(Laman ini adalah dari hati mama dan mama dedikasikan untuk anak-anak mama yang bakal menyambung perjuangan mama dan ayah)
Wednesday, December 3, 2008
I AM NOT AFRAID TO STAND ALONE
Tuesday, December 2, 2008
BERDUA PASTI LEBIH BAIK
Uwie dan Pika sentiasa berdua, pasti lebih baik kan?
(Tapi, jika lebih daripada dua, terlebih-lebih baik)
Mama terkenangkan ayah lagi…teringatkan waktu-waktu baru berumah tangga, selalu keluar ‘shopping’ barang-barang keperluan bersama. Mama belajar buat senarai barang yang hendak dibeli pun dari ayah. Ayah seorang yang sistematik kerjanya. Apa yang perlu diselesaikan, dia akan senaraikan termasuk barang-barang yang hendak dibeli. Mama pula akan beli apa yang terpandang dek mata, bukan dalam senarai. Itu lah kelemahan mama.. tapi mujur ayah ada, dia akan tanya mama, perlukah barang itu? Jadi, ia akan buat mama berfikir, lalu diletakkan kembali ke rak oleh sebab tiada keperluan penting pun.
Berdua pasti lebih baik bagi mama. Apa yang kita kurang akan diseimbangkan oleh pasangan, apa yang lemah akan ditegur oleh pasangan dan apa yang lebih akan dikongsi bersama pasangan. Rasulullah pernah bersabda :
“Sesiapa yang allah kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya.”
Allah kurniakan seorang lelaki untuk mama berkongsi segalanya bersama.
Bercakap soal teman setia ini juga, Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. mengatakan : “ Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah.”
Peringatan daripada Rasulullah dan sahabatnya ini menjadi panduan bagi kita baik dalam mencari pasangan hidup mahupun panduan dalam bersahabat. Sesungguhnya bertemu dan hidup dengan ayah adalah anugerah dan rahmat bagi mama. Ayah adalah teman hidup mama yang bisa membawa mama ke jalan syurga…………..
Friday, November 28, 2008
UKHWAH INI BERMULA DAN TIADA PENGAKHIR.
Sekali pandang, berwajah serius, tetapi tak pernah rasa sunyi bersama Auntie Iza.Auntie Iza bukannya mama kenal sejak 6 bulan dulu, tetapi sejak 5 tahun dulu iaitu tahun 2003. Dia bekerja untuk tahfiz bukan untuk mama, dan tidak pernah mama menganggap Auntie Iza sebagai staff sebagaimana staff yang lain. Yang menemukan mama dan Auntie Iza hanya satu sebab, iaitu PERJUANGAN! Aqidah dan perjuangan akhirnya menyatukan kami. Auntie Iza, mama kenal sejak dia berada di matrikulasi. Setelah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Pendidikan Kimia, hubungan kami semakin rapat, bukan sekadar hubungan naqibah-anak usrah, lebih seperti adik kandung sendiri.
Kini dia pulang ke kampung halaman untuk meneruskan perjuangan dakwah dan tarbiyah di SMK Keratong. Walau berjauhan kini, mama rasakan dia sentiasa di sisi mama. Mama tidak akan lupa beberapa tahun lalu,tika mama dimasukan ke wad Hospital Slim River, di tengah lewat malam dia kejarkan mama ke hospital. Auntie Iza sanggup tinggalkan kuliah dan kelas beberapa hari untuk menjaga mama. Tidak pernah dia tinggalkan mama sendirian, sentiasa di sisi. Detik itu, mama berbisik sendirian, “Iza, kau bukan adik aku, tapi kenapa kau layan aku lebih seperti kakak kau sendiri...”
Mama kerap jatuh sakit dulu, dialah yang menjaga mama, melihat mama sudah makan atau tidak, walau berada jauh berlainan kolej kediaman. Tika mama tertekan menyiapkan tesis, dia masih di sisi untuk membantu dan memberi sokongan. Di kala perasaan kacau, sedih, tidak tahu apa yang perlu dibuat, pasti Auntie Iza ada di sisi mama. Selalu kami tidur sebantal dan berusrah sebelum melelapkan mata.. Terlalu banyak memori yang mama kenangkan tika bersama Auntie Iza dan juga adik-adik lain.
Di akhir semester mama berada di UPSI, mama berkesempatan tinggal satu rumah bersama Auntie Iza dan Auntie Syam di kolej KAB. Mama rasa inilah saat-saat manis terakhir buat kami. Dalam semester itu, mama menjalani latihan praktikum di SMA Sg. Selisek, lebih kurang 30 minit dari kolej. Setiap hari, seawal 6.45 pagi mama sudah bersiap, keluar sahaja dari bilik, hidangan sarapan sudah tersedia untuk mama, sekalipun ringkas, secawan nescafe panas dan roti bersama mushroom soup segera. Bila mama balik sekolah pula, makanan tengah hari juga sudah tersedia di atas meja. Dengan kesibukan menjalani hari-hari sebagai guru praktikum, Auntie Iza dan Auntie Syam juga menguruskan pakaian mama, basuh, sidai, lipat dan kadang-kadang gosok. Semuanya mama takkan lupa.. Sesekali mama melihat video-video yang kami ambil waktu itu, mama ketawa sendirian, merindukan saat-saat itu.
Orang lain yang melihat cara hidup kami, rasa pelik dan hairan. Tidak seperti rakan serumah yang biasa. Inilah rahsia kasih sayang kerana Allah!
Kini masing-masing membawa hidup sendirian di tempat yang berbeza. Auntie Syam selepas ni akan menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Terengganu. Begitu juga dengan adik-adik mama yang lain, Auntie Huda, Auntie Syabi, Uncle TG dan Uncle Najib. Auntie Uwie dan Uncle Akmal masih meneruskan perjuangan mereka di kampus. Namun, ikatan kasih sayang ini takkan berakhir... Arwah Uncle Suhaimi adalah sebahagian daripada kami. Moga arwah tenang di alam sana dan kami di sini takkan berhenti berdoa untuk arwah.
Mungkin di entry yang akan datang, mama akan ceritakan kisah mama dan adik-adik mama yang lain. Sesungguhnya hidup mama mula terisi dengan kehadiran mereka. Untuk Auntie Iza, “Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak dunia akhirat. Moga dirimu thabat dalam perjuangan ini. Ingat wahai adikku... membawa Islam di zaman ini umpama menggenggam bara api. Jangan mudah putus asa andai tanganmu melecur, kerana parutnya akan menjadi bukti di hari pembalasan kelak. Iza bukan anak usrah akak, tapi Iza adalah adik akak...”
Thursday, November 27, 2008
AKU ANAK PEJUANG
Pembentukan peribadi muslim
Pembentukan keluarga muslim
Pembentukan masyarakat muslim
Pembentukan Negara Islam
Pembentukan Khilafah Islamiyah
Anak-anak adalah penyambung kesinambungan perjuangan ini. Jadi, terlalu penting untuk menyediakan tarbiyah khusus untuk anak-anak sebagai persediaan mereka memikul tanggungjawab besar ini kelak. Terlalu rugi dengan kesakitan melahirkan anak dan kos yang tinggi membesarkan mereka, jika ada ibu bapa yang tidak berniat untuk mewariskan perjuangan mereka itu. Terlalu rugi dan terlalu bodoh jika ini berlaku, sedangkan anak-anak itu adalah saham bagi ibu bapa di akhirat kelak. Kesakitan dan kepayahan yang dilalui langsung tidak berbaloi jika anak-anak tidak menjadi pewaris untuk terus menyalurkan tenaga, masa dan wang demi melihat Islam kembali memerintah dunia.
Setiap kali bercakap tentang anak, mama pasti teringatkan kandungan mama yang gugur lebih tujuh bulan dulu. Sedih menyelinap di hati, namun mama terima ia dengan hati yang redha. Namun untuk anak-anak yang bakal mama lahirkan,harapan mama untuk kalian:
“Jadilah anak mama yang soleh solehah, yang tidak takut berkata benar di hadapan penzalim. Jadilah anak mama yang tidak gentar dengan ancaman dan ugutan musuh. Jadilah anak yang tidak malu menjunjung agama walau dalam apa jua sekalipun. Pastikan kalian bias menjadi penyambung perjuangan ayah dan mama….”
Mama bersama urusetia lain, Dayah, Uwie, Aimi dan Kak Siti, bergambar sebelum pulang.
Wednesday, November 19, 2008
SAMBUTAN JUBLI PERAK PAS KAW. SELAYANG
Rancangan awal, Auntie Rad mahu bekerja untuk tahfiz mama dan ayah, menggantikan Auntie Iza. Tapi ada hal yang tidak boleh dielakkan. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Pukul 3.30 petang, mama ke sekolah untuk menyambung tugasan di bilik SPBT dan menghantar buku rekod P&P ke pejabat.
Mama ketika bertugas di meja pendaftaran.
Kepala mama ligat berfikir, masih ada lagikah barang-barang yang perlu dibeli untuk ke program esok. Semalam mama dan Auntie Dayah ke Tesco untuk beli barang-barang tersebut. Harap-harap semuanya dah beli, tiada yang tertinggal. Malam ni mama ditemani Auntie Aimi dan Auntie Uwie. Auntie Aimi baru saja di’posting’kan ke SMK Teluk Panglima Garang, Kuala Langat. Auntie Uwie pula baru selesai peperiksaan akhir semester di UPSI.
Auntie Aimi dan Auntie Uwie bersama mama malam ini.
Malam ini mama bertugas di meja pendaftaran ahli Pas dan Kelab Penyokong Pas di Stadium MPS sempena sambutan Jubli Perak Pas Kaw. Selayang. Hujan lebat di awal majlis menyebabkan hadirin yang hadir kurang menggalakkan. Namun, sambutan ini tetap meriah dengan pembukaan oleh Juara Akademi Al-Quran dengan alunan tilawah Al-Quran yang cukup merdu. Selain itu, persembahan nasyid dari kumpulan In-Team dan juga As-Saufee turut membuatkan hadirin terhibur di kala hujan renyai-renyai. Acara kemuncak adalah mendengar ucapan daripada YB Dr. Hasan Ali yang penuh bersemangat dan dorongan untuk semua pendokong dan penyokong parti agar terus berusaha menguasai pentadbiran dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai misi utama Pakatan Rakyat.
Mama bersama Nisa' Selayang~
Mama pulang ke rumah pukul 12.30 tengah malam. Auntie Dayah tidur di rumah mama malam ni bagi menyiapkan fail-fail peserta untuk program KPS esok. Pukul 2.30 pagi, mama dan Auntie Dayah terpaksa keluar lagi ke pasar borong NSK. Air mineral yang telah dibeli sebelum ini dirasakan tidak cukup untuk sepanjang program. Nasib baik NSK dibuka 24 jam,kalau dibeli esok pasti tak sempat sebab bertolak awal. Alangkah baiknya, jika ayah ada di sisi mama tika ini.... Penatnya.....bisik hati mama.
“Ya Allah....ikhlaskan aku dalam bekerja untuk agamaMu. Ya Muhaimin...jadikan kepenatan ini mahar untuk ku memperolehi redhaMu...”
Tuesday, November 18, 2008
JAUHKAN EMOSI DALAM MUSYAWARAH
Tiba-tiba ‘reminder’ handphone mama berbunyi. Ya Allah…mama benar-benar terlupa, malam ini mama ada mesyuarat akhir bagi program Kem Pemantapan Sahsiah (KPS) yang akan diadakan pada hujung minggu ni. Ikutkan hati mama, mahu saja mama minta ‘excuse’ dari mesyuarat. Kepala mama berat sangat….dan mula berdenyut-denyut.
Tiba-tiba mama dapat SMS daripada Auntie Dayah, mesyuarat yang sepatutnya bermula 8.00 malam ditunda ke pukul 9.00 malam. Sejurus selepas isyak mama turun menuju ke Taman Tun Teja, Rawang, dan sampai tepat pukul 9.00 malam. Tapi pejabat ManTop (tempat mesyuarat) masih bergelap. Mama tunggu hampir setengah jam. Barulah muncul pemuda untuk bukakan pintu pejabat. Hati mama membentak, menahan marah. Inilah janji melayu! Tak pernah nak tepati masa. Patutlah susah nak menang! Mama mendengus lagi…seorang lagi ustaz belum sampai, untuk bentangkan modul dan aktiviti untuk program.. Marah mama kian menjalar.. Tiba-tiba mama teringat satu hadith :
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah ).” (Riwayat al-Tirmizi)
Kemarahan lebih banyak mendatangkan mudarat.
Sampai dalam pejabat, mama terus duduk bersandar pada dinding, menarik nafas dalam-dalam. Pukul 9.40 malam mesyuarat dimulakan untuk menyelaraskan gerak kerja akhir sebelum bermulanya program. Ahli Mesyuarat masing-masing dalam keadaan stress. Mama apatah lagi…sakit kepala mama mula bermaharajalela. Tumpuan mama pada mesyuarat mula berkurang. Catatan minit mesyuarat mama pun sukar difahami. Banyak perubahan berlaku di saat-saat akhir, baik dari segi pembahagian tugas dan juga perubahan teknikal. Walaupun sepatutnya ini tidak boleh berlaku, namun ada perkara yang tidak boleh dielakkan dan ia dipersetujui oleh semua AJK. Inilah perkara mutaghayyirat yang perlu difahami.
Mesyuarat berakhir pada pukul 11.45 malam. Masing-masing dalam mesyuarat cuba mengawal emosi. Masing-masing juga cuba memahami sahabat-sahabat yang lain. Dan masing-masing cuba persembahkan yang terbaik untuk memastikan objektif jemaah tercapai. Mama memandu pulang dengan laju, oleh kerana kepala mama terasa bagai nak pecah. Sampai di rumah pukul 12.30 tgh malam. Ulphamol mama sudah habis. Mama mencari-cari paracetamol yang ada, namun tidak ditemui. Yang ada hanya ponstan (ubat tahan sakit gigi). Ya Allah yang maha penyembuh….Engkau pemberi sakit dan Engkau juga pemberi sembuh.. Mama telan 2 biji ponstan dengan harapan kesakitan ini berkurangan.
“Ya Allah….aku terima kesakitan ini jika ia adalah kifarah buatku atas kesalahan yang tidak kusedari. Ya Allah…ku redha akan kesakitan ini jika ia penghapus dosa-dosaku yang lalu…”
Mama teringatkan ayah…kesakitan ini sehingga mama tidak dapat menahan air mata daripada keluar…
BERSEDIAKAN KITA MENUJU KE DESTINASI KEKAL??
Telah menjadi prosedur dalam pengurusan peperiksaan awam SPM, setiap ketua pengawas perlu membawa pengiring bersama untuk mengambil kertas soalan dari bilik kebal dan juga menghantar skrip jawapan kembali ke bilik kebal. Bilik kebal bagi pusat mama bertugas (BG904/SMK Selayang Baru) adalah di SMK Taman Ehsan, Kepong. Memakan masa lebih kurang 20 minit dari rumah mama. Tanpa pengiring, KP tidak dibenarkan sama sekali mengambil soalan dan selepas soalan diambil, KP atau pengiring tidak boleh bersendirian bersama soalan tersebut. Baru mama tahu ketatnya pengurusan peperiksaan ni, oleh kerana inilah kali pertama mama bertugas sebagai pengawas peperiksaan.
Suasana dewan peperiksaan BG904 pada hari pertama SPM
Pusat BG904 adalah untuk calon persendirian. Alhamdulillah, calon-calon yang hadir tidak memberi sebarang. Rupa-rupanya mengawas pusat calon persendirian lebih mudah berbanding calon sekolah. Cuma setiap kali peperiksaan, mama dan pengawas lain akan pastikan calon tersebut adalah betul tanpa ada penyamaran (kes biasa berlaku bagi calon pusat persendirian).
Petang ini, kertas Sejarah 2, calon yang hadir hanya 10 orang daripada 17 orang. Hari kelihatan mendung, awan gelap mula menguasai langit. Dalam hati mama berbisik, pasti ramai calon yang keluar awal. Tepat sekali! Akhirnya hanya tinggal 3 orang calon yang masih meneruskan usaha menjawab. Petir mula kedengaran. Kilat sudah mula memancar. Akhirnya hujan lebat mula turun bersama petir dan guruh yang saling menyabung. Hujan sangat lebat turun mencurah-curah. Kelihatan 3 orang calon yang tinggal sudah tidak selesa menjawab. Mahu keluar pun tidak boleh kerana hujan terlalu lebat. Sekejap saja air mula naik ke koridor di luar dewan peperiksaan.
Hujan lebat di luar dewan peperiksaan.
Mama memandang curahan hujan di luar. Teringat mama akan satu tanda kiamat iaitu berlaku banyak banjir besar. Dulu banjir hanya kerap berlaku pada bulan Disember. Tapi kini, banjir boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat..bila-bila dan di mana-mana boleh banjir. Lihat saja, di Malaysia, dulu gempar apabila TTDI Jaya dilanda bah besar, kemudian ke Selatan Tanah Air, Johor. Ramainya yang sengsara kerana bencana ini. Kemudian Melaka, diikuti banjir lumpur di Kuala Lumpur, lumpuh satu kota raya. Baru-baru ni, sedang umat Islam bergembira menyambut lebaran, saudara kita di Utara Tanah Air pula yang berantakan dengan banjir. Beberapa tahun lepas, peristiwa menggemparkan seluruh dunia iaitu ‘Tsunami’ yang meragut ribuan nyawa di Acheh. Banyak lagi kejadian banjir besar yang berlaku di seluruh negara, yang datangnya tanpa disangka.
Tsunami adalah mimpi ngeri bagi penduduk Acheh.
Mayat bergelimpangan akibat banjir besar.
Bencana di TTDI Jaya, Shah Alam


Kuala Lumpur, kota berlumpur...
Ya Jabbar, Ya Mutakabbir, Ya Allahu Ya ‘Alim....
Turunnya musibah ini adalah untuk peringatan!
Turunnya musibah ini adalah untuk pengajaran!
Turunnya musibah ini adalah untuk pembalasan!
Namun, tidak semua berfikir dan tidak banyak yang menginsafinya..
Kiamat kian hampir! Hati mama bergetar, rasa gerun terus menyelinap ke seluruh isi salur darah. “Ya Allah....belum cukup lagi bekalanku..belum sempurna lagi amalanku.. Tolonglah aku untuk terus berada di jalan orang yang berikan nikmat. Dan matikan aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu...”