Thursday, May 7, 2009

INDAHNYA BERUSRAH

Last week, telah terlaksana usrah muslimat kali pertama di cawangan mama setelah sekian lama ia menyepi. Beberapa kakak muslimat (berupa mak sbenarnya, hehe) meletakkan harapan besar untuk mama menggerakkan usrah muslimat di sini, setelah usaha dulu tak berhasil. Kini dengan banyak kelemahan dan kekurangan pada diri mama, terpaksa juga digagahi untuk mengepalai muslimat cawangan ni bagi sesi 2009/11. Jika sebelum ini sebahagian fokus mama pada remaja, namun kini mama perlu kutip pengalaman dan belajar untuk menghadapi dunia dewasa. (perasan remaja lagi...haha..auntie iza kalo bace ni misti mencebik).

Posting mama kali ni sebenarnya adalah untuk menyambung cerita di sebalik usrah mama bersama adik-beradik semasa di kampus dulu menggunakan drama Jepun bersiri: Gokusen. Actually, ia pernah menjadi satu kontroversi bagi sesetengah pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai penggunaan drama tersebut sebagai bahan dalam usrah. Sekali pon ia cerita lama (tahun 2006), bukan maksud mama untuk mengulas mengenai kontradiksi yang berlaku antara mama dan pihak tersebut. Namun, suka mama tegaskan sekalipun method yang mama guna sering mengundang silap faham, mama peduli apa (bahasa mudah, hehe) Hakikatnya kini, mama puas dengan apa yang mama usahakan. Ust Ya'qub Muhammad Hussin dalam hasil bernilai beliau "Usrah & Harakah" ada menyenaraikan beberapa penilaian terhadap kesan dan kejayaan usrah:
  1. Tanda-tanda awal kejayaan usrah ialah kedatangan ahli2 ke majlis secara konsisten dan berterusan.

  2. Anggota-anggota usrah senantiasa menghadiri program2 jemaah.
  3. Ahli secara beransur2 atau meninggalkan terus tabiat yang negatif.

  4. Kualiti ahli2 meningkat dengan kesanggupan memikul beban amanah dan tugas2 yang diberikan oleh pimpinan.

  5. Semangat sanggup berkorban untuk kepentingan jemaah dan sahabat2.

  6. Ahli2 bersedia untuk mempertahankan nama baik dan muruah Jamaah dengan hujah-hujah dan fikrah Islamiyyah.

  7. Lebih jauh dari itu, ahli2 mampu menyebarkan pengaruh Jamaah dan fikrahnya ke segenap lapisan masyarakat.

Ini menjadi sebahagian panduan buat mama untuk sentiasa koreksi kerja mama. indahnya usrah... rindu nak usrah ngan adik2 sekampus dulu.. rindunya nak usrah ngan sahabat2 sematrix dulu.. rindunya nak usrah ngan adik-beradik am.. Kini rindu itu, mama abadikan dalam usrah2 yang terbentang di depan mama, usrah nisa', usrah cawangan dan usrah remaja. Mama dan ayah juga selalu usrah berdua,hhihi..dengar ta'alim dari ayah slepas abes solat.. mama sampai pejam mate sebab kusyuk sangat..haha.




Beberapa tahun lalu, mama mengikat kasih bersama adik2 (Iza, Huda, Syabi, Syam, TG, najib,uwie, akmal n arwah Suhaimi). Kini, kasih itu mama alirkan untuk anak2 usrah Teen Circle.

Antara lain yang disebutkan oleh Ust Ya'qub juga, salah satu anasir yang menjayakan usrah adalah kaedah pengendalian usrah. Pengendalian usrah remaja setakat ni berjalan lancar, dan mama sentiasa dapat idea2 hasil kongsi bersama sahabat2. Al-maklumlah mama masih mude remaja...hhuhu..(sekali lagi Auntie Iza memuncungkan hidung, tanda protes..tapi auntie syam n huda takbir tanda sokongan..kuikuikui) Cume usrah dewatu (dewasa+tua) mama duk pikir ape kaedah yang paling sesuai n up to date.. Jadi, sahabat2 kat luar sane, jika ada pandangan n idea untuk berkongsi bersama, amat lah mama alu-alukan.."saya budak baru belajar, kalo salah tolong tunjukkan.." Hehe..siap berpantun lagi ni..




Karya lama...

Sesambil mama siapkan surat2 untuk next Nisa' punye program, gatal pulak tangan explore emel-emel lama. Termasuk sent item emel. Hingga tahun 2006 pun ada lagi..isk2..jadi terbukak la hasil2 tangan masa mama blaja dolu2..hehe.. Dulu rajin jugak la mama menulis, sekarang pon rajin jugak tapi kurang berdisiplin. Betul la sorg sahabat pernah pesan, menulis ni bukan bakat yang utama, tetapi latihan dan ketekunan. Tak pandai, tapi rajin n bersungguh2, lama2 mantop ler.. Selain hasil tulisan mama, ade lagi mama simpan hasil tulisan adik2 mama yang dikasihi, Auntie Iza, Auntie Syam, Auntie Huda dan Auntie Syabi.. mama akan publish satu hasil tulisan mama yang tak seberapa ni dan punya kisah di sebaliknya.. next posting mama crite la sket2 buat kongsi2 bersama...


SOROTAN KRITIKAL DRAMA JEPUN BEREPISOD
GOKUSEN


Sinopsis sepintas lalu
Mengisahkan seorang guru Yamaghuchi Kumiko yang merupakan pewaris terakhir generasi ke-4 Keluarga Oedo berketurunan Yakuza (mengikut kajian penulis, Yakuza merupakan keluarga mafia dimulakan dengan seorang samurai yang punya tingkah laku buruk, Bushido, selalu menyandang pedang samurai ke mana-mana beliau pergi. Perkataan Yakuza adalah berasal dari permainan kad Jepun (8-9-3), skor yang paling teruk. Keturunan Yakuza amat kuat ikatan dengan pengikut-pengikut, dan punya budaya serta bahasa yang agak berlainan dengan bangsa Jepun biasa.) Dengan latar belakang itu, Yamaghuci atau Yankumi (gelaran yang diberikan oleh pelajarnya) terpaksa menyembunyikan statusnya demi menjawat jawatan guru, dan dia akhirnya dipertanggungjawabkan sebagai guru kelas 3D, yang sebelum ini tiada seorang pun guru yang sanggup memegang kelas tersebut kerana terkenal dengan kejahatan dan sering membawa masalah. Akhirnya, dengan cara yang tersendiri, Yankumi akhirnya berjaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai guru yang sebenar-benar guru walaupun akhirnya rahsia latar belakangnya diketahui umum. Pengakhiran kisah ini, teramat menyayat hati.

Drama bersiri "Gokusen" pernah menjadi bahan bagi usrah mama & adik2~


Reputasi sebagai prioriti teratas
Berdasarkan pengamatan penulis, sistem pentadbiran di Jepun amat mementingkan reputasi (nama baik) sesuatu organisasi, tidak kira sama ada dalam institusi pendidikan mahupun badan-badan pentadbiran lain, sebagai contoh jelas melalui cerita ini dan Great Teacher Onizuka- GTO, pihak sekolah tiada pertimbangan ehsan untuk membuang pelajar atas sesuatu masalah, semata-mata untuk menjaga nama baik sekolah, sekalipun kesalahan itu tidak terletak pada pelajar terbabit. Pelajar 3D dan Yankumi sering diugut oleh pengetua untuk dibuang sekolah andai sesuatu berlaku. Yankumi dalam drama ini sentiasa bertungkus lumus menyelesaikan setiap kes pelajarnya, demi mengelakkan pelajarnya dibuang. Dan kemuncaknya apabila keseluruhan pelajar 3D diarahkan dibuang oleh pengarah tertinggi kementerian atas kesalahan melakukan protes, telah menuntut untuk Yankumi meletakkan jawatan (menjadi guru adalah impian besar hidupnya) semata-mata menyelamatkan pelajarnya dan sebagai tanda bertanggungjawab atas kesalahan pelajarnya. Situasi ini sebenarnya turut berlaku di Malaysia dan usah terkejut jika penulis katakan di kampus-kampus turut mengalami penindasan terhadap golongan bawahan. Sebagai contoh terdekat yang dapat penulis utarakan adalah banyak kejadian rogol siswi di sesetengah IPT oleh pegawai pentadbiran universiti, mahupun pemandu bas kolej kediaman ditutup kes dengan tawaran hebat untuk mangsa seperti penghapusan hutang PTPTN (pinjaman tidak perlu dibayar), CGPA dijamin 3.00 ke atas setiap semester atau ada kes mangsa terus diijazahkan! Ini realiti benar di kampus tempat kita menuntut, di mana nama baik universiti adalah prioriti teratas yang perlu dijaga, sedang mangsa mengalami kesan teruk jangka masa panjang dan ia tanpa pengadilan yang sewajarnya.

Titik ‘homofili’ dan mengurangkan kontradiksi
Yankumi boleh kita ibaratkan seperti seorang pendakwah (walaupun bukan se’akidah dalam drama tersebut) yang berupaya mendekati mad’u nya (pelajar-pelajar yang mempunyai rekod buruk) walau dengan apa cara sekalipun. Kita melihat Yankumi terpaksa mengorbankan banyak tenaga dan masanya sehingga dia berjaya mendampingi pelajar tersebut dalam beberapa kes. Bagaimana caranya? Titik ‘homofili’ (istilah yang penulis yakin kebanyakkan pembaca telah biasa dengar dan temui) yang diusahakan oleh Yankumi akhirnya membuahkan hasil. Penulis terkesan apabila pada permulaan Yankumi mengorak langkah mendampingi pelajarnya, dia menolak tepi rasa malu membawa bekal makanan dalam ‘tupperware’ mendekati kelompok pelajarnya yang turut sedang menjamu selera, walaupun ketika itu pelajarnya tidak langsung mengendahkannya. Adakah kita yang mengaku da’ie ini mampu membuang rasa malu untuk mendekati mad’u sebegitu? Yankumi turut meraikan psikologi remaja pelajarnya dalam soal cinta, bukan dengan tindakan yang bertentangan dengan emosi mereka. Begitu juga tentang soal perlawanan beradu tenaga yang mana Yankumi mempunyai prinsipnya sendiri iaitu soal mempertahankan hak dan membezakan antara ‘fight’ (perlawanan untuk perjuangan) dan ‘violence’ (kekejaman atas dasar kekuatan). Kontradiksi antara pelajarnya berjaya dilenyapkan oleh Yankumi sehingga setiap kes yang berlaku mereka bersama-sama berusaha menyelesaikan dan menyelamatkan mana-mana kawan sekelas yang ditimpa masalah. Yankumi secara jelas telah turun mendalami dan memahami masalah setiap pelajarnya, dengan meneliti rekod peribadi dan terus menyiasat melalui ibu bapa pelajar. Usaha gigih ini perlu kita teladani demi memastikan mad’u dapat kita kuasai. Tidak salah rasanya untuk penulis mengaitkan ciri ini sebagai teladan untuk dicontohi oleh barisan kepimpinan, mengetahui segenap masalah rakyatnya adalah melalui turun ke bawah, bukan meninjau dari atas.

Mendapat kepercayaan bukan mudah

Kepercayaan sepenuhnya oleh pelajar Yankumi terhadapnya bukan dapat diperolehi dalam masa yang singkat, terutama bagi Sawada Shin (pelajar yang paling sukar Yankumi fahami) yang punya kisah hitam sebelum ini sehingga kelompok pelajar bermasalah ini tidak lagi dapat menaruh kepercayaan, hatta rasa hormat sekalipun terhadap golongan guru mahupun golongan dewasa, termasuk ibu bapa mereka. Namun, dengan pendekatan Yankumi yang memerlukan banyak pengorbanan darinya akhirnya memperlihatkan impak yang begitu besar. Kepercayaan itu akan hadir dengan keikhlasan tulus dari pengorbanan gurunya itu. Peranan besar bagi penulis turut dimainkan oleh datuk Yankumi sendiri sebagai penyokong dan motivator bagi Yankumi untuk berusaha menjadi seorang guru yang terbaik. Salah satu nasihat yang memberi motivasi kepada Yankumi untuk mendapatkan kepercayaan pelajarnya, “Jika kamu tidak mempercayai seseorang itu, kamu pasti tidak akan mendapat kepercayaannya lagi selepas itu”. Kata-kata ini membuatkan Yankumi menanamkan kepercayaan penuh kepada pelajarnya walau dalam apa jua kes sehingga dia mendapat bukti-bukti kukuh untuk menghukum pelajarnya. Atas dasar kepercayaan Yankumi ini juga, pelajar 3D akhirnya mempercayainya sekaligus menjadi satu pasukan yang akrab. Mengapa tidak elemen ini disamakan dengan salah satu rukun bai’ah kita iaitu “thiqah”? Istilah Thiqah inilah yang selalu salah difahami oleh kebanyakkan ahli gerakan kini dan salah pengertiannya mengakibatkan impak buruk pada sesuatu jemaah.

Gejala ‘suspend judgement’
Ad-duat la qudat, pendakwah bukan penghukum. Prinsip ini sudah lali mungkin pada pembaca, tapi aplikasinya tidak dapat kita pastikan sama ada bersandaran atau tidak dengan frasa ini. Pengetua dan beberapa guru lain di Shirokin High terlalu prejudis kepada pelajar 3D, sehingga sebarang kes salah laku walaupun tanpa sebarang bukti ditujukan kepada pelajar bermasalah ini. Gejala ‘suspend judgement’ (menghukum) yang terlalu melampau ini oleh pihak sekolah menyebabkan pelajar 3D ini tidak larat lagi untuk mempertahankan diri, kerana sering dikambing hitamkan, walaupun dengan kesalahan orang lain. Penulis melihat pendirian Yankumi di mana dia tidak mengambil kira pencapaian akademik, penglibatan dalam sukan, penampilan yang hebat tetapi yang terpenting baginya setiap pelajarnya mempunyai hati bersih di tempat yang betul, punya perikemanusiaan, kasih sayang, semangat setiakawan, keadilan dan keluhuran. Penulis cuba meletakkan diri sebagai seorang guru yang berhadapan dengan pelajar sedemikian, pastinya pencapaian akademik dan penampilan yang turut diambil kira. Secara jujurnya, drama ini bukan sedikit mengubah perspektif penulis dalam penilaian pelajar dan golongan masyarakat yang bermasalah. Mereka ini bukan secara fitrahnya mahukan keburukan, kosong dalam beragama, keruntuhan moral yang teruk tetapi desakan dan latarbelakang hidup yang memaksa mereka berkeadaan tersebut. Mana mungkin anak yang tidak pernah diajar solat dan ibu bapanya sendiri tidak pernah solat, dapat solat dengan sempurna, dan ada yang tidak tahu langsung bagaimana mahu solat. Dan kita yang mengaku dai’e ini terus menghukum fasik dan sebagainya lantas mencanang agar insan dahaga seruan ini dijauhi. Begitu juga dengan rakan-rakan sekuliah yang tidak bertudung atau bertutup aurat dengan sempurna, kita lantas mengasingkan diri, tiada usaha mendekati. Jika sedemikian laku kita, adakah layak untuk mengaku diri sebagai dai’e?

Dai’e dan persekitarannya
Peranan Yankumi tidak terbatas dalam lingkungan masalah pelajarnya sahaja, malah meliputi ibu bapa pelajar dan rakan sejawat. Kita melihat Yankumi sentiasa melibatkan dirinya dalam setiap masalah yang timbul di kalangan pelajarnya sendiri, ibu bapa dan juga rakan sejawat. Dia berupaya memberi kesedaran dan mengubah perspektif bapa Sawada Shin (menyisihkan anaknya yang dianggap bermasalah) dan menguja perasaan keibuan jururawat sekolah dalam masalah penjagaan anak tirinya, Yuta. Sebagai dai’e kita turut perlu bersikap sedemikian iaitu peka dan mengambil berat tentang permasalahan yang berlaku di persekitaran kita serta pandai bersosialisasi dengan masyarakat setempat atau frasa “larut dalam masyarakat” mungkin sesuai untuk ini. Menyelami masalah mad’u merupakan cara paling efektif sebagai start-up kita mempengaruhi mereka, seperti menangguk di air keruh. Peribahasa ini agak memberi gambaran buruk kepada kita sebelum ini, tetapi jernihkan ia dengan perspektif baru sebagai tanda kita berfikiran lateral, bukan vertical. Jadi, peluang apabila mana-mana mad’u kita ditimpa masalah perlu direbut untuk mendampinginya kerana ia pasti mencari kita lagi selepas itu.

Spirit untuk kemenangan
Walaupun sedia maklum dengan kelemahan pelajar 3D, Yankumi tidak pernah terus meletakkan nasib akhir mereka sebelum berusaha. Ini dapat dilihat jelas melalui dua kes, iaitu pada perlawanan sukan antara kelas dan syarat untuk penerusan jawatan Cikgu Shizuka agar kesemua pelajar 3D perlu melepasi 30 markah ke atas dalam ujian bahasa Inggeris. Dalam hal perlawanan sukan, Yankumi sedaya meransang pelajarnya untuk memenangi perlawanan, mengikat kepalanya dengan kain bertulis kata-kata motivasi, “3D will win”, sedangkan dia sendiri tahu pelajar kelasnya tiada langsung minat dalam bersukan, apatah lagi memenangi perlawanan. Untuk syarat markah 30 markah ke atas untuk subjek Bahasa Inggeris, semua pelajar 3D tidak pernah mendapat markah setinggi itu, dan kita sedia maklum Jepun amat lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris. Jadi, secara logiknya amat mustahil untuk melepasi syarat tersebut. Namun, itu tidak menjadi masalah bagi Yankumi. Setiap hari, sehelai kertas dengan contengan kartun yang kata-kata semangat akan dibawa ke kelas tambahan bahasa Inggeris itu. Tindakan Yankumi melaungkan cheer setiap kali mahu memulakan kelasnya dan menaikkan semangat pelajarnya turut dilihat sebagai cara meningkatkan estim diri (penghargaan dan kemuliaan). Penulis melihat tindakan untuk menaikkan spirit atau semangat untuk bekerja perlu sentiasa dilakukan. Penggunaan tema seperti, ‘Membangun Bersama Islam, ‘Berkhidmat untuk Islam’, sebenarnya didoktrinkan untuk menjadi spirit kepada ahli gerakan kita supaya giat bekerja, tapi sejauh mana ia terkesan, tepuk dada tanya iman.

Penutup
Banyak lagi pengajaran di sebalik drama Jepun ini selain daripada kupasan penulis di atas. Kisah kehidupan seorang guru yang mempunyai matlamat dan harapan besar untuk pelajarnya perlu diambil iktibar dan diteladani serta dipraktikkan dengan tindakan selari dengan syariat dan ke arah pemerkasaan dakwah berkesan yang wajib dilaksanakan walau di mana jua kita berada. Bagi yang bakal menjadi guru, adakah anda benar-benar menghayati spirit sebagai seorang guru? Bagi yang berada di jurusan lain, anda mungkin tidak dapat menjadi guru secara rasmi, tapi turut menjadi guru bagi adik-adik anda mungkin atau pada anak-anak anda suatu tika nanti. Namun, yang pasti setiap dari kita pastinya adalah dai’e dan dai’e itu murabbi.

SOLIDARITY IS OUR VISION”

Bekerja Untuk Islam,
Fatimah Ali.