Tuesday, December 2, 2008

BERDUA PASTI LEBIH BAIK

Pagi ini mama keluar ke Pasaraya Giant Batu Caves. Keperluan penting perlu mama beli di sana walaupun berseorangan. Jika sebelum ini, ke mana-mana mama pergi pasti ayah di sisi, dan selepas berjauhan Auntie Iza pula yang sentiasa menemani mama, dan kadang-kadang Auntie Aimi, Auntie Syam atau Auntie Huda.
Hidup berseorangan adalah satu kerugian..

Senarai barang-barang telah mama buat semalam. Barang-barang utama adalah keperluan pejabat tahfiz : cartridge, kertas A4, sampul surat dan beberapa barang lain. Mama menolak troli mencari barang-barang di rak. Sungguh mama rasa tidak selesa berseorangan begini, sungguh tidak selesa. Hidup berseorangan adalah satu kerugian. Masakan tidak, segala kegembiraan dan kesedihan, kekenyangan dan kelaparan, kesenangan dan kepayahan, tidak dapat dikongsi dengan insan tersayang.

Sehingga kini, mama berkongsi suka duka bersama adik-adik mama yang dikasihi.
(Syabi, Iza, Huda dan Syam)

Uwie dan Pika sentiasa berdua, pasti lebih baik kan?

(Tapi, jika lebih daripada dua, terlebih-lebih baik)

Mama terkenangkan ayah lagi…teringatkan waktu-waktu baru berumah tangga, selalu keluar ‘shopping’ barang-barang keperluan bersama. Mama belajar buat senarai barang yang hendak dibeli pun dari ayah. Ayah seorang yang sistematik kerjanya. Apa yang perlu diselesaikan, dia akan senaraikan termasuk barang-barang yang hendak dibeli. Mama pula akan beli apa yang terpandang dek mata, bukan dalam senarai. Itu lah kelemahan mama.. tapi mujur ayah ada, dia akan tanya mama, perlukah barang itu? Jadi, ia akan buat mama berfikir, lalu diletakkan kembali ke rak oleh sebab tiada keperluan penting pun.

Berdua pasti lebih baik bagi mama. Apa yang kita kurang akan diseimbangkan oleh pasangan, apa yang lemah akan ditegur oleh pasangan dan apa yang lebih akan dikongsi bersama pasangan. Rasulullah pernah bersabda :

“Sesiapa yang allah kurniakan kebaikan kepadanya, nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya.”


Allah kurniakan seorang lelaki untuk mama berkongsi segalanya bersama.

Bercakap soal teman setia ini juga, Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. mengatakan : “ Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah.”

Peringatan daripada Rasulullah dan sahabatnya ini menjadi panduan bagi kita baik dalam mencari pasangan hidup mahupun panduan dalam bersahabat. Sesungguhnya bertemu dan hidup dengan ayah adalah anugerah dan rahmat bagi mama. Ayah adalah teman hidup mama yang bisa membawa mama ke jalan syurga…………..

No comments: