Tuesday, November 18, 2008

BERSEDIAKAN KITA MENUJU KE DESTINASI KEKAL??

Pagi ini, mama dikejutkan oleh ayah seawal 5.00 pagi. Selepas solat tahajud dab sunat taubat, mama membaca Al-Quran sementara menunggu azan Subuh. Sejurus menunaikan solat Subuh, mama bergegas turun dari rumah kerana sudah berjanji dengan Ketua Pengawas peperiksaan pusat mama bertugas (Kak Mala) untuk ke bilik kebal bersama. Kebetulan benar, Kak Mala tinggal dalam satu taman perumahan yang sama. Jadi, apabila sampai giliran mama menjadi pengiring, mama hanya menumpang keretanya terus dari rumah.

Telah menjadi prosedur dalam pengurusan peperiksaan awam SPM, setiap ketua pengawas perlu membawa pengiring bersama untuk mengambil kertas soalan dari bilik kebal dan juga menghantar skrip jawapan kembali ke bilik kebal. Bilik kebal bagi pusat mama bertugas (BG904/SMK Selayang Baru) adalah di SMK Taman Ehsan, Kepong. Memakan masa lebih kurang 20 minit dari rumah mama. Tanpa pengiring, KP tidak dibenarkan sama sekali mengambil soalan dan selepas soalan diambil, KP atau pengiring tidak boleh bersendirian bersama soalan tersebut. Baru mama tahu ketatnya pengurusan peperiksaan ni, oleh kerana inilah kali pertama mama bertugas sebagai pengawas peperiksaan.

Suasana dewan peperiksaan BG904 pada hari pertama SPM

Pusat BG904 adalah untuk calon persendirian. Alhamdulillah, calon-calon yang hadir tidak memberi sebarang. Rupa-rupanya mengawas pusat calon persendirian lebih mudah berbanding calon sekolah. Cuma setiap kali peperiksaan, mama dan pengawas lain akan pastikan calon tersebut adalah betul tanpa ada penyamaran (kes biasa berlaku bagi calon pusat persendirian).

Petang ini, kertas Sejarah 2, calon yang hadir hanya 10 orang daripada 17 orang. Hari kelihatan mendung, awan gelap mula menguasai langit. Dalam hati mama berbisik, pasti ramai calon yang keluar awal. Tepat sekali! Akhirnya hanya tinggal 3 orang calon yang masih meneruskan usaha menjawab. Petir mula kedengaran. Kilat sudah mula memancar. Akhirnya hujan lebat mula turun bersama petir dan guruh yang saling menyabung. Hujan sangat lebat turun mencurah-curah. Kelihatan 3 orang calon yang tinggal sudah tidak selesa menjawab. Mahu keluar pun tidak boleh kerana hujan terlalu lebat. Sekejap saja air mula naik ke koridor di luar dewan peperiksaan.

Hujan lebat di luar dewan peperiksaan.

Mama memandang curahan hujan di luar. Teringat mama akan satu tanda kiamat iaitu berlaku banyak banjir besar. Dulu banjir hanya kerap berlaku pada bulan Disember. Tapi kini, banjir boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat..bila-bila dan di mana-mana boleh banjir. Lihat saja, di Malaysia, dulu gempar apabila TTDI Jaya dilanda bah besar, kemudian ke Selatan Tanah Air, Johor. Ramainya yang sengsara kerana bencana ini. Kemudian Melaka, diikuti banjir lumpur di Kuala Lumpur, lumpuh satu kota raya. Baru-baru ni, sedang umat Islam bergembira menyambut lebaran, saudara kita di Utara Tanah Air pula yang berantakan dengan banjir. Beberapa tahun lepas, peristiwa menggemparkan seluruh dunia iaitu ‘Tsunami’ yang meragut ribuan nyawa di Acheh. Banyak lagi kejadian banjir besar yang berlaku di seluruh negara, yang datangnya tanpa disangka.

Tsunami adalah mimpi ngeri bagi penduduk Acheh.

Mayat bergelimpangan akibat banjir besar.

Bencana di TTDI Jaya, Shah Alam

Kuala Lumpur, kota berlumpur...


Ya Jabbar, Ya Mutakabbir, Ya Allahu Ya ‘Alim....
Turunnya musibah ini adalah untuk peringatan!
Turunnya musibah ini adalah untuk pengajaran!
Turunnya musibah ini adalah untuk pembalasan!
Namun, tidak semua berfikir dan tidak banyak yang menginsafinya
..

Kiamat kian hampir! Hati mama bergetar, rasa gerun terus menyelinap ke seluruh isi salur darah. “Ya Allah....belum cukup lagi bekalanku..belum sempurna lagi amalanku.. Tolonglah aku untuk terus berada di jalan orang yang berikan nikmat. Dan matikan aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu...”

1 comment:

Unknown said...

assalamualaikum,

sepatutnya gambar keadaan di dalam dewan peperiksaan adalah sulit. begitu juga pelantikan seseorang pengawas peperiksan awam, tidak boleh dihebahkan kepada umum. Mungkin anda patut memberi lebih perhatian semasa taklimat keselamatan diberikan. lagipun ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu kita sama-sama laksanakan dengan penuh amanah. selamat bertugas.

wassalam.