Wednesday, November 12, 2008

DEDIKASI MAMA UNTUK AUNTIE IZA

Kembali kita berjauhan
Salam terpisah, senyum tertahan
Rindu berbuah, rasa tertekan
Jauh-jauh begini….
Menguji ukhwah kita

Sendamu tembus di langit kelabu
Setiamu selimut dingin hujanku
Tanpa aliran darah yang sama
kita bersaudara di jalan agama

Salam perjuangan buatmu adik.
Ingatlah,
Kekalahan cuma
satu kemenangan…
yang tertangguh

Jika tak sanggup
mengharung laut kelelahan
Jangan diharap seraut kejayaan
Takkan terjangkau rahsia mutiara
Jika diri tak berani menyelami samudera
Adikku..
Tak perlu kau ukur
ketinggian langit Tuhan
Tapi ukurlah panjang
tali lelayang insan
Setelah penat menyediakan bekal
Istirehatlah sebentar
di perhentian tawakal…

MENANTI DI HUJUNG SYURGA

Suamiku
Bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangan
Mujur....
Cinta kita
Bukan itu lambangnya

Mulutku telah kaku merayu
Hatiku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu....
Kerna kini kau seorang mujahid
Yang rindu memburu syahid!

Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah
Pudar dan hambar di matamu
Padaku yang baru belajar
Menjadi seorang mujahidah...
Dalam tangis ku cuba tersenyum
Tika kau keluar bermusafir
Seperti redhanya Siti Hajar
Walau ditinggalkan Ibrahim
Biarlah kita terpisah
Selalu derita
Kerna syurga menagih ujian berat
Sedang neraka itu....
Dipagar ribuan nikmat!

Monday, November 10, 2008

RINDU YANG TAK TERBENDUNG

Petang tadi, mama pulang dari sekolah dalam kepenatan yang amat sangat. Pagi-pagi lagi hari ini, mama keluar ke Maybank untuk uruskan cek Takaful ayah yang sampai pada hari jumaat lepas. Cek itu perlu mama ‘bank-in’kan hari ini juga sebab mama sudah tidak punya masa lagi selepas ini. Mulai esok mama perlu bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM, jadi pagi-pagi lagi perlu ke pusat peperiksaan.

Selepas urusan bank, mama ke pejabat pos untuk mengepos semua surat tahfiz yang telah Auntie Iza siapkan sebelum dia pulang ke Keratong. Auntie Iza dapat posting mengajar di SMK Keratong. Alhamdulillah…dekat benar dengan rumahnya. Mama tumpang gembira untuk Auntie Iza, walaupun sedih kerana sudah berjauhan dengannya.

Mama ke sekolah awal untuk menyiapkan segala tugasan mama. Segala urusan PEKA sains telah mama disiapkan dengan lebih awal, cuma mama buat re-check risau ada yang tertinggal. Kemudian mama susun fail-fail mama dan kemas kinikan buku kedatangan kelas yang mama jaga iaitu 2 Maju (kelas terakhir dalam tingkatan). Mama perlu serahkan tugas guru kelas 2 Maju kepada guru pengganti, oleh kerana mama sarat dengan tugasan SPBT. Markah bagi kelas yang mama ajar perlu di’key-in’ ke dalam sistem permarkahan pelajar. Dan itu hanya boleh dilakukan hanya pada computer di Bilik Gerakan Sekolah. Niat mama mahu menyiapkan kerja key-in markah seberapa segera, tetapi Bilik Gerakan digunakan untuk mesyuarat Majlis Tertinggi Sekolah pula. Mama mendengus sendiri… Ya Allah..permudahkanlah segala urusanku ini ya Allah.. padaMu tempat segala makhluk kembali…. Jika tak sempat pagi ini untuk ‘key-in’ markah, mama sudah tidak punya masa lain lagi.. Ya, Allah bantulah aku, ya Allah…

Mama menuju ke makmal dengan tujuan menghantar beberapa fail PEKA pelajar yang sudah mama check. Tiba di sana Kak Ina (pembantu makmal) menegur mama yang kelihatan pucat. Mama cuma menjawab mama belum sempat makan, terus tanpa diduga Kak Ina menawarkan khidmatnya untuk bantu mama ‘key-in’kan markah. “Ya Allah…KasihMu yang tidak terhingga untuk hamba-Mu, sesal di hatiku mendengus akan hanya ujian kecil… Namun, Kau tidak putus-putus menurunkan limpah rahmat dan kelapangan yang tidak disangka-sangka…. Ya Allah…tiada kata yang dapat dilafazkan betapa syukurnya bertuhankan Engkau, Tuhan segala kesempurnaan…”

Sepanjang petang mama menghadap kerja-kerja di bilik SPBT dan hanya keluar untuk solat zuhur dan asar 15 minit. Terasa kejang kaki mama. Bila tiba waktu pulang, serasa langkah mama tidak berdaya lagi. Hati mama berbisik, tak larat sangat untuk masak, untuk berhenti beli pun mama rasa tak larat. Untuk mama seorang diri aja, minum air sudah cukup.. Tiba-tiba di atas meja mama ada satu bungkusan polistrin, rupanya ada jamuan PBSM. Alhamdulillah…segalanya Allah permudahkan. Jadi, mama sudah ada makan mlm setelah satu hari perut mama kosong.. Beginilah mama…tiada orang di rumah, mama jadi tidak berselera untuk makan. Cuma bila terlalu lapar, mama akan makan.


Malam ni, ayah telefon…ayah beritahu mama tiket pulang insyaAllah paling awal 13hb Disember, jika tak dapat 17hb Disember. Hati mama gembira tidak terkata. Sampai menitiskan air mata…kerinduan mama tidak terbendung lagi. Serasa mahu sahaja mama terbang ke sana, mendakap ayah.. Mendengar tangisan mama, ayah berikan kata-kata semangat dan nasihat.
“Sayang abg…lepaskan kerinduan kita dalam zikrullah.. Lepaskan bebanan kerja dengan berzikir padaNya… Hanya mengingati Allah hati kita kan menjadi tenang..” Mama hanyut dalam tangisan..mama benar-benar rindukan ayah… Tak terucap dengan kata-kata, hanya hati merasa, dan hanya Allah yang tahu…



Suamiku…aku sentiasa bersamamu.. Dalam gerak nafas, dalam tindak pantas, dalam safarmu mencari kurnia…Bawalah pulang untuk kita satu keberkatan….Aku menanti detik kepulangan mu dengan sabar….

Saturday, November 8, 2008

ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG

Cuti sempena Deepavali selama 4 hari, mama pulang ke rumah nenek dan atok di Dungun dengan niat untuk melihat wajah orang tua, ditambah pula keadaan kesihatan atok yang tak berapa baik kerana penyakit kencing manis yang sudah lama dihidapi. Ayah izinkan mama untuk pulang ke kampung bersama Auntie Iza dan Auntie Syam. Kebetulan Auntie Syam cuti study week, tiada kuliah lagi. Auntie Huda pada mulanya nak sangat ikut mama, tapi keadaan tidak mengizinkan, Auntie Huda terpaksa siapkan tesis ijazahnya. Jadi, mama bertiga sahaja yang pulang kali ini.
Sarapan yang Auntie Iza sediakan bersama Auntie Syam & Auntie Syabi
Malam sebelum bertolak balik, Auntie Iza masak bihun goreng special, banyak pula tu. Pagi-pagi lagi keropok ikan dan scallop digoreng sebagai bekal dalam perjalanan. Mama dan bersama adik-adik mama yang dikasihi fillah (Auntie Iza & Auntie Syam) bertolak pada pukul 8.00 pagi menuju ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Kami singgah di Matrix Pahang pada pukul 10.00 pagi untuk bertemu dan sarapan bersama adik-adik di sana. Sambil menjamu selera sempat kami bertaaruf dengan lebih dekat dengan adik-adik. Mama, Auntie Iza dan Auntie Iza tidak melepaskan peluang untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat untuk adik-adik yang sedang dalam musim peperiksaan.

Singgah sarapan bersama-sama adik-adik KMPh

Sempat bergambar selepas solat zuhur berjemaah.

Kenangan sebelum berangkat meneruskan perjalanan

Mama rasa mengantuk sangat untuk teruskan perjalanan. Auntie Iza dan Auntie Syam cadangkan mama tidur sekejap sambil-sambil tunggu waktu Zuhur masuk, boleh terus solat dan teruskan perjalanan ke Dungun. Alhamdulillah…nikmat tidur yang Allah kurniakan buat mata dan badan mama segar kembali selepas bangun dari tidur. Sejurus selepas solat, mama dan adik-adik mama teruskan perjalanan balik ke kampung nenek. Lebih kurang pukul 3.00 petang, mama sampai ke rumah nenek. Mungkin bunyi Buraq, nenek terus muncul di muka pintu besar rumah. Belum pun sempat mama letakkan beg, terus nenek peluk dan cium mama. Terpinga-pinga mama sebentar.. “Ya Allah…kasih ibuku lebih dari segalanya..Kau panjangkan umur kedua orang tuaku dan limpahkan rahmat ke atas keduanya, Ya Allah…” Nenek rindukan mama katanya, tak sabar tunggu mama tiba.

Rupanya nenek masak nasi dagang kegemaran mama, semata-mata untuk menyambut kepulangan mama. Rasa sebak di hati mama, kasih ibu pada anak tak pernah berkurang walau bertambahnya usia. Rasa sudah lama mama tak makan sebanyak hari ini. Berkali-kali mama tambah nasi dan lauk. Nasi dagang nenek tiada tandingan kesedapannya, baik dari segi nasi pulutnya dan juga gulainya yang sedap sangat. Mama teringatkan ayah.. kalau ayah ada, alangkah seronoknya hati ini.. Apa sedang ayah buat tika ni? Nenek dan Atok pun turut sebut-sebut nama ayah.. Moga ayah selamat dan sihat di sana..


Bersama Kak Yana (Kakak arwah Suhaimi) di depan Centre Point, Kemaman.

Esoknya mama bersama Auntie Iza dan Auntie Syam ke rumah arwah Suhaimi, yang terletak di Kemaman untuk ziarah ibunya. Tanpa dirancang mama terserempak dengan ayah seorang sahabat mama, Auntie Siti Khairiah. Tika tu, Buraq berhenti di trafik light merah, dan di sebelah Buraq, kereta ayah Auntie Siti. Terus dia menjemput mama singgah ke rumahnya. Rupanya Auntie Siti dah selamat bersalin anaknya yang pertama, Sy. Aisyah Humaira’ Syed Azli. Mama tak puas hati kerana langsung tak dimaklumakan. Mungkin terlepas pandang. Kemudian terus mama dan adik-adik mama menuju ke Seberang Tayor iaitu rumah ibu arwah.

Tanpa dirancang, dapat ziarah baby baru Auntie CTK & Uncle Syed

Mama mula sebak mendengar cerita-cerita tentang arwah daripada ibunya. Paling mama tak tahan sebak, melihat ibunya mengalirkan air mata merindukan satu-satunya anak yang sangat dia harapkan dapat mengubah nasib keluarga. Tapi, Allah lebih sayangkan dia, dia pergi menghadap Illahi secara mengejut pada 9 Jun 2008 jam 3.00 pagi yang lepas. Arwah begitu bermakna dalam hidup kami adik-beradik satu usrah dan pemergian arwah adalah kehilangan besar bagi kami. Kadang mama menitiskan air mata bila terimbas kenangan-kenangan bersama arwah…arwah adalah adik usrah mama yang paling kuat berahsia dan paling pendiam, hanya senyuman sentiasa terpamer di wajah tenangnya.

Arwah Suhaimi Mohd. Yusof~ Adik Usrah yang sentiasa dalam ingatan.

"Ya Allah, Tuhan segala makhluk..tempatkan Arwah Suhaimi Mohd. Yusof di tempat yang terpuji. Terimalah segala amalan baiknya di dunia.. Sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun lagi maha mengasihani…”

Puas menolak dengan niat tidak mahu menyusahkan keluarga arwah, mama, Auntie Iza dan Auntie Syam menerima pelawaan makan tengah hari bersama Kakak arwah (kak Yana), Ibu arwah dan Tok Wan arwah. Sejurus selepas solat, kami pulang dan sampai ke rumah nenek pukul 7.00 petang. Mama pulang ke Selayang pada keesokkan harinya, pada pukul 12.00 tengah hari. Mama singgah di Kuala Kemaman yang terkenal dengan otak-otak dan satar (makanan tradisional berasaskan ikan). Gembira mama tengok Auntie Syam makan dengan berselera sekali. Perjalanan kami diteruskan dan mama sampai ke rumah pada pukul 6.30 petang.


“Ya Allah…bersyukur padaMu akan keselamatan dalam sepanjang perjalanan kami ini. Syukur ku panjatkan kerana perjalanan ini ku dapat melihat kedua orang tuaku, menjalinkan ukhwah dengan adik-adik di KMPh, menziarahi ibu sahabatku dan sama-sama meraikan kelahiran anak sahabatku. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pengatur…..”

Buat suami mama, “Sayang…terima kasih kerana sentiasa meredhai Ti.. Dengan redha itu, Ti rasakan ketenangan di sepanjang perjalanan ini.. Ti menunggu kepulangan abang dengan sabar… Moga abang dikurniakan haji yang mabrur…”

GALANG GANTI BUATKU..


Coretan kata di atas, mama terima daripada ayah melalui SMS pukul 3.30 pagi semalam. SMS itu ayah hantar untuk mengejutkan mama untuk bangun bertahajud. Tapi mama baru sahaja tidur tika itu kerana sedikit kerja. Mama benar-benar rindukan ayah dan saat itu juga SMS ayah tiba…. Ya Allah, Tuhan yang menguasai segala hati..Tuhan yang menyampaikan rasa rindu….

Semalam juga mama terpaksa tidur lewat menyiapkan markah peperiksaan akhir tahun pelajar. Mama berterima kasih sangat kat Auntie Iza yang tak jemu membantu mama dalam segenap hal. Kadang-kadang mama rasa tak dapat lakukan semuanya berseorangan.. Allah kurniakan mama seorang adik yang bukan sedarah sedaging dengan mama dalam perjuangan ini. Indahnya ukhuwah ini lebih dari memiliki saudara kandung. Dalam entry akan datang mama akan ceritakan perihal Auntie Iza.

Hari ini mama di sekolah menguruskan proses pemulangan buku teks pelajar. Mama bertanggungjawab sebagai guru SPBT di sekolah. Hanya Allah yang tahu betapa mama penatnya melayan setiap karenah pelajar yang datang. Kadang-kadang rasa sabar itu makin hilang. Mama terpaksa meninggikan suara untuk menenangkan pelajar. Serasa sakitnya perut mama untuk menandingi suara pelajar-pelajar yang mula tidak terkawal. Mama rasa bagaikan mayat hidup tanpa sedikit pun berhenti rehat menjalankan proses pemulangan dan penerimaan buku teks pelajar. Tanpa mama sedari jam menghampiri 6.20 petang. Astaghfirullahal ‘aziim…. Ya Allah….cepatnya masa berlalu..

Mama mula bertugas tadi tepat jam 1.45 petang tanpa henti. Mama ingatkan pukul 5 pm, mama nak berhenti solat asar…mama tak sempat nak menoleh ke arah jam, dan bila dah tengok, sudah terlalu lewat. Terus mama tutup operasi, dan mama tinggalkan sekolah terus pulang ke rumah walaupun masih belum tiba waktu pulang. Mama hanya telefon kawan sejawat mama untuk tolong ‘punch out’ untuk mama nanti bila dah tiba waktu pulang. Seperti orang gila mama memandu balik. Ya Allah…ampunkan hambaMu yang hina ini.. Aku lalai untuk melunaskan tanggungjawab terpentingku untuk Mu.. Ya Allah, jangan jadikan urusan duniaku melebihi urusan akhirat…Ya Allah….ampunkanlah aku ya Allah...terima taubatku Ya Allah, ya Hayyu ya Qayyum…

Catatan minit mesyuarat kini menjadi rutin bagi mama.


Selepas solat maghrib, Auntie Iza dan Auntie Emy menyediakan makan malam, sekali lagi mama kalungkan ucapan terima kasih untuk adik-adik mama ini, kerana sudi menjaga makan minum mama. Mama makan dalam keadaan sedikt kalut.. Mama terus bersiap untuk ke mesyuarat Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK). Malam ini adalah mesyuarat pertama mama bersama jawatankuasa DMPK untuk satu program besar peringkat kawasan, iaitu Hari Kesihatan Wanita. Melalui SMS yang mama terima, mesyuarat bermula pukul 8.30 malam. Jadi, mama perlu keluar lebih awal sebab tempat mesyuarat di Bandar Country Homes agak jauh juga dari rumah mama, dalam setengah jam lebih kurang. Mama pergi bersama Kak Faizah (Ketua Nisa’ Kawasan). Untuk kali ini sahaja, Auntie Iza tak menemani mama kerana dia perlu bersiap dan berkemas barang-barang keperluan untuk pulang melapor diri di Pahang esok.

Mama sekali lagi diamanahkan untuk memegang pos setiausaha.. Jawatan ni semacam sinonim dengan muka mama. Mama sendiri tak tahu kenapa?? Ada tiga program terdekat waktu ini, dan ketiga-tiganya mama jadi setiausaha. Mama mengeluh sendiri…. Ya Allah..jangan Kau bebankan aku dengan beban yang tak mampu aku pikul… Kuatkan aku ya Allah, Tabahkan aku untuk melaksanakan amanah-amanah ini sebaiknya.. Program anjuran DMPK ini dikira agak besar dan grand juga serta banyak melibatkan agensi-agensi luar seperti Jabatan Kesihatan, LPPKN, NGO, VVIP, media dan sebagainya.


Mesyuarat santai membawa misi berat bersama DMPK


Allah gantikan rindu mama pada ayah dengan kerja-kerja jemaah dan kerja-kerja di sekolah. Rindu mama kian terubat…rindu mama kian dirawat dengan cara yang mama tak sangka..

"Ya Allah..kasihnya Engkau pada diriku yang hina ini.. Tika ku rindu, Kau jelmakan suamiku dalam mimpiku… Tika ku sendu, Kau hiburkan ku dengan gerak kerja dakwah. Tika ku sepi, Kau anugerahkan aku dengan sahabat-sahabat peneman di medan perjuangan ini… Serasa tidak layak untuk ku menerima kasihMu yang tidak berpenghujung.. Lantaran diri yang penuh kelemahan, penuh kealpaan dan penuh kebodohan…”

Mesyuarat berakhir pada pukul 11.45 malam. Mama sampai ke rumah lebih kurang 12.30 tengah malam, dan Auntie Iza masih berjaga. Auntie Iza masakkan mihun segera PAMA (saudara-mara megi) untuk mama, sebab mama merungut lapar.

“Iza, terima kasih… Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak walaupun tiada pertalian darah. Kita disatukan dengan ikatan aqidah dan kita ditemukan dalam medan yang tidak sedikit orang membenci.. Iza, hidup kita sementara dan pastikan ukhuwah ini menjadi saksi untuk kita di akhirat kelak….”

7 November 2008
02.15 a.m


Wednesday, November 5, 2008

HIDUP BERMATLAMATKAN ISLAM


مَا لاَ يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
“Tidak akan sempurna yang wajib itu, melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.”

Kaedah fiqh di atas mama pelajari sewaktu di tingkatan 5 tapi hanya sekadar belajar. Namun, setelah mama mula mengenal apa itu Harakah Islamiyah (HI), baru lah mama mula memahami maksud kaedah fiqh tersebut. Menegakkan hukum Allah dan membina khilafah Islamiyah adalah matlamat bagi setiap HI. Namun, pastinya kita tahu pemerintahan Islam sudah lama terkubur bersama keruntuhan khilafah Turki Uthmaniyah iaitu pemerintahan Islam yang terakhir pada tahun 1924. Sorotan keruntuhan Turki Uthmaniyah ada dicoret oleh ayah dalam Laman Jeehad. Demi mengembalikan ke’izzahan Islam dan meletakkan kembali hukum Tuhan itu paling atas sekali, maka menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah itu adalah menjadi wajib!

Harakah Islamiyah bertanggungjawab mendokong keseluruhan ajaran Islan, bermula daripada mendidik iaitu membentuk peribadi-peribadi muslim, kemudian menyatukan mereka dengan ukhwah Islamiyah. Dengan ikatan ukhwah yang ada, HI akan memperbanyakan mereka iaitu melalui proses pengkaderan. Melalui pengkaderan, mereka disiapkan dengan pembentukan fikrah, tools (strategy & management) dan juga akhlak. Semua ini mama simpulkan sebagai persiapan kekuatan atau secara ringkasnya adalah ‘TARBIYAH’. Tarbiyah adalah senjata penting untuk berdepan dengan musuh dan juga demi merealisasikan cita-cita menegakkan khilafah Islamiyah.

Tarbiyah adalah persiapan dan persediaan para jundi


Inilah kehidupan yang sedang mama lalui. Kehidupan yang mama temui dengan belas ihsan Allah untuk mama. Hidup mama baru terasa bermakna dengan menemui jalan ini. Jalan inilah yang memberi kekuatan kepada mama. Jalan ini jugalah yang membawa mama ke dalam hidup yang bermatlamatkan Islam. Demi Allah...mama tidak akan sesekali meninggalkan jalan ini...sesekali tidak...walau bercerai jasad dan nyawa.. “Ya Allah...matikan aku pada jalan yang telah Engkau berikan ini...”

[Al-Kahfi :28]


Kerja mengkader dan mentarbiyah kian sebati dalam diri mama bermula sejurus mama tamatkan pengajian di kolej matrikulasi sehingga mama menamatkan pengajian di universiti. Bezanya sekarang mama sudah tidak terlibat secara langsung dalam pengkaderan matrikulasi, oleh kerana komitmen yang semakin mencapah di luar alam kampus. Namun, mama masih mengikuti perkembangan junior-junior mama.

Auntie Uwie adalah Tim. Pengarah program ni.


Hari ini, selepas tamat Kursus Perkembangan Staf, mama bergegas pulang. Mama dan Auntie Iza bertolak ke Seremban sejurus selepas menunaikan solat Zuhur, untuk ke satu program tarrbiyah adik-adik junior. Dari awal, mama sudah dapatkan izin daripada ayah. Kami sampai kita-kira pada pukul 3.30 petang dan adik-adik bersama fasilitator sedang kusyuk mendengar kuliah dasar. Auntie Iza dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan slot muhasabah yang dijadualkan bermula pada pukul 12.00 tengah malam. Selepas mesyuarat bersama beberapa AJK, akhirnya slot muhasabah ditunda ke pukul 3.30 pagi dan mama dijemput untuk memegang satu peranan dalam sesi tersebut. Alhamdulillah, segala perancangan berjalan lancar dan mama kalungkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat, terutama Auntie Iza, Bukhori, Asyraf dan Najib.

Bukhori, Najib, Mat & Asyraf - Pengendali slot muhasabah


Mama dan Auntie Iza pulang bersama Auntie Uwie selepas mesyuarat post-moterm. Apa yang terpenting adalah tahap pencapaian objektif bagi program kali ini. Bagaimana kita nak memahamkan adik-adik ini tentang pentingnya dakwah dan keperluan berada dalam jemaah? Dan bagaimana pula untuk memastikan ukhwah dan kasih sayang terbit dalam jiwa mereka yang sebelum ini belum pernah menangis dan gembira bersama? Semua ini adalah seni dalam tarbiyah dan pengkaderan. Moga Allah memberikan kita kekuatan dan kelapangan untuk terus mengkader dan menyediakan bakal-bakal jundi yang akan menjadi mata rantai perjuangan ini.

Mama sampai di rumah pada pukul 5.30 petang dan hujan masih tidak berhenti mencurahkan rahmat Allah. Mama teringatkan ayah lagi... Apa ayah sedang buat? Ingatkah ayah pada mama? Yang terpenting moga ayah selamat di sana....

18 Oktober 2008

Sunday, November 2, 2008

RUMAH TANGGA BUKAN HALANGAN DALAM PERJUANGAN.

Bait-bait di atas, ayah hantar melalui SMS pada awal pagi tadi. Rindu, cinta, kasih dan sayang ayah pada mama terlalu mama hargai dan pasti mama balas dengan setimpalnya. Hari ini adalah hari yang ke 52 ayah berada di Tanah Suci. Syukur alhamdulillah, mama diberikan kekuatan oleh Allah untuk meneruskan hari-hari tanpa ayah di sisi.

Pagi tadi mama baru dimaklumkan ada mesyuarat khas Nisa’ untuk program Kem Pemantapan Sahsiah (KPS) malam ini. Selepas mama dapat izin dari ayah, mama terus berpakat dengan beberapa sahabat mama iaitu Auntie Saadiah (Selayang Baru) dan Auntie Dayah (Tmn. Bidara) untuk ke tempat mesyuarat bersama-sama. Tempat mesyuarat kali ini di Bandar Country Homes, Rawang. Jauh juga tempatnya dari rumah mama. Tapi tidak mengapa, bukan selalu di sana, kami bergilir-gilir tempat.

Perancangan teliti penting untuk mencapai objektif jemaah.

Mama gembira bekerja dalam Nisa kawasan Selayang ni. Walaupun agak baru dalam komuniti ini, mama dapat sesuaikan diri. Selain daripada sahabat-sahabat seangkatan yang memahami dan selamba-selamba, walaupun lebih berusia daripada mama. Setakat 10 bulan berada dalam Nisa’ Selayang, banyak yang mama pelajari daripada sahabat-sahabat senior. Sebagai muslimat yang sudah berumah tangga dan sudah mempunyai cahaya mata, malah bekerjaya, mereka masih tetap meluangkan masa, tenaga dan wang untuk gerakan Islam. Mama masih ingat pesanan seorang sahabat dalam jawatankuasa Nisa’ Selayang, “Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan. Kasihan anak-anak, apa salah mereka sehingga kita jadikan mereka sebagai alasan.” Mama terkesan dengan ingatan ini, walaupun mama masih tidak punya anak-anak.

Benar.. Rumah tangga bukan halangan dalam perjuangan. Sering mama dengar, sahabat-sahabat terdekat mahupun jauh, apabila sudah berumah tangga, maka bermulalah sindrom sunyi sepi dalam gerakan dan dakwah. Kadang-kadang terdengar alasan sibuk dan suami tidak izin.

“Ya Allah..ya Tuhan tempat ku memohon.. jauhkan aku dari kelemahan dan kesejukan dalam berjuang di jalanMu. Aku bersyukur pada Mu ya Allah.. akan jodoh yang telah Engkau tetapkan untuk diriku. Penuh rahsia dan hikmat. Engkau kurniakan cinta antara kami, demi untuk meraih cinta daripada-Mu. Terima kasih, Ya ‘Latif Ya rahim.....”

Mama terlalu bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah, suami seperti ayah yang sangat memahami dan faham tentang harakah Islamiyah. Syukur yang berpanjangan mama panjatkan kepada Allah juga kerana ayah adalah insan terbaik buat mama dalam meneruskan pejuangan mama setelah selesai di alam kampus. Ayah sentiasa menjadi pendorong dan pembakar semangat mama dalam aktiviti jemaah. Tidak pernah sekalipun ayah menghalang atai tidak membenarkan mama turut serta dalam apa jua program jemaah. Bahkan ayah banyak membantu dan memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang mama sertai.

Malam ini, mesyuarat AJK Nisa’ bersama Pemuda berakhir pada pukul 12.00 tengah malam. Mama dipertanggungjawabkan sebagai setiausaha untuk program kali ini. Terdapat banyak perubahan besar berbanding mesyuarat-mesyuarat sebelumnya. Mungkin mama akan ceritakan tentang program ini dengan lebih lanjut pada entry akan datang. Mama memandu pulang meredah hujan renyai menuju ke Selayang. Mata mama benar-banar pedih, kerana tak tahan silau sampai berair. Mama rindukan ayah..... Kalau ayah ada, sudah tentu ayah yang akan menghantar mama ke mesyuarat.. Hati mama sebak....

“Sayang...moga kita sama-sama mati dalam perjuangan ini. Kelak jalan ini akan menjadi saksi untuk cinta kita di akhirat sana....”

14 Oct 2008