Tuesday, September 9, 2008

BERDIRI ATAS AGAMA DENGAN KEFAHAMAN

Ramadhan adalah madrasah. Ungkapan yang sering kita dengar tika tibanya bulan Ramadhan yang mulia. “Allahumma baarik lana fii Rajab wa sya’ban wa ballighna Ramadhan” Ya Allah, berkati kami di bulan rejab dan syaaban ini, serta sampaikan kami di bulan Ramadhan. Doa ini secara terus terang menunjukkan Ramadhan adalah bulan yang terlalu ditunggu-tunggu. Tapi tidak semua ummat yang menunggu-nunggu kehadirannya melainkan hamba yang bertaqwa. Tidak ubah seperti seorang pecinta yang merindukan kekasihnya. Perasaan gembira tak terkira yang mereka rasakan pada saat kedatangan Ramadhan, bagi mereka tiada khabar gembira yang paling ditunggu selain khabar mengenai datangnya Ramadhan. Bulan penuh barakah, musim penuh kebaikan dan segala kebajikan. Bahkan persiapan yang besar itu pun sudah dipersiapkan jauh-jauh hari sebelumnya iaitu pada bulan rejab dan syaaban.

Tersentak hati mama dengan ingatan ini. Kerdilnya diri berbanding mereka yang dikasihi Allah. Tika Ramadhan menjelmakan diri, dan orang-orang soleh berlumba-lumba merebut ganjaran, ramai yang lupa dan mahu melupakan berkatnya bulan ini. Di tempat kerja mama sering mama terdengar dialog-dialog jualan murah, harga runtuh dan pelbagai lagi. “Letih lah bulan puasa masuk kelas. Nak menjerit pun tak larat.. Eh..berapa pasang baju tahun ini? Tema aku tahun ini, warna biru, semua dah siap beli, biru semua, tudung anak aja yang tengah cari.. Kuih raya kat tempat tu murah, 50 biji RM15. Langsir pun rasa nak tukar la tahun ni. Nak beli labuci dengan akak tu, nak tambah kat lengan dan leher baju, meriah sikit kan...” Pelbagai dialog yang mungkin tak terlarat mama nak coretkan di sini. Dan tak dapat mama lupakan, baru sahaja mama menghabiskan doa selepas solat di surau tempat mama bekerja... “eh Ti..berminat tak nak join bisnes ni. Modal kecik aje. Kita duk diam je duit masuk. Nanti akak bawa brochure, boleh la baca. Sampai bila kita nak duk takuk lama je kan..” Mama hanya jawab, “Mungkin tak kot kak, saya dah cukup apa yang ada.” Mama akan ingat pesan ayah sebelum ayah pergi, “tak perlu bisnes apa-apa sepanjang abang tak ada”

Keletihan mengajar dalam bulan puasa memang mama takkan sangkal. Benar, amat memenatkan, tekak terasa perit sangat, dalam masa yang sama suara yang kuat perlu dilontar agar anak pelajar mendengarnya. Tapi keletihan itu terubat jika kita yakin akan ganjaran di sisi Allah. Tapi mama pelik kenapa ramai di kalangan rakan sejawat mama yang masih bertenaga untuk bersembang tentang bisnes, cara bagaimana menambah pendapatan dan sebagainya. Sedangkan sebelum itu terpacul di mulut mereka keletihan mengajar di dalam kelas. Tidakkan sama sahaja keletihan itu dengan usaha mereka menyakinkan rakan sejawat lain untuk turut serta dalam perniagaan MLM mereka tu?? Hati mama berbisik sendiri, “Ya Allah...berikan aku kekuatan untuk hanya beribadah kepadaMu..”

Malam ini tazkirah di surau Ad-Diniyyah disampaikan oleh YB Ust Nasarudin Mat Isa. Setiap kali tiba slot tazkirah iaitu selepas 4 rakaat terawih, hati mama pasti meronta-ronta teringatkan ayah kerana ayah aktif dalam menyampaikan kuliah-kuliah agama dan tazkirah. Mama suka sangat dengar kalau ayah menyampaikan kuliah, tapi selalunya mama tak berpeluang ikut bersama oleh kerana mama pulang dari kerja lewat, dan ayah perlu keluar dari rumah lebih awal untuk mengelakkan kesesakkan lalu lintas, orang pulang dari kerja. Paling kerap ayah dapat kuliah maghrib dan kadang-kadang kuliah subuh. Mama benar-benar rindukan ayah...

Ust Nasarudin memang cocok dengan penampilannya, gaya percakapannya amat teratur dan berhati-hati. Tidak hairan beliau diangkat sebagai pemimpin. Berdiri di atas agama dengan kefahaman, kalimah yang ditekankan dalam tazkirahnya. Dengan kefahaman, seseorang itu pasti tidak akan tersesat dan membuta-tuli. Dan kerana itu juga, tidak kira muda atau tua dan semua lapisan umur sentiasa perlu menuntut ilmu terutamanya ilmu fardhu ‘ain. Namun, dewasa kini golongan ibu bapa hanya banyak menitik beratkan ilmu persekolahan sedangkan itu hanya fardhu kifayah. Seorang ibu sanggup membayar RM300 untuk tuisyen peribadi untuk anaknya hanya untuk 1-2 jam seminggu, tetapi bising bila perlu membayar RM30 untuk kelas pengajian Al-Quran anaknya. Katanya, “ Ustaz ni nak berniaga dengan ilmu agama pulak.. Mana boleh macam tu. Ajar al-Quran kena ikhlas..” Apa jenis manusia yang boleh kita labelkan dengan kejadian tadi?? Ramai yang berkira dalam beragama. Kenapa? Tiada kefahaman. Jadi tidak hairan mengapa As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (Moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan barakah..Al-Fatihah...) menerbitkan sehingga 20 usul bagi rukun baiah yang pertama sahaja iaitu ‘Al-Fahmu’ (kefahaman).

Kefahaman dalam beribadah membuahkan amal yang kusyuk dan mampu membentuk peribadi muslim yang unggul. “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan mungkar” Namun, tidakkah hairan kita melihat ramai yang solat tapi masih melakukan dosa dan maksiat? Sedang bermadu asmara dana di sebuah tasik metropolitan.. “Eh..ayang...rasa macam seminit je kan duk kat sini. Tak puas jumpa dengan ayang.. Jom kita solat dulu nak??” Sambil berpegang tangan tidak tahu halal dan haram menuju mencari surau. Aneh tak kejadian tadi? Dating, dating jugak, pegang, pegang jugak, tapi solat jugak! Nah...di sini pentingnya kefahaman. Cubalah kita selidik, adakah solat mereka sempurna? Adakah wudhuk mereka sempurna? Adakah hati mereka kusyuk?? Jadi jika tiada kefahaman dan ilmu, solatlah walaupun seribu rakaat sekalipun, itu masih tidak menjanjikan ketaqwaan bagi mereka dan tanpa taqwa mereka takkan takut akan seksa Allah.

Begitu juga dengan kehadiran ramadhan yang berkat, tidak semua faham bahawa ini lah bulan yang sarat dengan ‘SALES’. Allah menjanjikan keampunan bagi hambanya yang bertaubat dan semua amalan fardhu dan sunat digandakan ganjaran pahalanya. Bukankah ia ‘SALES’ yang terlampau gempaq? Masalahnya tak ramai yang faham dan tidak mahu memahaminya. Mama mohon pada Allah, moga Mama ditetapkan dalam agama dan diberikan kefahaman dalam agama. “Allahumma inna nas-aluka qalban khaasyi’aa, wa nas-aluka ‘ilman naafi’aa, wa nas-aluka yaqiinan shodhiqaa, wa nas-aluka diinan qayyimaa...”

02 Ramadhan 1427 H
0114 am

RAMADHAN MEMBERIKAN KEKUATAN

Malam ini 1 Ramadhan, dan esok bermulanya puasa. Dengan kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya, mama mampu berpuasa walaupun mempunyai masalah penyakit dalaman. Berterawih kali pertama pada tahun ini tanpa ayah di sisi, hati mama terusik lagi. Selepas terawih, mama tadarus Al-Quran. Sekali lagi hati mama diuji. Mama terngiang-ngiang, suara ayah membetulkan bacaan mama jika ada yang tak kena. Mama benar-benar rindukan ayah…. Air mata mama mengalir laju meskipun ditahan. Beberapa kali menyeka dari terus mengalir, mama tak dapat teruskan bacaan…

Lalu mama mencapai baju terakhir yang ayah pakai sebelum berangkat dulu,mama cium ntah berapa kali untuk melepaskan rindu dan sendu. Hati mama merintih, “Ya Allah…Kau selamatkanlah suamiku di sana. Jauhi dia daripada sebarang penyakit dan musibah. Kau kuatkan semangat dan tubuh badannya untuk terus beribadah kepadaMu.. Hanya padaMu ku berserah akan keselamatannya….”

Seberapa minit selepas itu, barulah mama dapat meneruskan bacaan. Dengan rindu yang membuak terhadap ayah dan keindahan bahasa dan susunan Al-Quran, terasa begitu hiba dan hati ini begitu tersentuh. “Ya Illahi…Betapa agungnya kalimahMu ini. Bisa meleburkan hati-hati manusia. Serasa tenang memperdengarkannya, meski hati gundah rindukan hambaMu yang bernama suami…” Malam ni sendu mama dipujuk oleh ayat-ayat suci...

Mama masih berbicara sendiri.. “Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana diberi kesempatan menemui Ramadhan kali ini.Aku berharap Engkau bukalah pintu keampunanMu dan rahmatMu untuk ku.Dan izinkan lagi bagiku berjumpa Ramadhan di tahun depan dan seterusnya... Berikanku kekuatan, Ya Allah untuk melaksanakan suruhanMu dan beri aku kekuatan untuk melawan rasa rindu yang buat ku tak keruan...”

Sesekali mama terfikir, adakah ayah juga merasai derita rindu ini?? Jika demikian, mama mohon kepada Allah… “Ya Rabbi, Ya Lathif…Hilangkan rindu suamiku terhadapku..Janganlah cintanya kepadaku melebihi cintanya kepadaMu…Kau kuatkan dan tabahkan hatinya, kerana dia merindui syahid di jalanMu…”

01 Ramadhan 1429
2350 pm
BBS Fasa 2A

Cinta kerana Allah: Bertemu tidah jemu, berpisah tidak gelisah..

Kukalungkan cinta suciku terhadapMu dalam qiamku
kualiri anak sungai pipiku dengan cinta syahdu air mataku padaMu di tika sujudku
Tuhanku,
kumerinduiMu lalu kumencari jalan syahid
untuk menoktahkan lelah cintaku padaMu,
kubelayar mencari redhaMu dari tanah gersang ini,
ke bumi ambia' kutelusuri rahmatMu,
kudambakan keampunanMu di bawah bayangan kaabah,
terima kasih Tuhanku kerna mengizinkan hamba kerdil ini ke teratakMu,
di sana Kau mendengar rintihan sesalan hamba berdosa
doa keampunan dalam tangisan air mata lautan manusia,
dalam desiran munajat lautan ummat yang tersendu di hujung senja,
dan itulah aku….
-Mohd. Rapi B. Hj. Mohd. Nor-


Puisi ringkas ini dinukilkan oleh suami mama di saat-saat akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci. Pemergian yang agak lama meninggalkan mama di tanah air. Suami mama bukan seorang yang kejam kerana meninggalkan mama keseorangan di sini, kerana cintanya pada Allah melebihi segala-galanya. Perginya bukan kerana keseronokkan, tapi perginya demi mencari cinta Illahi, mencari ketenangan hakiki. Izinkan mama bahasakan suami mama dengan panggilan ayah.

Ayah berangkat siang tadi pada 24 Ogos 2008 pada pukul 12.00 tengah hari dengan penerbangan YemenAir. Mama mengiringi ayah sampai ke airport KLIA bersama saudara-mara lain. Wajah ayah tampak begitu bersih dan tenang dengan senyuman, dengan berjubah dan kopiah serba putih. Mama takkan lupakan wajah itu. Mama tahu ayah pasti tak sabar untuk menjejakkan kaki ke Baitullah. Hati mama serba tak kena sejak tiga hari lalu. Sedaya mama memujuk hati ini. Ya Allah, jangan Kau biarkan kesedihan hatiku ini kelihatan di mata suamiku. Kerana aku tidak mahu kesedihan ini menjadikan hatinya lemah....

Dalam kesibukkan ayah menguruskan hal penerbangan bersama teman-temannya, mama tak berhenti memohon Allah tabahkan hati mama, jangan Ya Allah Kau biarkan air mataku tumpah di depan suamiku... Lalu sampailah masanya, ayah berangkat masuk ke tempat penerbangan. Ayah mengucup dahi mama buat kali terakhir dan ayah berjalan pergi.. mama tak mampu lagi menahan air mata ini, mama tak mampu lagi menahan sebak ini.... Dalam hati mama berbicara sendiri...
“Pergilah suamiku dengan tenang, mencari cinta sejati kasih Illahi, kerana dengan cinta itu bisa membuatkan cinta kita berdua kekal selamanya. Benar perpisahan itu memeritkan, tapi ku ajar hatiku menerima perpisahan ini sebagai satu keindahan. Cinta kerana Allah pasti membuatkan kita bertemu tidak jemu dan berpisah tidak gelisah.... Lindungi suamiku Ya Allah, selamatkan suamiku..Tiada tempat lagi untuk ku memohon selain daripada Engkau yang maha pemurah dan maha mengasihani....” Mata mama mengiringi langkah ayah. Air mata kian laju...tubuh ayah makin jauh meninggalkan mama. Akhirnya, kelibat ayah sudah tidak kelihatan. Kini mama sedar ayah bukan lagi di sisi mama.................

Bertemankan ibu mama dan beberapa sahabat, mama memandu pulang ke Selayang selepas menghantar sepupu mama ke Seremban. Hujan lebat menyebabkan mama tersesat di tengah bandar Kuala Lumpur. Hati mama berbicara, jika ada ayah pasti takkan sesat..hati mama serasa mahu menjerit memanggil ayah....air mata mama tahan, kerana malu dengan sahabat dan ibu mama. Nanti mereka ingat mama manja. Tapi sebenarnya memang mama lemah dengan ketiadaan ayah.. Betapa pentingnya ayah di sisi mama dan sekarang mama perlu belajar hidup sendiri...

Sesampai di rumah pada pukul 4.00 petang, kepenatan mama menyebabkan mama tertidur. Bila terjaga daripada tidur, mama tertanya mana ayah tiada di sebelah mama, seolah-olah mama lupa ayah dah berangkat tadi. Sekali lagi hati mama sebak.. Ya Allah, takkan Kau bebani hamba Mu ini melainkan sesuai dengan kesanggupan dan kemampuanku.. Dengan itu Ya Allah, ku mohon kekuatan daripadamu untukku meneruskan hari-hariku tanpanya di sisi............................

24 Ogos 2008


2309 pm