Friday, October 31, 2008

MENCARI MALAM LAILATULQADAR

“Malam lailatul qadai itu lebih baik daripada seribu bulan” (alQadr: 3)

Kasih sayang Allah itu tidak terbatas dengan hanya penciptaan alam dan segala isinya. Malah kita dikurniakan dengan satu malam yang terlalu istimewa. Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak berlipat ganda, pasti malam ni amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadat selama 83 tahun 4 bulan.

Setiap dari kita pasti tertanya-tanya, bilakah berlakunya Lailatulqadar? Persoalan itu turut mama fikirkan. Tapi mama teringat kata-kata ayah, kenapa perlu fikir bila malam Lailatulqadar? Kita ini kuat beribadah hanya pada malam itu?? Lalu, di mana ikhlas kita?

Benar. Jika kita ini hamba yang ikhlas, tanpa mengira batasan waktu, kita tetap beribadah kepadaNya. Namun, LailatulQadar adalah tawaran hebat dari Allah. Kehebatan malam Lailatulqadar juga digambarkan oleh allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tiada keburukan sehingga terbit fajar. Malam itu para malaikat mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman. Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam istimewa ini.

Nabi Muhammad saw sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebajikan dan kasih sayang Allah swt. Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa, “Kebiasaanya Rasulullah saw berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan malam-malam yang lain.” Malam itu diisi dengan amal ibadah sepenuhnya kerana tiada lagi malam yang lebih baik untuk beribadah kecuali malam Lailatulqadar.

Pesanan mama untuk anak-anak mama, hidupkanlah malam lailatulqadar dengan amal ibadah yang benar-benar ikhlas, berdoa dan bersungguh-sungguh untuk mencari keampunan dan keredhaanNya. Serasa amat rugi melepaskan peluang keemasaan ni untuk bertaubat sebanyak-banyak taubat nasuha, moga dosa-dosa lampau diampunkan Allah. Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walau bertongkat, hatta mengengsot sekalipun. Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa kita sedar sama ada kepada Allah, ibu bapa mahupun orang sekeliling kita.

“Ya Allah, Ya ‘Aziz...Kuatkan aku Ya Allah..jangan tidurku itu melebihi ibadah kepadaMu. Kuatkan aku untuk bangun menghadapMu.. Temukan aku dengan malam Lailatulqadar, temukan aku dengan malam keampunanMu...”

Ayah tanpa jemu mengingatkan mama untuk sama-sama mencari lailatulqadar. Pukul 4.07 pagi, mama dikejutkan dengan SMS dari ayah, “Salam sayang untuk isteri tercinta. Bangunlah bertahajud mencari cinta dan kasih sejati dari allah. Selamat mencari lailatulqadar...” Sering mama dikejutkan dengan SMS dan panggilan dari ayah.. Bertambah membuak hati ini untuk bertemu dengan lailatulqadar..

“Ya Allah, demiMu ku menyintai suamiku. Matikan aku dan dia dalam agamaMu, dan matikan kami kerana mempertahankan agamaMu. Terimalah segala amalan kami dan temukan kami dengan malam Lailatulqadar..”

23 Ramadhan 1429

No comments: