyai suami seperti ayah, tempat solatnya adalah masjid@surau.. Moga Allah meletakkan ayah dalam golongan yang mendapat lindungan arasyNya. “Ya Allah…selamatkan suamiku walau di mana dia berada dan lindungi dia dari segala kesusahan dan musibah. Kuatkan aku, ya Allah untuk terus beribadah kepadaMu…”

08 Ramadhan 1429