Saturday, November 8, 2008

ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG

Cuti sempena Deepavali selama 4 hari, mama pulang ke rumah nenek dan atok di Dungun dengan niat untuk melihat wajah orang tua, ditambah pula keadaan kesihatan atok yang tak berapa baik kerana penyakit kencing manis yang sudah lama dihidapi. Ayah izinkan mama untuk pulang ke kampung bersama Auntie Iza dan Auntie Syam. Kebetulan Auntie Syam cuti study week, tiada kuliah lagi. Auntie Huda pada mulanya nak sangat ikut mama, tapi keadaan tidak mengizinkan, Auntie Huda terpaksa siapkan tesis ijazahnya. Jadi, mama bertiga sahaja yang pulang kali ini.
Sarapan yang Auntie Iza sediakan bersama Auntie Syam & Auntie Syabi
Malam sebelum bertolak balik, Auntie Iza masak bihun goreng special, banyak pula tu. Pagi-pagi lagi keropok ikan dan scallop digoreng sebagai bekal dalam perjalanan. Mama dan bersama adik-adik mama yang dikasihi fillah (Auntie Iza & Auntie Syam) bertolak pada pukul 8.00 pagi menuju ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Kami singgah di Matrix Pahang pada pukul 10.00 pagi untuk bertemu dan sarapan bersama adik-adik di sana. Sambil menjamu selera sempat kami bertaaruf dengan lebih dekat dengan adik-adik. Mama, Auntie Iza dan Auntie Iza tidak melepaskan peluang untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat untuk adik-adik yang sedang dalam musim peperiksaan.

Singgah sarapan bersama-sama adik-adik KMPh

Sempat bergambar selepas solat zuhur berjemaah.

Kenangan sebelum berangkat meneruskan perjalanan

Mama rasa mengantuk sangat untuk teruskan perjalanan. Auntie Iza dan Auntie Syam cadangkan mama tidur sekejap sambil-sambil tunggu waktu Zuhur masuk, boleh terus solat dan teruskan perjalanan ke Dungun. Alhamdulillah…nikmat tidur yang Allah kurniakan buat mata dan badan mama segar kembali selepas bangun dari tidur. Sejurus selepas solat, mama dan adik-adik mama teruskan perjalanan balik ke kampung nenek. Lebih kurang pukul 3.00 petang, mama sampai ke rumah nenek. Mungkin bunyi Buraq, nenek terus muncul di muka pintu besar rumah. Belum pun sempat mama letakkan beg, terus nenek peluk dan cium mama. Terpinga-pinga mama sebentar.. “Ya Allah…kasih ibuku lebih dari segalanya..Kau panjangkan umur kedua orang tuaku dan limpahkan rahmat ke atas keduanya, Ya Allah…” Nenek rindukan mama katanya, tak sabar tunggu mama tiba.

Rupanya nenek masak nasi dagang kegemaran mama, semata-mata untuk menyambut kepulangan mama. Rasa sebak di hati mama, kasih ibu pada anak tak pernah berkurang walau bertambahnya usia. Rasa sudah lama mama tak makan sebanyak hari ini. Berkali-kali mama tambah nasi dan lauk. Nasi dagang nenek tiada tandingan kesedapannya, baik dari segi nasi pulutnya dan juga gulainya yang sedap sangat. Mama teringatkan ayah.. kalau ayah ada, alangkah seronoknya hati ini.. Apa sedang ayah buat tika ni? Nenek dan Atok pun turut sebut-sebut nama ayah.. Moga ayah selamat dan sihat di sana..


Bersama Kak Yana (Kakak arwah Suhaimi) di depan Centre Point, Kemaman.

Esoknya mama bersama Auntie Iza dan Auntie Syam ke rumah arwah Suhaimi, yang terletak di Kemaman untuk ziarah ibunya. Tanpa dirancang mama terserempak dengan ayah seorang sahabat mama, Auntie Siti Khairiah. Tika tu, Buraq berhenti di trafik light merah, dan di sebelah Buraq, kereta ayah Auntie Siti. Terus dia menjemput mama singgah ke rumahnya. Rupanya Auntie Siti dah selamat bersalin anaknya yang pertama, Sy. Aisyah Humaira’ Syed Azli. Mama tak puas hati kerana langsung tak dimaklumakan. Mungkin terlepas pandang. Kemudian terus mama dan adik-adik mama menuju ke Seberang Tayor iaitu rumah ibu arwah.

Tanpa dirancang, dapat ziarah baby baru Auntie CTK & Uncle Syed

Mama mula sebak mendengar cerita-cerita tentang arwah daripada ibunya. Paling mama tak tahan sebak, melihat ibunya mengalirkan air mata merindukan satu-satunya anak yang sangat dia harapkan dapat mengubah nasib keluarga. Tapi, Allah lebih sayangkan dia, dia pergi menghadap Illahi secara mengejut pada 9 Jun 2008 jam 3.00 pagi yang lepas. Arwah begitu bermakna dalam hidup kami adik-beradik satu usrah dan pemergian arwah adalah kehilangan besar bagi kami. Kadang mama menitiskan air mata bila terimbas kenangan-kenangan bersama arwah…arwah adalah adik usrah mama yang paling kuat berahsia dan paling pendiam, hanya senyuman sentiasa terpamer di wajah tenangnya.

Arwah Suhaimi Mohd. Yusof~ Adik Usrah yang sentiasa dalam ingatan.

"Ya Allah, Tuhan segala makhluk..tempatkan Arwah Suhaimi Mohd. Yusof di tempat yang terpuji. Terimalah segala amalan baiknya di dunia.. Sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun lagi maha mengasihani…”

Puas menolak dengan niat tidak mahu menyusahkan keluarga arwah, mama, Auntie Iza dan Auntie Syam menerima pelawaan makan tengah hari bersama Kakak arwah (kak Yana), Ibu arwah dan Tok Wan arwah. Sejurus selepas solat, kami pulang dan sampai ke rumah nenek pukul 7.00 petang. Mama pulang ke Selayang pada keesokkan harinya, pada pukul 12.00 tengah hari. Mama singgah di Kuala Kemaman yang terkenal dengan otak-otak dan satar (makanan tradisional berasaskan ikan). Gembira mama tengok Auntie Syam makan dengan berselera sekali. Perjalanan kami diteruskan dan mama sampai ke rumah pada pukul 6.30 petang.


“Ya Allah…bersyukur padaMu akan keselamatan dalam sepanjang perjalanan kami ini. Syukur ku panjatkan kerana perjalanan ini ku dapat melihat kedua orang tuaku, menjalinkan ukhwah dengan adik-adik di KMPh, menziarahi ibu sahabatku dan sama-sama meraikan kelahiran anak sahabatku. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pengatur…..”

Buat suami mama, “Sayang…terima kasih kerana sentiasa meredhai Ti.. Dengan redha itu, Ti rasakan ketenangan di sepanjang perjalanan ini.. Ti menunggu kepulangan abang dengan sabar… Moga abang dikurniakan haji yang mabrur…”

No comments: