Friday, October 24, 2008

BERSAHURLAH...................

Balik daripada terawih, mama baca SMS daripada ayah. SMS tu sampai pada pukul 9.33 malam. Mama agak di tempat ayah baru pukul 4 petang lebih kurang. SMS ayah buat hati mama sebak:
“Salam sayang dan rindu di bawah bayangan kaabah buat isteri
tersayang. Kutulis kata sayang dengan tinta air mata, di atas
sejadah dalam masjidilharam buat isteri yang sentiasa bertakhta
di hati. Moga hati dan lidahmu ringan mengingati Allah di bulan barakah ini...”


Peringatan demi peringatan untuk mama walaupun ayah berada di kejauhan. Syukur padaMu, Ya Allah...mengurniakan seorang suami yang bisa memimpinku ke jalanMu. Ayah tanpa jemu mengejutkan mama bertahajud dan bersahur. Ya..bersahur..kelemahan mama dari dulu, tidak suka bangun bersahur. Tidak kira puasa wajib mahupun sunat, mama terlalu jarang bersahur. Namun, ramadhan kali ini mama berusaha melawan kelemahan ini. Mama tetap bersahur, walaupun sekadar minum air dan makan sebiji kurma.

Mama sangat berterima kasih kepada Auntie Iza kerana sering menyediakan sahur untuk mama. Pernah sekali mama terleka di tikar sejadah, mama tak sedar waktu sahur hampir semput, Auntie iza naik ke bilik mama membawa segelas air. Terima kasih, iza...

Sungguh terlalu banyak hikmah dalam bersahur. Rasulullah saw pernah bersabda, “Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seseorang kamu hanya minum seteguk air.” [HR Ahmad]

Selain mendapat pahala kerana mengikut sunnah Rasulullah saw, dengan bersahur juga mendapat keberkatan kerana ia menguatkan jasmani bagi orang yang berpuasa untuk beribadat dan meningkatkan rohani orang berpuasa dari segi keikhlasan beribadat. Seperti ramai yang sedia maklum, waktu sahur juga merupakan waktu doa mudah dimakbulkan Allah swt. Bersahur juga melatih kita menjaga kesihatan dari segi pemakanan kerana kita digalakkan bersahur dengan makanan yang mudah hadam, kurang atau tudak pedas serta di akhiri dengan susu.

Selain yang mama sebutkan di sini, masih ada lagi hikmah dan kebaikan bersahur. Pesanan untuk anak-anak mama, jangan tinggalkan amalan bersahur kerana lebih mementingkan tidur. Bangunlah untuk mendapatkan pahala dan limpah kurnia Allah. Nikmatilah dua hidangan yang amat berkat di bulan yang penuh barakah ini, iaitu hidangan berbuka dan hidangan bersahur. Betapa malangnya orang yang diberi makan kemudian diberi pula pahala, lalu dia tidak mahu menerimanya. Bersahurlah.....

12 Ramadhan 1429

1 comment:

Imang said...

ohohohoho...
Bersahurlah kite,sperti mana yg dituntut Rasul.