Friday, February 27, 2009

KINI “TEEN CIRCLE BBS 2A” MUNCUL JUA

Pada 20 Feb yang lepas, akhirnya termakbul doa mama untuk tubuhkan kumpulan Usrah Remaja di taman tempat mama tinggal iaitu BBS Fasa 2A. Malam tersebut, mama adakan majlis perlancaran ringkas di Surau Ad-Diniyyah. Seramai 31 orang remaja perempuan yang menyertai ‘Teen Circle’ ini. Melihat kepada sambutan yang agak menggalakan, mama akan pecahkan ‘Teen Circle ‘ BBS 2A ni kepada dua kumpulan. Mama turut dibantu oleh Auntie Rad.

Teen Circle Selayang Baru dan Taman Bidara pula mama & sahabat2 Nisa telah mulakan sejak setahun yang lalu.Syukur alhhamdulillah.. Ayah banyak membantu mama dalam menjayakan penubuhan Teen Circle BBS 2A. Slideshow yang mama sediakan untuk majlis pelancaran ini juga mendapat bantuan dan idea daripada ayah. Hanya Allah yang dapat membalas jasa ayah dalam membantu usaha mama. “Suamiku, hanya ucapan terima kasih dari lubuk hati ini untuk atas segala sokongan dan bantuanmu…”

“Permudahkanlah usahaku ini, Ya Rabbul ‘Alamiin. Aku tak mampu menjadi pejuang yang bertempur di medan perang, apatah lagi menjadi ahli sufi, jauh sekali menjadi ‘alim ulama’. Hanya ini yang aku mampu demi meraih cinta dan redha-Mu, Hanya ini yang mampu ku sediakan untuk bertemu dengan Mu di akhirat kelak. Kecilnya apa yang ku lakukan ini, Ya Allah…berbanding pejuang-pejuang agamaMu yang Agung. Namun, pandang lah ia, Ya Muhaimin… Aku pohon padaMu Ya Rabbul ‘Izzati. Sebelum aku dijemput oleh-Mu, berikan ku kesihatan dan kesempatan untuk terus berkerja untuk agamaMu…”

Program 'Teen Circle' Indoor Games
(Peringkat Nisa' Selayang)
pada 21 Feb 2009

KETENANGAN ITU ATAS KEREDHAAN ALLAH

Dua bulan lebih lamanya mama tiada kesempatan untuk menulis. Mama pernah diingatkan oleh seorang sahabat, menulis ini kena ada disiplin. Tanpa disiplin kita tak mampu bertahan dalam dunia penulisan. Moga Allah kurniakan mama kesempatan dan kesihatan untuk terus menulis, walau sekadar menulis catatan kehidupan mama.

Sejak ayah pulang dari Tanah Suci, hidup mama lengkap sepenuhnya. Kini walau sudah 2 bulan setengah ayah pulang, air matanya tetap mengalir teringatkan keindahan dan ketenangan berada di sana, dan ayah sentiasa meluahkan keinginannya untuk kembali ke sana lagi. Keinginan mama untuk menjejakkan kaki ke bumi suci juga kian menggunung. Melihat wajah tenang ayah, mama kian mengerti apa itu redha Allah. “Ya Allah..murahkanlah rezeki kami untuk mencari keberkatan di bumi suciMu…”

Wajah terbaru ayah selepas pulang.

Wednesday, December 3, 2008

I AM NOT AFRAID TO STAND ALONE

Menjunjung agama dalam segenap hal, tidak kira walau dalam apa jua keadaan sekalipun, adalah satu yang agak sukar kini. Tapi, jika seseorang itu yakin dengan janji Allah dan kebergantungannya pada Allah itu kuat, ia tidak akan jadi masalah. Malu mensyiarkan Islam?? Itu adalah sindrom yang kian menular dalam jiwa umat Islam zaman ini. Malah, Islamophobia kian menjadi fenomena yang membarah. Benarnya sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya Islam dimulai dengan ghuraba (asing) dan akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka beruntunglah orang-orang yang Al-Ghuraba”

Tuesday, December 2, 2008

BERDUA PASTI LEBIH BAIK

Pagi ini mama keluar ke Pasaraya Giant Batu Caves. Keperluan penting perlu mama beli di sana walaupun berseorangan. Jika sebelum ini, ke mana-mana mama pergi pasti ayah di sisi, dan selepas berjauhan Auntie Iza pula yang sentiasa menemani mama, dan kadang-kadang Auntie Aimi, Auntie Syam atau Auntie Huda.
Hidup berseorangan adalah satu kerugian..

Senarai barang-barang telah mama buat semalam. Barang-barang utama adalah keperluan pejabat tahfiz : cartridge, kertas A4, sampul surat dan beberapa barang lain. Mama menolak troli mencari barang-barang di rak. Sungguh mama rasa tidak selesa berseorangan begini, sungguh tidak selesa. Hidup berseorangan adalah satu kerugian. Masakan tidak, segala kegembiraan dan kesedihan, kekenyangan dan kelaparan, kesenangan dan kepayahan, tidak dapat dikongsi dengan insan tersayang.

Sehingga kini, mama berkongsi suka duka bersama adik-adik mama yang dikasihi.
(Syabi, Iza, Huda dan Syam)

Uwie dan Pika sentiasa berdua, pasti lebih baik kan?

(Tapi, jika lebih daripada dua, terlebih-lebih baik)

Mama terkenangkan ayah lagi…teringatkan waktu-waktu baru berumah tangga, selalu keluar ‘shopping’ barang-barang keperluan bersama. Mama belajar buat senarai barang yang hendak dibeli pun dari ayah. Ayah seorang yang sistematik kerjanya. Apa yang perlu diselesaikan, dia akan senaraikan termasuk barang-barang yang hendak dibeli. Mama pula akan beli apa yang terpandang dek mata, bukan dalam senarai. Itu lah kelemahan mama.. tapi mujur ayah ada, dia akan tanya mama, perlukah barang itu? Jadi, ia akan buat mama berfikir, lalu diletakkan kembali ke rak oleh sebab tiada keperluan penting pun.

Berdua pasti lebih baik bagi mama. Apa yang kita kurang akan diseimbangkan oleh pasangan, apa yang lemah akan ditegur oleh pasangan dan apa yang lebih akan dikongsi bersama pasangan. Rasulullah pernah bersabda :

“Sesiapa yang allah kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya.”


Allah kurniakan seorang lelaki untuk mama berkongsi segalanya bersama.

Bercakap soal teman setia ini juga, Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. mengatakan : “ Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah.”

Peringatan daripada Rasulullah dan sahabatnya ini menjadi panduan bagi kita baik dalam mencari pasangan hidup mahupun panduan dalam bersahabat. Sesungguhnya bertemu dan hidup dengan ayah adalah anugerah dan rahmat bagi mama. Ayah adalah teman hidup mama yang bisa membawa mama ke jalan syurga…………..

Friday, November 28, 2008

UKHWAH INI BERMULA DAN TIADA PENGAKHIR.

Bermula kini, mama mengambil alih tugas Auntie Iza sebagai pembantu tadbir Maahad Tahfiz An-Nur. Auntie Iza atau nama sebenarnya Nor Hasriza Mustafa bekerja untuk tahfiz milik ayah dan mama itu bermula Mei hingga November tahun ini, lebih kurang 6 bulan. Oleh kerana tiada pengganti, mama perlu teruskan juga demi memastikan operasi tahfiz berjalan lancar.
Sekali pandang, berwajah serius, tetapi tak pernah rasa sunyi bersama Auntie Iza.

Auntie Iza bukannya mama kenal sejak 6 bulan dulu, tetapi sejak 5 tahun dulu iaitu tahun 2003. Dia bekerja untuk tahfiz bukan untuk mama, dan tidak pernah mama menganggap Auntie Iza sebagai staff sebagaimana staff yang lain. Yang menemukan mama dan Auntie Iza hanya satu sebab, iaitu PERJUANGAN! Aqidah dan perjuangan akhirnya menyatukan kami. Auntie Iza, mama kenal sejak dia berada di matrikulasi. Setelah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Pendidikan Kimia, hubungan kami semakin rapat, bukan sekadar hubungan naqibah-anak usrah, lebih seperti adik kandung sendiri.


Hidup ini pasti kosong tanpa sahabat sepertimu...
Andai suatu hari nanti, mama telah tiada, carilah Auntie Iza kerana dia lebih mengenali mama berbanding mama kenal diri mama sendiri. Selama di kampus sehinggalah hari ini, mama berkongsi perasaan, suka, duka, tawa, tangis, susah,senang, lapar, kenyang, dan segalanya bersama dia. Auntie Iza yang mama kenal tidak pernah hilang dalam dirinya semangat berkerja untuk jemaah. Auntie Iza yang mama kenal sukar menangis walau berat masalah yang ditanggung. Auntie Iza yang mama kenal, tidak pernah menunjukkan masalah yang dia hadapi. Auntie Iza yang mama kenal juga berhati lembut mudah bersimpati, walau keras di luarannya.

Kini dia pulang ke kampung halaman untuk meneruskan perjuangan dakwah dan tarbiyah di SMK Keratong. Walau berjauhan kini, mama rasakan dia sentiasa di sisi mama. Mama tidak akan lupa beberapa tahun lalu,tika mama dimasukan ke wad Hospital Slim River, di tengah lewat malam dia kejarkan mama ke hospital. Auntie Iza sanggup tinggalkan kuliah dan kelas beberapa hari untuk menjaga mama. Tidak pernah dia tinggalkan mama sendirian, sentiasa di sisi. Detik itu, mama berbisik sendirian, “Iza, kau bukan adik aku, tapi kenapa kau layan aku lebih seperti kakak kau sendiri...”
Senyum tawamu pasti kurindui, walau berjauhan moga tetap berjuang!

Mama kerap jatuh sakit dulu, dialah yang menjaga mama, melihat mama sudah makan atau tidak, walau berada jauh berlainan kolej kediaman. Tika mama tertekan menyiapkan tesis, dia masih di sisi untuk membantu dan memberi sokongan. Di kala perasaan kacau, sedih, tidak tahu apa yang perlu dibuat, pasti Auntie Iza ada di sisi mama. Selalu kami tidur sebantal dan berusrah sebelum melelapkan mata.. Terlalu banyak memori yang mama kenangkan tika bersama Auntie Iza dan juga adik-adik lain.

Di akhir semester mama berada di UPSI, mama berkesempatan tinggal satu rumah bersama Auntie Iza dan Auntie Syam di kolej KAB. Mama rasa inilah saat-saat manis terakhir buat kami. Dalam semester itu, mama menjalani latihan praktikum di SMA Sg. Selisek, lebih kurang 30 minit dari kolej. Setiap hari, seawal 6.45 pagi mama sudah bersiap, keluar sahaja dari bilik, hidangan sarapan sudah tersedia untuk mama, sekalipun ringkas, secawan nescafe panas dan roti bersama mushroom soup segera. Bila mama balik sekolah pula, makanan tengah hari juga sudah tersedia di atas meja. Dengan kesibukan menjalani hari-hari sebagai guru praktikum, Auntie Iza dan Auntie Syam juga menguruskan pakaian mama, basuh, sidai, lipat dan kadang-kadang gosok. Semuanya mama takkan lupa.. Sesekali mama melihat video-video yang kami ambil waktu itu, mama ketawa sendirian, merindukan saat-saat itu.

Orang lain yang melihat cara hidup kami, rasa pelik dan hairan. Tidak seperti rakan serumah yang biasa. Inilah rahsia kasih sayang kerana Allah!

Kini masing-masing membawa hidup sendirian di tempat yang berbeza. Auntie Syam selepas ni akan menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Terengganu. Begitu juga dengan adik-adik mama yang lain, Auntie Huda, Auntie Syabi, Uncle TG dan Uncle Najib. Auntie Uwie dan Uncle Akmal masih meneruskan perjuangan mereka di kampus. Namun, ikatan kasih sayang ini takkan berakhir... Arwah Uncle Suhaimi adalah sebahagian daripada kami. Moga arwah tenang di alam sana dan kami di sini takkan berhenti berdoa untuk arwah.

Mungkin di entry yang akan datang, mama akan ceritakan kisah mama dan adik-adik mama yang lain. Sesungguhnya hidup mama mula terisi dengan kehadiran mereka. Untuk Auntie Iza, “Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak dunia akhirat. Moga dirimu thabat dalam perjuangan ini. Ingat wahai adikku... membawa Islam di zaman ini umpama menggenggam bara api. Jangan mudah putus asa andai tanganmu melecur, kerana parutnya akan menjadi bukti di hari pembalasan kelak. Iza bukan anak usrah akak, tapi Iza adalah adik akak...”
Auntie Iza dan Auntie Syam

Thursday, November 27, 2008

AKU ANAK PEJUANG

Seawal 7.00 pagi (15 November 2008), mama, Auntie Uwie, Auntie Aimi dan Auntie Dayah bersiap untuk ke PKM. Mata mama begitu mengantuk oleh sebab pukul 4.30 pagi baru tidur semalam. setelah semua barang dimasukkan ke dalam kereta, kami bergerak ke PKM BBS untuk pendaftaran peserta sebelum menaiki bas.
Tiba di tempat program pada pukul 10.30 pagi.
Ice-breaking untuk pecahkan tembok antara peserta-peserta.
Program kali ini membawa misi jemaah yang digarapkan untuk memastikan tarbiyah anak-anak ahli turut terjaga selain memberi kefahaman bahawa ibu bapa mereka bukan berjuang untuk parti semata-mata, bahkan sedang bertarung untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Malaysia ini. Anak-anak ini juga perlu faham bahawa perjuangan ibu bapa mereka ini memerlukan seribu satu pengorbanan, baik daripada ibu bapa itu sendiri, bahkan anak-anak juga.
Slot LDK penting untuk mengukuhkan kefahaman peserta.
Kak Siti sempat lagi memancing sambil-sambil uruskan program.
Seorang pejuang perlu memastikan dirinya, rumah tangganya dan anak-anaknya menghayati Islam sebagai cara hidup mereka dan sekaligus wajib hidup untuk memperjuangkannya. Ini mama ingat daripada buku pertama yang mama baca selepas mengenali jemaah, ‘Maaza Ya’ni Intima’i Lil-Islam’ hasil bernilai Fathi Yakan. Perjuangan ini tidak akan berhenti sehinggalah matlamat Islam mentadbir dunia tercapai. Namun, sebagai Harakah Islamiyah, matlamat sebegitu besar perlu dicapai secara berperingkat iaitu:

Pembentukan peribadi muslim
Pembentukan keluarga muslim
Pembentukan masyarakat muslim
Pembentukan Negara Islam
Pembentukan Khilafah Islamiyah

Kembara malam, menguji keberanian dan ukhwah peserta.
Modul ringkas tetapi membawa objektif berat iaitu
kepentingan strategi yang baik, kerjasama dan ukhwah.

Anak-anak adalah penyambung kesinambungan perjuangan ini. Jadi, terlalu penting untuk menyediakan tarbiyah khusus untuk anak-anak sebagai persediaan mereka memikul tanggungjawab besar ini kelak. Terlalu rugi dengan kesakitan melahirkan anak dan kos yang tinggi membesarkan mereka, jika ada ibu bapa yang tidak berniat untuk mewariskan perjuangan mereka itu. Terlalu rugi dan terlalu bodoh jika ini berlaku, sedangkan anak-anak itu adalah saham bagi ibu bapa di akhirat kelak. Kesakitan dan kepayahan yang dilalui langsung tidak berbaloi jika anak-anak tidak menjadi pewaris untuk terus menyalurkan tenaga, masa dan wang demi melihat Islam kembali memerintah dunia.

Setiap kali bercakap tentang anak, mama pasti teringatkan kandungan mama yang gugur lebih tujuh bulan dulu. Sedih menyelinap di hati, namun mama terima ia dengan hati yang redha. Namun untuk anak-anak yang bakal mama lahirkan,harapan mama untuk kalian:

“Jadilah anak mama yang soleh solehah, yang tidak takut berkata benar di hadapan penzalim. Jadilah anak mama yang tidak gentar dengan ancaman dan ugutan musuh. Jadilah anak yang tidak malu menjunjung agama walau dalam apa jua sekalipun. Pastikan kalian bias menjadi penyambung perjuangan ayah dan mama….”



Mama bersama urusetia lain, Dayah, Uwie, Aimi dan Kak Siti, bergambar sebelum pulang.




Wednesday, November 19, 2008

SAMBUTAN JUBLI PERAK PAS KAW. SELAYANG

Hari ini,Jumaat (14 Nov 2008), mama hanya bertugas mengawas peperiksaan sehingga pukul 8.30 pagi kerana calon yang sepatutnya menduduki peperiksaan pagi ini tidak hadir. Jadi, mama pulang ke rumah sejurus selepas menghantar soalan balik semula ke bilik kebal. Auntie Rad berada di rumah mama sejak semalam. Dia baru sahaja selesai peperiksaan di kampusnya, UM.

Rancangan awal, Auntie Rad mahu bekerja untuk tahfiz mama dan ayah, menggantikan Auntie Iza. Tapi ada hal yang tidak boleh dielakkan. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Pukul 3.30 petang, mama ke sekolah untuk menyambung tugasan di bilik SPBT dan menghantar buku rekod P&P ke pejabat.

Mama ketika bertugas di meja pendaftaran.

Kepala mama ligat berfikir, masih ada lagikah barang-barang yang perlu dibeli untuk ke program esok. Semalam mama dan Auntie Dayah ke Tesco untuk beli barang-barang tersebut. Harap-harap semuanya dah beli, tiada yang tertinggal. Malam ni mama ditemani Auntie Aimi dan Auntie Uwie. Auntie Aimi baru saja di’posting’kan ke SMK Teluk Panglima Garang, Kuala Langat. Auntie Uwie pula baru selesai peperiksaan akhir semester di UPSI.

Auntie Aimi dan Auntie Uwie bersama mama malam ini.

Malam ini mama bertugas di meja pendaftaran ahli Pas dan Kelab Penyokong Pas di Stadium MPS sempena sambutan Jubli Perak Pas Kaw. Selayang. Hujan lebat di awal majlis menyebabkan hadirin yang hadir kurang menggalakkan. Namun, sambutan ini tetap meriah dengan pembukaan oleh Juara Akademi Al-Quran dengan alunan tilawah Al-Quran yang cukup merdu. Selain itu, persembahan nasyid dari kumpulan In-Team dan juga As-Saufee turut membuatkan hadirin terhibur di kala hujan renyai-renyai. Acara kemuncak adalah mendengar ucapan daripada YB Dr. Hasan Ali yang penuh bersemangat dan dorongan untuk semua pendokong dan penyokong parti agar terus berusaha menguasai pentadbiran dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai misi utama Pakatan Rakyat.

Mama bersama Nisa' Selayang~

Mama pulang ke rumah pukul 12.30 tengah malam. Auntie Dayah tidur di rumah mama malam ni bagi menyiapkan fail-fail peserta untuk program KPS esok. Pukul 2.30 pagi, mama dan Auntie Dayah terpaksa keluar lagi ke pasar borong NSK. Air mineral yang telah dibeli sebelum ini dirasakan tidak cukup untuk sepanjang program. Nasib baik NSK dibuka 24 jam,kalau dibeli esok pasti tak sempat sebab bertolak awal. Alangkah baiknya, jika ayah ada di sisi mama tika ini.... Penatnya.....bisik hati mama.

“Ya Allah....ikhlaskan aku dalam bekerja untuk agamaMu. Ya Muhaimin...jadikan kepenatan ini mahar untuk ku memperolehi redhaMu...”