Wednesday, December 5, 2012

Saat kelahiran Mujahidah Solehah

Assalamu'alaikum wbt anak mama.. Sungguh mama menyesal kerana melihat Mujahidah membesar tanpa mama mencatat apa pun.. Mana lah tahu mama pergi menghadap Ilahi tanpa sempat mama menceritakan semuanya kepada Mujahidah..

Tanggal 30 Disember 2012 bersamaan 23 Muharam 1432 pukul 11.59 pagi, mama selamat melahirkan Mujahidah di Hospital Selayang secara ceasare. Hanya Allah yang tahu betapa gembira mama dan ayah menyambut kelahiran Mujahidah. Bila teringatkan kegembiraan itu bisa mengalirkan air mata. Manakan tidak, saat kehadiran Mujahidah sangat dinanti-nantikan oleh mama dan ayah setelah sekian lama.  Mama mengandungkan Mujahidah setelah 4 kali keguguran tanpa dapat dikenal pasti punca sebenar. Mama dan ayah dah jenuh berulang-alik turun naik hospital, PPUM, Hosp Selayang dan Gombak Medical Centre.

Bila mama dapat tahu mama dah pregnant?? Semasa mama berhempas pulas bersama sahabat-sahabat mama dalam Pilihan Raya Kecil Ulu Selangor, mama dah rasa lain macam, terasa pening dan loya-loya. Sebaik sahaja selesai PRK, sah mama pregnant! Mama masih ingat mama buat urine test di sekolah sebab tak sabar-sabar.. Mmg keputusannya +ve! Perasaan mama berkecamuk.. kerana apa? Mujahidah cuba baca entri mama ni di sini. Mujahidah boleh memahaminya kan??

Akhirnya, dengan ayah di sisi mama, sentiasa meniupkan semangat dan sokongan kepada mama. Mama lalui hari-hari membawa Mujahidah di dalam rahim mama dengan sejuta pengharapan daripada Allah. Mama terus mengambil cuti sejurus dapat tahu kehadiran Mujahidah dalam rahim mama. Mama terus menghadkan segala pergerakan dan aktiviti mama semata-mata untuk seorang anak. Itu lah Mujahidah. Pernah juga mama bleeding, terus ke hospital. Hanya Allah yang tahu kerisauan hati mama dan ayah. Sehinggalah usia kandungan mama tika itu menginjak 3 bulan, baru lah mama mula bekerja. Itu pun dengan pergerakkan yang terbatas.

Hampir setiap malam mama dan ayah solat hajat memohon perlindungan dan keselamatan untuk Mujahidah. Alhamdulillah syukur yang tiada berkesudahan, sehinggalah usia Mujahidah dalam rahim mama mencapai usia 9 bulan. Mujahidah terpaksa mama lahirkan secara ceasare kerana songsang. Bukan mama tidak berikhtiar untuk betulkan kedudukan. Ayah bawa mama 3 kali untuk betulkan kedudukan dengan bidan kampung. Namun, ia tidak berhasil. Mama rasa itu ketentuan yang telah Allah takdirkan untuk mama. Asalkan Mujahidah selamat, itu yang utama!

Kesakitan selepas kelahiran mula mama rasai pada waktu lewat petang. Tapi kesakitan mula hilang melihat Mujahidah berada di tepi katil mama di hospital.. Bila sahabat-sahabat tanya mama, nak bagi nama apa anak mama ini? Spontan mama jawab, "Mujahidah Solehah". Mereka ingat mama bergurau. Ye la, jarang kot orang bagi nama ni. Ia hanya dipakai sebagai gelaran bagi sesetengah muslimat dalam  FB atau email. Lalu malam kedua mama di hospital, mama uruskan Mujahidah sendiri sebab nenek x boleh tunggu seperti malam pertama mula-mula Mujahidah lahir. Mujahidah menangis tengah-tengah malam. Dalam menahan kesakitan dna kepayahan pergerakan yang terbatas kesan ceasare tu, mama memujuk Mujahidah, tengah Mujahidah melalak sakan, mama terus je panggil nama "Mujahidah!" Dengan serta merta Mujahidah terus terdiam. Saat itu, mama terus bertekad untuk namakan anak mama ini Mujahidah Solehah Binti Mohd Rapi Al-Jundi. 

Ya Allah sesungguhnya nikmat Mu terlalu banyak sehingga tidak mampu aku hitung walau habis usiaku ini.. Terima kasih suamiku kerana tidak jemu melayan dan memenuhi keperluanku sehingga kadang-kadang dirimu penat dan letih.. Terima kasih ayah bonda yang sentiasa mendoakanku...
Mujahidah Solehah ketika mula melihat alam dunia.