Friday, November 28, 2008

UKHWAH INI BERMULA DAN TIADA PENGAKHIR.

Bermula kini, mama mengambil alih tugas Auntie Iza sebagai pembantu tadbir Maahad Tahfiz An-Nur. Auntie Iza atau nama sebenarnya Nor Hasriza Mustafa bekerja untuk tahfiz milik ayah dan mama itu bermula Mei hingga November tahun ini, lebih kurang 6 bulan. Oleh kerana tiada pengganti, mama perlu teruskan juga demi memastikan operasi tahfiz berjalan lancar.
Sekali pandang, berwajah serius, tetapi tak pernah rasa sunyi bersama Auntie Iza.

Auntie Iza bukannya mama kenal sejak 6 bulan dulu, tetapi sejak 5 tahun dulu iaitu tahun 2003. Dia bekerja untuk tahfiz bukan untuk mama, dan tidak pernah mama menganggap Auntie Iza sebagai staff sebagaimana staff yang lain. Yang menemukan mama dan Auntie Iza hanya satu sebab, iaitu PERJUANGAN! Aqidah dan perjuangan akhirnya menyatukan kami. Auntie Iza, mama kenal sejak dia berada di matrikulasi. Setelah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam jurusan Pendidikan Kimia, hubungan kami semakin rapat, bukan sekadar hubungan naqibah-anak usrah, lebih seperti adik kandung sendiri.


Hidup ini pasti kosong tanpa sahabat sepertimu...
Andai suatu hari nanti, mama telah tiada, carilah Auntie Iza kerana dia lebih mengenali mama berbanding mama kenal diri mama sendiri. Selama di kampus sehinggalah hari ini, mama berkongsi perasaan, suka, duka, tawa, tangis, susah,senang, lapar, kenyang, dan segalanya bersama dia. Auntie Iza yang mama kenal tidak pernah hilang dalam dirinya semangat berkerja untuk jemaah. Auntie Iza yang mama kenal sukar menangis walau berat masalah yang ditanggung. Auntie Iza yang mama kenal, tidak pernah menunjukkan masalah yang dia hadapi. Auntie Iza yang mama kenal juga berhati lembut mudah bersimpati, walau keras di luarannya.

Kini dia pulang ke kampung halaman untuk meneruskan perjuangan dakwah dan tarbiyah di SMK Keratong. Walau berjauhan kini, mama rasakan dia sentiasa di sisi mama. Mama tidak akan lupa beberapa tahun lalu,tika mama dimasukan ke wad Hospital Slim River, di tengah lewat malam dia kejarkan mama ke hospital. Auntie Iza sanggup tinggalkan kuliah dan kelas beberapa hari untuk menjaga mama. Tidak pernah dia tinggalkan mama sendirian, sentiasa di sisi. Detik itu, mama berbisik sendirian, “Iza, kau bukan adik aku, tapi kenapa kau layan aku lebih seperti kakak kau sendiri...”
Senyum tawamu pasti kurindui, walau berjauhan moga tetap berjuang!

Mama kerap jatuh sakit dulu, dialah yang menjaga mama, melihat mama sudah makan atau tidak, walau berada jauh berlainan kolej kediaman. Tika mama tertekan menyiapkan tesis, dia masih di sisi untuk membantu dan memberi sokongan. Di kala perasaan kacau, sedih, tidak tahu apa yang perlu dibuat, pasti Auntie Iza ada di sisi mama. Selalu kami tidur sebantal dan berusrah sebelum melelapkan mata.. Terlalu banyak memori yang mama kenangkan tika bersama Auntie Iza dan juga adik-adik lain.

Di akhir semester mama berada di UPSI, mama berkesempatan tinggal satu rumah bersama Auntie Iza dan Auntie Syam di kolej KAB. Mama rasa inilah saat-saat manis terakhir buat kami. Dalam semester itu, mama menjalani latihan praktikum di SMA Sg. Selisek, lebih kurang 30 minit dari kolej. Setiap hari, seawal 6.45 pagi mama sudah bersiap, keluar sahaja dari bilik, hidangan sarapan sudah tersedia untuk mama, sekalipun ringkas, secawan nescafe panas dan roti bersama mushroom soup segera. Bila mama balik sekolah pula, makanan tengah hari juga sudah tersedia di atas meja. Dengan kesibukan menjalani hari-hari sebagai guru praktikum, Auntie Iza dan Auntie Syam juga menguruskan pakaian mama, basuh, sidai, lipat dan kadang-kadang gosok. Semuanya mama takkan lupa.. Sesekali mama melihat video-video yang kami ambil waktu itu, mama ketawa sendirian, merindukan saat-saat itu.

Orang lain yang melihat cara hidup kami, rasa pelik dan hairan. Tidak seperti rakan serumah yang biasa. Inilah rahsia kasih sayang kerana Allah!

Kini masing-masing membawa hidup sendirian di tempat yang berbeza. Auntie Syam selepas ni akan menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Terengganu. Begitu juga dengan adik-adik mama yang lain, Auntie Huda, Auntie Syabi, Uncle TG dan Uncle Najib. Auntie Uwie dan Uncle Akmal masih meneruskan perjuangan mereka di kampus. Namun, ikatan kasih sayang ini takkan berakhir... Arwah Uncle Suhaimi adalah sebahagian daripada kami. Moga arwah tenang di alam sana dan kami di sini takkan berhenti berdoa untuk arwah.

Mungkin di entry yang akan datang, mama akan ceritakan kisah mama dan adik-adik mama yang lain. Sesungguhnya hidup mama mula terisi dengan kehadiran mereka. Untuk Auntie Iza, “Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak dunia akhirat. Moga dirimu thabat dalam perjuangan ini. Ingat wahai adikku... membawa Islam di zaman ini umpama menggenggam bara api. Jangan mudah putus asa andai tanganmu melecur, kerana parutnya akan menjadi bukti di hari pembalasan kelak. Iza bukan anak usrah akak, tapi Iza adalah adik akak...”
Auntie Iza dan Auntie Syam

No comments: