Tuesday, September 9, 2008

Cinta kerana Allah: Bertemu tidah jemu, berpisah tidak gelisah..

Kukalungkan cinta suciku terhadapMu dalam qiamku
kualiri anak sungai pipiku dengan cinta syahdu air mataku padaMu di tika sujudku
Tuhanku,
kumerinduiMu lalu kumencari jalan syahid
untuk menoktahkan lelah cintaku padaMu,
kubelayar mencari redhaMu dari tanah gersang ini,
ke bumi ambia' kutelusuri rahmatMu,
kudambakan keampunanMu di bawah bayangan kaabah,
terima kasih Tuhanku kerna mengizinkan hamba kerdil ini ke teratakMu,
di sana Kau mendengar rintihan sesalan hamba berdosa
doa keampunan dalam tangisan air mata lautan manusia,
dalam desiran munajat lautan ummat yang tersendu di hujung senja,
dan itulah aku….
-Mohd. Rapi B. Hj. Mohd. Nor-


Puisi ringkas ini dinukilkan oleh suami mama di saat-saat akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci. Pemergian yang agak lama meninggalkan mama di tanah air. Suami mama bukan seorang yang kejam kerana meninggalkan mama keseorangan di sini, kerana cintanya pada Allah melebihi segala-galanya. Perginya bukan kerana keseronokkan, tapi perginya demi mencari cinta Illahi, mencari ketenangan hakiki. Izinkan mama bahasakan suami mama dengan panggilan ayah.

Ayah berangkat siang tadi pada 24 Ogos 2008 pada pukul 12.00 tengah hari dengan penerbangan YemenAir. Mama mengiringi ayah sampai ke airport KLIA bersama saudara-mara lain. Wajah ayah tampak begitu bersih dan tenang dengan senyuman, dengan berjubah dan kopiah serba putih. Mama takkan lupakan wajah itu. Mama tahu ayah pasti tak sabar untuk menjejakkan kaki ke Baitullah. Hati mama serba tak kena sejak tiga hari lalu. Sedaya mama memujuk hati ini. Ya Allah, jangan Kau biarkan kesedihan hatiku ini kelihatan di mata suamiku. Kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah....

Dalam kesibukkan ayah menguruskan hal penerbangan bersama teman-temannya, mama tak berhenti memohon Allah tabahkan hati mama, jangan Ya Allah Kau biarkan air mataku tumpah di depan suamiku... Lalu sampailah masanya, ayah berangkat masuk ke tempat penerbangan. Ayah mengucup dahi mama buat kali terakhir dan ayah berjalan pergi.. mama tak mampu lagi menahan air mata ini, mama tak mampu lagi menahan sebak ini.... Dalam hati mama berbicara sendiri...
“Pergilah suamiku dengan tenang, mencari cinta sejati kasih Illahi, kerana dengan cinta itu bisa membuatkan cinta kita berdua kekal selamanya. Benar perpisahan itu memeritkan, tapi ku ajar hatiku menerima perpisahan ini sebagai satu keindahan. Cinta kerana Allah pasti membuatkan kita bertemu tidak jemu dan berpisah tidak gelisah.... Lindungi suamiku Ya Allah, selamatkan suamiku..Tiada tempat lagi untuk ku memohon selain daripada Engkau yang maha pemurah dan maha mengasihani....” Mata mama mengiringi langkah ayah. Air mata kian laju...tubuh ayah makin jauh meninggalkan mama. Akhirnya, kelibat ayah sudah tidak kelihatan. Kini mama sedar ayah bukan lagi di sisi mama.................

Bertemankan ibu mama dan beberapa sahabat, mama memandu pulang ke Selayang selepas menghantar sepupu mama ke Seremban. Hujan lebat menyebabkan mama tersesat di tengah bandar Kuala Lumpur. Hati mama berbicara, jika ada ayah pasti takkan sesat..hati mama serasa mahu menjerit memanggil ayah....air mata mama tahan, kerana malu dengan sahabat dan ibu mama. Nanti mereka ingat mama manja. Tapi sebenarnya memang mama lemah dengan ketiadaan ayah.. Betapa pentingnya ayah di sisi mama dan sekarang mama perlu belajar hidup sendiri...

Sesampai di rumah pada pukul 4.00 petang, kepenatan mama menyebabkan mama tertidur. Bila terjaga daripada tidur, mama tertanya mana ayah tiada di sebelah mama, seolah-olah mama lupa ayah dah berangkat tadi. Sekali lagi hati mama sebak.. Ya Allah, takkan Kau bebani hamba Mu ini melainkan sesuai dengan kesanggupan dan kemampuanku.. Dengan itu Ya Allah, ku mohon kekuatan daripadamu untukku meneruskan hari-hariku tanpanya di sisi............................

24 Ogos 2008


2309 pm

No comments: