Tuesday, December 2, 2008

BERDUA PASTI LEBIH BAIK

Pagi ini mama keluar ke Pasaraya Giant Batu Caves. Keperluan penting perlu mama beli di sana walaupun berseorangan. Jika sebelum ini, ke mana-mana mama pergi pasti ayah di sisi, dan selepas berjauhan Auntie Iza pula yang sentiasa menemani mama, dan kadang-kadang Auntie Aimi, Auntie Syam atau Auntie Huda.
Hidup berseorangan adalah satu kerugian..

Senarai barang-barang telah mama buat semalam. Barang-barang utama adalah keperluan pejabat tahfiz : cartridge, kertas A4, sampul surat dan beberapa barang lain. Mama menolak troli mencari barang-barang di rak. Sungguh mama rasa tidak selesa berseorangan begini, sungguh tidak selesa. Hidup berseorangan adalah satu kerugian. Masakan tidak, segala kegembiraan dan kesedihan, kekenyangan dan kelaparan, kesenangan dan kepayahan, tidak dapat dikongsi dengan insan tersayang.

Sehingga kini, mama berkongsi suka duka bersama adik-adik mama yang dikasihi.
(Syabi, Iza, Huda dan Syam)

Uwie dan Pika sentiasa berdua, pasti lebih baik kan?

(Tapi, jika lebih daripada dua, terlebih-lebih baik)

Mama terkenangkan ayah lagi…teringatkan waktu-waktu baru berumah tangga, selalu keluar ‘shopping’ barang-barang keperluan bersama. Mama belajar buat senarai barang yang hendak dibeli pun dari ayah. Ayah seorang yang sistematik kerjanya. Apa yang perlu diselesaikan, dia akan senaraikan termasuk barang-barang yang hendak dibeli. Mama pula akan beli apa yang terpandang dek mata, bukan dalam senarai. Itu lah kelemahan mama.. tapi mujur ayah ada, dia akan tanya mama, perlukah barang itu? Jadi, ia akan buat mama berfikir, lalu diletakkan kembali ke rak oleh sebab tiada keperluan penting pun.

Berdua pasti lebih baik bagi mama. Apa yang kita kurang akan diseimbangkan oleh pasangan, apa yang lemah akan ditegur oleh pasangan dan apa yang lebih akan dikongsi bersama pasangan. Rasulullah pernah bersabda :

“Sesiapa yang allah kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya.”


Allah kurniakan seorang lelaki untuk mama berkongsi segalanya bersama.

Bercakap soal teman setia ini juga, Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. mengatakan : “ Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah.”

Peringatan daripada Rasulullah dan sahabatnya ini menjadi panduan bagi kita baik dalam mencari pasangan hidup mahupun panduan dalam bersahabat. Sesungguhnya bertemu dan hidup dengan ayah adalah anugerah dan rahmat bagi mama. Ayah adalah teman hidup mama yang bisa membawa mama ke jalan syurga…………..

Friday, November 28, 2008

UKHWAH INI BERMULA DAN TIADA PENGAKHIR.

Bermula kini, mama mengambil alih tugas Auntie Iza sebagai pembantu tadbir Maahad Tahfiz An-Nur. Auntie Iza atau nama sebenarnya Nor Hasriza Mustafa bekerja untuk tahfiz milik ayah dan mama itu bermula Mei hingga November tahun ini, lebih kurang 6 bulan. Oleh kerana tiada pengganti, mama perlu teruskan juga demi memastikan operasi tahfiz berjalan lancar.
Sekali pandang, berwajah serius, tetapi tak pernah rasa sunyi bersama Auntie Iza.

Auntie Iza bukannya mama kenal sejak 6 bulan dulu, tetapi sejak 5 tahun dulu iaitu tahun 2003. Dia bekerja untuk tahfiz bukan untuk mama, dan tidak pernah mama menganggap Auntie Iza sebagai staff sebagaimana staff yang lain. Yang menemukan mama dan Auntie Iza hanya satu sebab, iaitu PERJUANGAN! Aqidah dan perjuangan akhirnya menyatukan kami. Auntie Iza, mama kenal sejak dia berada di matrikulasi. Setelah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Pendidikan Kimia, hubungan kami semakin rapat, bukan sekadar hubungan naqibah-anak usrah, lebih seperti adik kandung sendiri.


Hidup ini pasti kosong tanpa sahabat sepertimu...
Andai suatu hari nanti, mama telah tiada, carilah Auntie Iza kerana dia lebih mengenali mama berbanding mama kenal diri mama sendiri. Selama di kampus sehinggalah hari ini, mama berkongsi perasaan, suka, duka, tawa, tangis, susah,senang, lapar, kenyang, dan segalanya bersama dia. Auntie Iza yang mama kenal tidak pernah hilang dalam dirinya semangat berkerja untuk jemaah. Auntie Iza yang mama kenal sukar menangis walau berat masalah yang ditanggung. Auntie Iza yang mama kenal, tidak pernah menunjukkan masalah yang dia hadapi. Auntie Iza yang mama kenal juga berhati lembut mudah bersimpati, walau keras di luarannya.

Kini dia pulang ke kampung halaman untuk meneruskan perjuangan dakwah dan tarbiyah di SMK Keratong. Walau berjauhan kini, mama rasakan dia sentiasa di sisi mama. Mama tidak akan lupa beberapa tahun lalu,tika mama dimasukan ke wad Hospital Slim River, di tengah lewat malam dia kejarkan mama ke hospital. Auntie Iza sanggup tinggalkan kuliah dan kelas beberapa hari untuk menjaga mama. Tidak pernah dia tinggalkan mama sendirian, sentiasa di sisi. Detik itu, mama berbisik sendirian, “Iza, kau bukan adik aku, tapi kenapa kau layan aku lebih seperti kakak kau sendiri...”
Senyum tawamu pasti kurindui, walau berjauhan moga tetap berjuang!

Mama kerap jatuh sakit dulu, dialah yang menjaga mama, melihat mama sudah makan atau tidak, walau berada jauh berlainan kolej kediaman. Tika mama tertekan menyiapkan tesis, dia masih di sisi untuk membantu dan memberi sokongan. Di kala perasaan kacau, sedih, tidak tahu apa yang perlu dibuat, pasti Auntie Iza ada di sisi mama. Selalu kami tidur sebantal dan berusrah sebelum melelapkan mata.. Terlalu banyak memori yang mama kenangkan tika bersama Auntie Iza dan juga adik-adik lain.

Di akhir semester mama berada di UPSI, mama berkesempatan tinggal satu rumah bersama Auntie Iza dan Auntie Syam di kolej KAB. Mama rasa inilah saat-saat manis terakhir buat kami. Dalam semester itu, mama menjalani latihan praktikum di SMA Sg. Selisek, lebih kurang 30 minit dari kolej. Setiap hari, seawal 6.45 pagi mama sudah bersiap, keluar sahaja dari bilik, hidangan sarapan sudah tersedia untuk mama, sekalipun ringkas, secawan nescafe panas dan roti bersama mushroom soup segera. Bila mama balik sekolah pula, makanan tengah hari juga sudah tersedia di atas meja. Dengan kesibukan menjalani hari-hari sebagai guru praktikum, Auntie Iza dan Auntie Syam juga menguruskan pakaian mama, basuh, sidai, lipat dan kadang-kadang gosok. Semuanya mama takkan lupa.. Sesekali mama melihat video-video yang kami ambil waktu itu, mama ketawa sendirian, merindukan saat-saat itu.

Orang lain yang melihat cara hidup kami, rasa pelik dan hairan. Tidak seperti rakan serumah yang biasa. Inilah rahsia kasih sayang kerana Allah!

Kini masing-masing membawa hidup sendirian di tempat yang berbeza. Auntie Syam selepas ni akan menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Terengganu. Begitu juga dengan adik-adik mama yang lain, Auntie Huda, Auntie Syabi, Uncle TG dan Uncle Najib. Auntie Uwie dan Uncle Akmal masih meneruskan perjuangan mereka di kampus. Namun, ikatan kasih sayang ini takkan berakhir... Arwah Uncle Suhaimi adalah sebahagian daripada kami. Moga arwah tenang di alam sana dan kami di sini takkan berhenti berdoa untuk arwah.

Mungkin di entry yang akan datang, mama akan ceritakan kisah mama dan adik-adik mama yang lain. Sesungguhnya hidup mama mula terisi dengan kehadiran mereka. Untuk Auntie Iza, “Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak dunia akhirat. Moga dirimu thabat dalam perjuangan ini. Ingat wahai adikku... membawa Islam di zaman ini umpama menggenggam bara api. Jangan mudah putus asa andai tanganmu melecur, kerana parutnya akan menjadi bukti di hari pembalasan kelak. Iza bukan anak usrah akak, tapi Iza adalah adik akak...”
Auntie Iza dan Auntie Syam

Thursday, November 27, 2008

AKU ANAK PEJUANG

Seawal 7.00 pagi (15 November 2008), mama, Auntie Uwie, Auntie Aimi dan Auntie Dayah bersiap untuk ke PKM. Mata mama begitu mengantuk oleh sebab pukul 4.30 pagi baru tidur semalam. setelah semua barang dimasukkan ke dalam kereta, kami bergerak ke PKM BBS untuk pendaftaran peserta sebelum menaiki bas.
Tiba di tempat program pada pukul 10.30 pagi.
Ice-breaking untuk pecahkan tembok antara peserta-peserta.
Program kali ini membawa misi jemaah yang digarapkan untuk memastikan tarbiyah anak-anak ahli turut terjaga selain memberi kefahaman bahawa ibu bapa mereka bukan berjuang untuk parti semata-mata, bahkan sedang bertarung untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Malaysia ini. Anak-anak ini juga perlu faham bahawa perjuangan ibu bapa mereka ini memerlukan seribu satu pengorbanan, baik daripada ibu bapa itu sendiri, bahkan anak-anak juga.
Slot LDK penting untuk mengukuhkan kefahaman peserta.
Kak Siti sempat lagi memancing sambil-sambil uruskan program.
Seorang pejuang perlu memastikan dirinya, rumah tangganya dan anak-anaknya menghayati Islam sebagai cara hidup mereka dan sekaligus wajib hidup untuk memperjuangkannya. Ini mama ingat daripada buku pertama yang mama baca selepas mengenali jemaah, ‘Maaza Ya’ni Intima’i Lil-Islam’ hasil bernilai Fathi Yakan. Perjuangan ini tidak akan berhenti sehinggalah matlamat Islam mentadbir dunia tercapai. Namun, sebagai Harakah Islamiyah, matlamat sebegitu besar perlu dicapai secara berperingkat iaitu:

Pembentukan peribadi muslim
Pembentukan keluarga muslim
Pembentukan masyarakat muslim
Pembentukan Negara Islam
Pembentukan Khilafah Islamiyah

Kembara malam, menguji keberanian dan ukhwah peserta.
Modul ringkas tetapi membawa objektif berat iaitu
kepentingan strategi yang baik, kerjasama dan ukhwah.

Anak-anak adalah penyambung kesinambungan perjuangan ini. Jadi, terlalu penting untuk menyediakan tarbiyah khusus untuk anak-anak sebagai persediaan mereka memikul tanggungjawab besar ini kelak. Terlalu rugi dengan kesakitan melahirkan anak dan kos yang tinggi membesarkan mereka, jika ada ibu bapa yang tidak berniat untuk mewariskan perjuangan mereka itu. Terlalu rugi dan terlalu bodoh jika ini berlaku, sedangkan anak-anak itu adalah saham bagi ibu bapa di akhirat kelak. Kesakitan dan kepayahan yang dilalui langsung tidak berbaloi jika anak-anak tidak menjadi pewaris untuk terus menyalurkan tenaga, masa dan wang demi melihat Islam kembali memerintah dunia.

Setiap kali bercakap tentang anak, mama pasti teringatkan kandungan mama yang gugur lebih tujuh bulan dulu. Sedih menyelinap di hati, namun mama terima ia dengan hati yang redha. Namun untuk anak-anak yang bakal mama lahirkan,harapan mama untuk kalian:

“Jadilah anak mama yang soleh solehah, yang tidak takut berkata benar di hadapan penzalim. Jadilah anak mama yang tidak gentar dengan ancaman dan ugutan musuh. Jadilah anak yang tidak malu menjunjung agama walau dalam apa jua sekalipun. Pastikan kalian bias menjadi penyambung perjuangan ayah dan mama….”



Mama bersama urusetia lain, Dayah, Uwie, Aimi dan Kak Siti, bergambar sebelum pulang.




Wednesday, November 19, 2008

SAMBUTAN JUBLI PERAK PAS KAW. SELAYANG

Hari ini,Jumaat (14 Nov 2008), mama hanya bertugas mengawas peperiksaan sehingga pukul 8.30 pagi kerana calon yang sepatutnya menduduki peperiksaan pagi ini tidak hadir. Jadi, mama pulang ke rumah sejurus selepas menghantar soalan balik semula ke bilik kebal. Auntie Rad berada di rumah mama sejak semalam. Dia baru sahaja selesai peperiksaan di kampusnya, UM.

Rancangan awal, Auntie Rad mahu bekerja untuk tahfiz mama dan ayah, menggantikan Auntie Iza. Tapi ada hal yang tidak boleh dielakkan. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Pukul 3.30 petang, mama ke sekolah untuk menyambung tugasan di bilik SPBT dan menghantar buku rekod P&P ke pejabat.

Mama ketika bertugas di meja pendaftaran.

Kepala mama ligat berfikir, masih ada lagikah barang-barang yang perlu dibeli untuk ke program esok. Semalam mama dan Auntie Dayah ke Tesco untuk beli barang-barang tersebut. Harap-harap semuanya dah beli, tiada yang tertinggal. Malam ni mama ditemani Auntie Aimi dan Auntie Uwie. Auntie Aimi baru saja di’posting’kan ke SMK Teluk Panglima Garang, Kuala Langat. Auntie Uwie pula baru selesai peperiksaan akhir semester di UPSI.

Auntie Aimi dan Auntie Uwie bersama mama malam ini.

Malam ini mama bertugas di meja pendaftaran ahli Pas dan Kelab Penyokong Pas di Stadium MPS sempena sambutan Jubli Perak Pas Kaw. Selayang. Hujan lebat di awal majlis menyebabkan hadirin yang hadir kurang menggalakkan. Namun, sambutan ini tetap meriah dengan pembukaan oleh Juara Akademi Al-Quran dengan alunan tilawah Al-Quran yang cukup merdu. Selain itu, persembahan nasyid dari kumpulan In-Team dan juga As-Saufee turut membuatkan hadirin terhibur di kala hujan renyai-renyai. Acara kemuncak adalah mendengar ucapan daripada YB Dr. Hasan Ali yang penuh bersemangat dan dorongan untuk semua pendokong dan penyokong parti agar terus berusaha menguasai pentadbiran dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai misi utama Pakatan Rakyat.

Mama bersama Nisa' Selayang~

Mama pulang ke rumah pukul 12.30 tengah malam. Auntie Dayah tidur di rumah mama malam ni bagi menyiapkan fail-fail peserta untuk program KPS esok. Pukul 2.30 pagi, mama dan Auntie Dayah terpaksa keluar lagi ke pasar borong NSK. Air mineral yang telah dibeli sebelum ini dirasakan tidak cukup untuk sepanjang program. Nasib baik NSK dibuka 24 jam,kalau dibeli esok pasti tak sempat sebab bertolak awal. Alangkah baiknya, jika ayah ada di sisi mama tika ini.... Penatnya.....bisik hati mama.

“Ya Allah....ikhlaskan aku dalam bekerja untuk agamaMu. Ya Muhaimin...jadikan kepenatan ini mahar untuk ku memperolehi redhaMu...”

Tuesday, November 18, 2008

JAUHKAN EMOSI DALAM MUSYAWARAH

Emosi dalam perbincangan tidak akan membawa kepada keputusan yang jitu.
(Gambar sekadar hiasan)
Hari ini mama jadi pengiring Kak Mala lagi. Jadi, seawal 6.00 pagi, mama sudah bertolak ke SMK Taman Ehsan. Sehari suntuk mama mengawas peperiksaan. Pukul 6.30 petang, baru mama sampai di rumah dengan kepenatan yang amat sangat.

Tiba-tiba ‘reminder’ handphone mama berbunyi. Ya Allah…mama benar-benar terlupa, malam ini mama ada mesyuarat akhir bagi program Kem Pemantapan Sahsiah (KPS) yang akan diadakan pada hujung minggu ni. Ikutkan hati mama, mahu saja mama minta ‘excuse’ dari mesyuarat. Kepala mama berat sangat….dan mula berdenyut-denyut.

Tiba-tiba mama dapat SMS daripada Auntie Dayah, mesyuarat yang sepatutnya bermula 8.00 malam ditunda ke pukul 9.00 malam. Sejurus selepas isyak mama turun menuju ke Taman Tun Teja, Rawang, dan sampai tepat pukul 9.00 malam. Tapi pejabat ManTop (tempat mesyuarat) masih bergelap. Mama tunggu hampir setengah jam. Barulah muncul pemuda untuk bukakan pintu pejabat. Hati mama membentak, menahan marah. Inilah janji melayu! Tak pernah nak tepati masa. Patutlah susah nak menang! Mama mendengus lagi…seorang lagi ustaz belum sampai, untuk bentangkan modul dan aktiviti untuk program.. Marah mama kian menjalar.. Tiba-tiba mama teringat satu hadith :

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah ).” (Riwayat al-Tirmizi)

Kemarahan lebih banyak mendatangkan mudarat.

Sampai dalam pejabat, mama terus duduk bersandar pada dinding, menarik nafas dalam-dalam. Pukul 9.40 malam mesyuarat dimulakan untuk menyelaraskan gerak kerja akhir sebelum bermulanya program. Ahli Mesyuarat masing-masing dalam keadaan stress. Mama apatah lagi…sakit kepala mama mula bermaharajalela. Tumpuan mama pada mesyuarat mula berkurang. Catatan minit mesyuarat mama pun sukar difahami. Banyak perubahan berlaku di saat-saat akhir, baik dari segi pembahagian tugas dan juga perubahan teknikal. Walaupun sepatutnya ini tidak boleh berlaku, namun ada perkara yang tidak boleh dielakkan dan ia dipersetujui oleh semua AJK. Inilah perkara mutaghayyirat yang perlu difahami.

Mesyuarat berakhir pada pukul 11.45 malam. Masing-masing dalam mesyuarat cuba mengawal emosi. Masing-masing juga cuba memahami sahabat-sahabat yang lain. Dan masing-masing cuba persembahkan yang terbaik untuk memastikan objektif jemaah tercapai. Mama memandu pulang dengan laju, oleh kerana kepala mama terasa bagai nak pecah. Sampai di rumah pukul 12.30 tgh malam. Ulphamol mama sudah habis. Mama mencari-cari paracetamol yang ada, namun tidak ditemui. Yang ada hanya ponstan (ubat tahan sakit gigi). Ya Allah yang maha penyembuh….Engkau pemberi sakit dan Engkau juga pemberi sembuh.. Mama telan 2 biji ponstan dengan harapan kesakitan ini berkurangan.

“Ya Allah….aku terima kesakitan ini jika ia adalah kifarah buatku atas kesalahan yang tidak kusedari. Ya Allah…ku redha akan kesakitan ini jika ia penghapus dosa-dosaku yang lalu…”

Mama teringatkan ayah…kesakitan ini sehingga mama tidak dapat menahan air mata daripada keluar…

BERSEDIAKAN KITA MENUJU KE DESTINASI KEKAL??

Pagi ini, mama dikejutkan oleh ayah seawal 5.00 pagi. Selepas solat tahajud dab sunat taubat, mama membaca Al-Quran sementara menunggu azan Subuh. Sejurus menunaikan solat Subuh, mama bergegas turun dari rumah kerana sudah berjanji dengan Ketua Pengawas peperiksaan pusat mama bertugas (Kak Mala) untuk ke bilik kebal bersama. Kebetulan benar, Kak Mala tinggal dalam satu taman perumahan yang sama. Jadi, apabila sampai giliran mama menjadi pengiring, mama hanya menumpang keretanya terus dari rumah.

Telah menjadi prosedur dalam pengurusan peperiksaan awam SPM, setiap ketua pengawas perlu membawa pengiring bersama untuk mengambil kertas soalan dari bilik kebal dan juga menghantar skrip jawapan kembali ke bilik kebal. Bilik kebal bagi pusat mama bertugas (BG904/SMK Selayang Baru) adalah di SMK Taman Ehsan, Kepong. Memakan masa lebih kurang 20 minit dari rumah mama. Tanpa pengiring, KP tidak dibenarkan sama sekali mengambil soalan dan selepas soalan diambil, KP atau pengiring tidak boleh bersendirian bersama soalan tersebut. Baru mama tahu ketatnya pengurusan peperiksaan ni, oleh kerana inilah kali pertama mama bertugas sebagai pengawas peperiksaan.

Suasana dewan peperiksaan BG904 pada hari pertama SPM

Pusat BG904 adalah untuk calon persendirian. Alhamdulillah, calon-calon yang hadir tidak memberi sebarang. Rupa-rupanya mengawas pusat calon persendirian lebih mudah berbanding calon sekolah. Cuma setiap kali peperiksaan, mama dan pengawas lain akan pastikan calon tersebut adalah betul tanpa ada penyamaran (kes biasa berlaku bagi calon pusat persendirian).

Petang ini, kertas Sejarah 2, calon yang hadir hanya 10 orang daripada 17 orang. Hari kelihatan mendung, awan gelap mula menguasai langit. Dalam hati mama berbisik, pasti ramai calon yang keluar awal. Tepat sekali! Akhirnya hanya tinggal 3 orang calon yang masih meneruskan usaha menjawab. Petir mula kedengaran. Kilat sudah mula memancar. Akhirnya hujan lebat mula turun bersama petir dan guruh yang saling menyabung. Hujan sangat lebat turun mencurah-curah. Kelihatan 3 orang calon yang tinggal sudah tidak selesa menjawab. Mahu keluar pun tidak boleh kerana hujan terlalu lebat. Sekejap saja air mula naik ke koridor di luar dewan peperiksaan.

Hujan lebat di luar dewan peperiksaan.

Mama memandang curahan hujan di luar. Teringat mama akan satu tanda kiamat iaitu berlaku banyak banjir besar. Dulu banjir hanya kerap berlaku pada bulan Disember. Tapi kini, banjir boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat..bila-bila dan di mana-mana boleh banjir. Lihat saja, di Malaysia, dulu gempar apabila TTDI Jaya dilanda bah besar, kemudian ke Selatan Tanah Air, Johor. Ramainya yang sengsara kerana bencana ini. Kemudian Melaka, diikuti banjir lumpur di Kuala Lumpur, lumpuh satu kota raya. Baru-baru ni, sedang umat Islam bergembira menyambut lebaran, saudara kita di Utara Tanah Air pula yang berantakan dengan banjir. Beberapa tahun lepas, peristiwa menggemparkan seluruh dunia iaitu ‘Tsunami’ yang meragut ribuan nyawa di Acheh. Banyak lagi kejadian banjir besar yang berlaku di seluruh negara, yang datangnya tanpa disangka.

Tsunami adalah mimpi ngeri bagi penduduk Acheh.

Mayat bergelimpangan akibat banjir besar.

Bencana di TTDI Jaya, Shah Alam

Kuala Lumpur, kota berlumpur...


Ya Jabbar, Ya Mutakabbir, Ya Allahu Ya ‘Alim....
Turunnya musibah ini adalah untuk peringatan!
Turunnya musibah ini adalah untuk pengajaran!
Turunnya musibah ini adalah untuk pembalasan!
Namun, tidak semua berfikir dan tidak banyak yang menginsafinya
..

Kiamat kian hampir! Hati mama bergetar, rasa gerun terus menyelinap ke seluruh isi salur darah. “Ya Allah....belum cukup lagi bekalanku..belum sempurna lagi amalanku.. Tolonglah aku untuk terus berada di jalan orang yang berikan nikmat. Dan matikan aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu...”

Friday, November 14, 2008

DERITA MAMA TAK SEBERAPA PUN

“…..isteri kepada tahanan ISA, Mat Sah Mohd Satray, Norlaila Othman yang turut serta dalam sidang akhbar itu melahirkan kekecewaan terhadap Menteri Dalam Negeri kerana suaminya masih ditahan hampir lapan tahun.”
[Sumber: HarakahDaily.Net]

Hati mama membara marah pada kerajaan UMNO, terutama Perdana Menteri Malaysia. Lagak berwajah tenang, tetapi banyak menzalimi rakyatnya. Hati mama membentak lagi, tunggulah sampai hari pembalasan kelak, kau takkan terlepas!!

Derita Kakak Norlaila Othman menjadikan mama lebih tabah meneruskan hari-hari mama tanpa ayah. Mama lebih terkesan membaca catatan Kak Laila dalam ‘Coretan: Suamiku Pulang’
"Hingga saat ini, hampir empat tahun lamanya, sejak dia diambil dari rumah kami, dia tidak pernah pulang ke rumah.
"Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya, kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan air mata yang setia untuk mengubat rindu itu..."


Berat penderitaan yang ditanggung oleh Kak Laila dan isteri-isteri tahanan ISA. Dalam kita sibuk dengan dunia kita sendiri, tidak terfikir oleh kita keadaan anak-anak tahan ISA yang hidup ntah bagaimana. Dari dulu mama mengagumi isteri-isteri tahanan ISA ini, kerana ketabahan dan kekuatan yang mereka miliki, seperti semangat ‘Siti Zubaidah’ dalam syair lama ‘Siti Zubaidah’.

Syair Siti Zubaidah adalah antara karya klasik Melayu yang bermutu tinggi. Tentulah ia digarap daripada peristiwa yang pernah terjadi tetapi ditambah dengan sedikit mitos atau lagenda untuk mengangkat martabat seseorang tokoh, apatah lagi dalam kes ini seorang srikandi. Kisahnya mengenai seorang puteri rupawan yang terpaksa menyamar seorang pahlawan (tentulah lelaki) bagi mengesan suaminya yang difitnah dan dibawa pergi. Mungkin juga suaminya jadi tawanan perang. Jadi terpaksalah Siti Zubaidah mengembara dari sebuah negara ke sebuah negara menjejaki suaminya yang tercinta.

Pencarian, perjuangan dan pengorbanan Siti Zubaidah berbaloi. Akhirnya selepas menghadapi 1,001 tribulasi, Siti Zubaidah dapat bersatu kembali dengan suaminya. Alangkah beruntungnya seorang lelaki yang memperolehi isteri sebijak, secantik dan daripada keturunan orang baik-baik dan bangsawan seperti Siti Zubaidah.

Bagi mama, ini adalah kisah seorang isteri yang sanggup berbuat apa saja untuk kesejahteraan seorang insan istimewa bernama suami. Bagi Siti Zubaidah, si suami itu adalah lambang kesempurnaan hidupnya di dunia ini, tiada suami di sisi patahlah tangannya untuk menggendalikan kehidupan di alam fana ini.

Bagi Siti Zubaidah, pencariannya tiada kepastian. Dia menghadapi risiko dibunuh dan dia juga sedia membunuh, tetapi itu semua tidak menjadi hal padanya. Yang menjadi matlamat, suaminya perlu kembali ke pangkuannya. Haknya perlu dipulangkan dan dia akan memperjuangkannya sehingga titisan darah terakhir.

Dalam hal pahit manis rumah tangga, kasih sayang suami isteri, pedihnya menanggung rindu akibat kekasih tercinta dibawa pergi, saya sangat kagum dengan kak Laila Norlaila dan aktivis-aktivis GMI daripada kalangan isteri-isteri tahanan ISA.

Mama masih teringat hampir setahun yang lepas, mama menitiskan air mata membaca satu akhbar media alternative tentang perderitaan anak-anak tahanan ISA yang ditahan bertahun-tahun tanpa diadili. Tika itu umat Islam sibuk membuat persediaan menyambut hari lebaran Aildilfitri. Mama sedih sangat……sedih yang tak terkata… Mama ada mengambil beberapa gambar dari akhbar tersebut.

Zalimnya pemerintah negara ini!! Tiada sekelumit belas kasihan untuk anak kecil ni.


Untuk ayah:”Sayang…derita ku ini tidak sehebat mana pun.. Tapi ku mula rasa lemah akan ketiadaanmu.. Deritaku ini tidak seberapa pun jika dibandingankan dengan isteri-isteri tahanan ISA… Ya Allah..kuatkan aku, ya Allah… Tabahkan hatiku ini setabah mereka yang dizalimi itu, Ya Allah..

***mama sedang mencari peluang dan ruang untuk menyumbangkan tenaga dalam GMI.