Saturday, November 8, 2008

GALANG GANTI BUATKU..


Coretan kata di atas, mama terima daripada ayah melalui SMS pukul 3.30 pagi semalam. SMS itu ayah hantar untuk mengejutkan mama untuk bangun bertahajud. Tapi mama baru sahaja tidur tika itu kerana sedikit kerja. Mama benar-benar rindukan ayah dan saat itu juga SMS ayah tiba…. Ya Allah, Tuhan yang menguasai segala hati..Tuhan yang menyampaikan rasa rindu….

Semalam juga mama terpaksa tidur lewat menyiapkan markah peperiksaan akhir tahun pelajar. Mama berterima kasih sangat kat Auntie Iza yang tak jemu membantu mama dalam segenap hal. Kadang-kadang mama rasa tak dapat lakukan semuanya berseorangan.. Allah kurniakan mama seorang adik yang bukan sedarah sedaging dengan mama dalam perjuangan ini. Indahnya ukhuwah ini lebih dari memiliki saudara kandung. Dalam entry akan datang mama akan ceritakan perihal Auntie Iza.

Hari ini mama di sekolah menguruskan proses pemulangan buku teks pelajar. Mama bertanggungjawab sebagai guru SPBT di sekolah. Hanya Allah yang tahu betapa mama penatnya melayan setiap karenah pelajar yang datang. Kadang-kadang rasa sabar itu makin hilang. Mama terpaksa meninggikan suara untuk menenangkan pelajar. Serasa sakitnya perut mama untuk menandingi suara pelajar-pelajar yang mula tidak terkawal. Mama rasa bagaikan mayat hidup tanpa sedikit pun berhenti rehat menjalankan proses pemulangan dan penerimaan buku teks pelajar. Tanpa mama sedari jam menghampiri 6.20 petang. Astaghfirullahal ‘aziim…. Ya Allah….cepatnya masa berlalu..

Mama mula bertugas tadi tepat jam 1.45 petang tanpa henti. Mama ingatkan pukul 5 pm, mama nak berhenti solat asar…mama tak sempat nak menoleh ke arah jam, dan bila dah tengok, sudah terlalu lewat. Terus mama tutup operasi, dan mama tinggalkan sekolah terus pulang ke rumah walaupun masih belum tiba waktu pulang. Mama hanya telefon kawan sejawat mama untuk tolong ‘punch out’ untuk mama nanti bila dah tiba waktu pulang. Seperti orang gila mama memandu balik. Ya Allah…ampunkan hambaMu yang hina ini.. Aku lalai untuk melunaskan tanggungjawab terpentingku untuk Mu.. Ya Allah, jangan jadikan urusan duniaku melebihi urusan akhirat…Ya Allah….ampunkanlah aku ya Allah...terima taubatku Ya Allah, ya Hayyu ya Qayyum…

Catatan minit mesyuarat kini menjadi rutin bagi mama.


Selepas solat maghrib, Auntie Iza dan Auntie Emy menyediakan makan malam, sekali lagi mama kalungkan ucapan terima kasih untuk adik-adik mama ini, kerana sudi menjaga makan minum mama. Mama makan dalam keadaan sedikt kalut.. Mama terus bersiap untuk ke mesyuarat Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK). Malam ini adalah mesyuarat pertama mama bersama jawatankuasa DMPK untuk satu program besar peringkat kawasan, iaitu Hari Kesihatan Wanita. Melalui SMS yang mama terima, mesyuarat bermula pukul 8.30 malam. Jadi, mama perlu keluar lebih awal sebab tempat mesyuarat di Bandar Country Homes agak jauh juga dari rumah mama, dalam setengah jam lebih kurang. Mama pergi bersama Kak Faizah (Ketua Nisa’ Kawasan). Untuk kali ini sahaja, Auntie Iza tak menemani mama kerana dia perlu bersiap dan berkemas barang-barang keperluan untuk pulang melapor diri di Pahang esok.

Mama sekali lagi diamanahkan untuk memegang pos setiausaha.. Jawatan ni semacam sinonim dengan muka mama. Mama sendiri tak tahu kenapa?? Ada tiga program terdekat waktu ini, dan ketiga-tiganya mama jadi setiausaha. Mama mengeluh sendiri…. Ya Allah..jangan Kau bebankan aku dengan beban yang tak mampu aku pikul… Kuatkan aku ya Allah, Tabahkan aku untuk melaksanakan amanah-amanah ini sebaiknya.. Program anjuran DMPK ini dikira agak besar dan grand juga serta banyak melibatkan agensi-agensi luar seperti Jabatan Kesihatan, LPPKN, NGO, VVIP, media dan sebagainya.


Mesyuarat santai membawa misi berat bersama DMPK


Allah gantikan rindu mama pada ayah dengan kerja-kerja jemaah dan kerja-kerja di sekolah. Rindu mama kian terubat…rindu mama kian dirawat dengan cara yang mama tak sangka..

"Ya Allah..kasihnya Engkau pada diriku yang hina ini.. Tika ku rindu, Kau jelmakan suamiku dalam mimpiku… Tika ku sendu, Kau hiburkan ku dengan gerak kerja dakwah. Tika ku sepi, Kau anugerahkan aku dengan sahabat-sahabat peneman di medan perjuangan ini… Serasa tidak layak untuk ku menerima kasihMu yang tidak berpenghujung.. Lantaran diri yang penuh kelemahan, penuh kealpaan dan penuh kebodohan…”

Mesyuarat berakhir pada pukul 11.45 malam. Mama sampai ke rumah lebih kurang 12.30 tengah malam, dan Auntie Iza masih berjaga. Auntie Iza masakkan mihun segera PAMA (saudara-mara megi) untuk mama, sebab mama merungut lapar.

“Iza, terima kasih… Terima kasih kerana sudi menjadi adik akak walaupun tiada pertalian darah. Kita disatukan dengan ikatan aqidah dan kita ditemukan dalam medan yang tidak sedikit orang membenci.. Iza, hidup kita sementara dan pastikan ukhuwah ini menjadi saksi untuk kita di akhirat kelak….”

7 November 2008
02.15 a.m


No comments: