Tersentak hati mama dengan ingatan ini. Kerdilnya diri berbanding mereka yang dikasihi Allah. Tika Ramadhan menjelmakan diri, dan orang-orang soleh berlumba-lumba merebut ganjaran, ramai yang lupa dan mahu melupakan berkatnya bulan ini. Di tempat kerja mama sering mama terdengar dialog-dialog jualan murah, harga runtuh dan pelbagai lagi. “Letih lah bulan puasa masuk kelas. Nak menjerit pun tak larat.. Eh..berapa pasang baju tahun ini? Tema aku tahun ini, warna biru, semua dah siap beli, biru semua, tudung anak aja yang tengah cari.. Kuih raya kat tempat tu murah, 50 biji RM15. Langsir pun rasa nak tukar la tahun ni. Nak beli labuci dengan akak tu, nak tambah kat lengan dan leher baju, meriah sikit kan...” Pelbagai dialog yang mungkin tak terlarat mama nak coretkan di sini. Dan tak dapat mama lupakan, baru sahaja mama menghabiskan doa selepas solat di surau tempat mama bekerja... “eh Ti..berminat tak nak join bisnes ni. Modal kecik aje. Kita duk diam je duit masuk. Nanti akak bawa brochure, boleh la baca. Sampai bila kita nak duk takuk lama je kan..” Mama hanya jawab, “Mungkin tak kot kak, saya dah cukup apa yang ada.” Mama akan ingat pesan ayah sebelum ayah pergi, “tak perlu bisnes apa-apa sepanjang abang tak ada”
Keletihan mengajar dalam bulan puasa memang mama takkan sangkal. Benar, amat memenatkan, tekak terasa perit sangat, dalam masa yang sama suara yang kuat perlu dilontar agar anak pelajar mendengarnya. Tapi keletihan itu terubat jika kita yakin akan ganjaran di sisi Allah. Tapi mama pelik kenapa ramai di kalangan rakan sejawat mama yang masih bertenaga untuk bersembang tentang bisnes, cara bagaimana menambah pendapatan dan sebagainya. Sedangkan sebelum itu terpacul di mulut mereka keletihan mengajar di dalam kelas. Tidakkan sama sahaja keletihan itu dengan usaha mereka menyakinkan rakan sejawat lain untuk turut serta dalam perniagaan MLM mereka tu?? Hati mama berbisik sendiri, “Ya Allah...berikan aku kekuatan untuk hanya beribadah kepadaMu..”
Malam ini tazkirah di surau Ad-Diniyyah disampaikan oleh YB Ust Nasarudin Mat Isa. Setiap kali tiba slot tazkirah iaitu selepas 4 rakaat terawih, hati mama pasti meronta-ronta teringatkan ayah kerana ayah aktif dalam menyampaikan kuliah-kuliah agama dan tazkirah. Mama suka sangat dengar kalau ayah menyampaikan kuliah, tapi selalunya mama tak berpeluang ikut bersama oleh kerana mama pulang dari kerja lewat, dan ayah perlu keluar dari rumah lebih awal untuk mengelakkan kesesakkan lalu lintas, orang pulang dari kerja. Paling kerap ayah dapat kuliah maghrib dan kadang-kadang kuliah subuh. Mama benar-benar rindukan ayah...
Ust Nasarudin memang cocok dengan penampilannya, gaya percakapannya amat teratur dan berhati-hati. Tidak hairan beliau diangkat sebagai pemimpin. Berdiri di atas agama dengan kefahaman, kalimah yang ditekankan dalam tazkirahnya. Dengan kefahaman, seseorang itu pasti tidak akan tersesat dan membuta-tuli. Dan kerana itu juga, tidak kira muda atau tua dan semua lapisan umur sentiasa perlu menuntut ilmu terutamanya ilmu fardhu ‘ain. Namun, dewasa kini golongan ibu bapa hanya banyak menitik beratkan ilmu persekolahan sedangkan itu hanya fardhu kifayah. Seorang ibu sanggup membayar RM300 untuk tuisyen peribadi untuk anaknya hanya untuk 1-2 jam seminggu, tetapi bising bila perlu membayar RM30 untuk kelas pengajian Al-Quran anaknya. Katanya, “ Ustaz ni nak berniaga dengan ilmu agama pulak.. Mana boleh macam tu. Ajar al-Quran kena ikhlas..” Apa jenis manusia yang boleh kita labelkan dengan kejadian tadi?? Ramai yang berkira dalam beragama. Kenapa? Tiada kefahaman. Jadi tidak hairan mengapa As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (Moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan barakah..Al-Fatihah...) menerbitkan sehingga 20 usul bagi rukun baiah yang pertama sahaja iaitu ‘Al-Fahmu’ (kefahaman).
Kefahaman dalam beribadah membuahkan amal yang kusyuk dan mampu membentuk peribadi muslim yang unggul. “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan mungkar” Namun, tidakkah hairan kita melihat ramai yang solat tapi masih melakukan dosa dan maksiat? Sedang bermadu asmara dana di sebuah tasik metropolitan.. “Eh..ayang...rasa macam seminit je kan duk kat sini. Tak puas jumpa dengan ayang.. Jom kita solat dulu nak??” Sambil berpegang tangan tidak tahu halal dan haram menuju mencari surau. Aneh tak kejadian tadi? Dating, dating jugak, pegang, pegang jugak, tapi solat jugak! Nah...di sini pentingnya kefahaman. Cubalah kita selidik, adakah solat mereka sempurna? Adakah wudhuk mereka sempurna? Adakah hati mereka kusyuk?? Jadi jika tiada kefahaman dan ilmu, solatlah walaupun seribu rakaat sekalipun, itu masih tidak menjanjikan ketaqwaan bagi mereka dan tanpa taqwa mereka takkan takut akan seksa Allah.
Begitu juga dengan kehadiran ramadhan yang berkat, tidak semua faham bahawa ini lah bulan yang sarat dengan ‘SALES’. Allah menjanjikan keampunan bagi hambanya yang bertaubat dan semua amalan fardhu dan sunat digandakan ganjaran pahalanya. Bukankah ia ‘SALES’ yang terlampau gempaq? Masalahnya tak ramai yang faham dan tidak mahu memahaminya. Mama mohon pada Allah, moga Mama ditetapkan dalam agama dan diberikan kefahaman dalam agama. “Allahumma inna nas-aluka qalban khaasyi’aa, wa nas-aluka ‘ilman naafi’aa, wa nas-aluka yaqiinan shodhiqaa, wa nas-aluka diinan qayyimaa...”
02 Ramadhan 1427 H
0114 am