Thursday, October 23, 2008

INNI AKHAFULLAH : Sesungguhnya aku takutkan Allah


Entry kali ini mama akan sampaikan satu kisah yang mama dengar dari tazkirah ramadhan malam tadi. Kisah seorang pemuda soleh yang hatinya sentiasa berada di masjid. Pemuda ini juga berguru atau dengan kata lain belajar agama dengan seorang Tuan Guru yang ‘alim. Pemuda ini memiliki rupa paras yang tampan dan menarik.

Pada suatu hari, ketika sedang berjalan menuju ke masjid seperti kebiasaannya, terdengar suara seorang perempuan memanggil-manggil.

“Wahai pemuda….. wahai pemuda yang budiman, aku perlukan bantuanmu.”

Dengan hati yang ikhlas, pemuda itu mendekati perempuan tadi seraya bertanya, “bantuan apakah yang boleh aku hulurkan?”

“Aku mahu mengalihkan sebuah almari, tetapi tidak terdaya kerana aku ini wanita yang lemah kemampuannya,” jelas perempuan tadi.

“Jadi di mana almari itu?,” Tanya pemuda itu lagi.

“Di dalam…” jawab perempuan tadi lalu berjalan masuk ke dalam rumahnya. Si pemuda menuruti langkah perempuan tersebut. Perempuan tadi memasuki sebuah bilik tidur. Tanpa syak wasangka, si pemuda turut masuk ke dalam bilik tersebut.

“Jadi, di mana almarinya?” Tanya pemuda dalam kebingungan setelah melilau matanya mencari almari yang dimaksudkan.

“Almari itu adalah aku. Angkatlah aku ke katil itu. Tiada siapa di sini melainkan kita berdua.” Si perempuan terus mengunci pintu bilik tersebut.

Dengan hati yang terkejut, maka diketahuilah niat sebenar si perempuan tadi. Di kala rayuan si perempuan mendayu-dayu menggoda, si pemuda berdoa dan beristighfar dalam hatinya. Secara tiba-tiba, pemuda tersebut mendengar suara yang entah dari mana datangnya, mengarahkannya masuk ke dalam bilik air yang kebetulan berada di dalam bilik tersebut.

“Wahai perempuan, aku ingin ke bilik air sebentar. Biar lepas hajatku dulu, barulah boleh aku lepaskan hajatmu,” si pemuda berhelah. Si perempuan mengangguk sambil menguis-nguis kakinya dengan gaya menggoda.

Di dalam bilik air, si pemuda buntu kerana tiada jalan keluar melalui bilik air tersebut. Dengan hati yang tanpa henti berdoa dan meminta pertolongan Allah untuk dilepaskan daripada godaan perempuan tersebut. Sekali lagi, terdengar suara membisikkan supaya pemuda mengambil najis daripada lubang tandas itu, lalu melumurkannya ke seluruh badannya. Walaupun tindakan itu begitu menjijikkan, tetapi demi menyelamatkan diri daripada zina, si pemuda tanpa teragak-agak terus menuruti bisikan tersebut. Dicelupnya tangan ke dalam lubang najis, dan dilumur ke badan dan muka.

Lalu si pemuda keluar daripada bilik air. Si perempuan terkejut besar dan terus memaki hamun si pemuda atas perlakuan si pemuda yang disangka gila. “Engkau keluar dari sini, sungguh celaka perbuatan kamu ini. Busuk! Jijik!” Perempuan tadi terus membuka pintu biliknya.

Si pemuda terus keluar daripada bilik tersebut dengan penuh rasa syukur. Dengan tergesa-gesa dia, menuju ke masjid dan membersihkan dirinya. Setelah yakin dirinya sudah bersih dan tidak berbau najis, si pemuda masuk ke masjid dan terus mendirikan solat. Kemudian, dia terus duduk dalam halaqah pengajian seperti kebiasannya. Ketika itu, Tuan Guru sudah memulakan pengajaran.

Dengan tiba-tiba, Tuan Guru itu bertanya, “Bau apa ini? Dari siapa bau ini datang?” Si pemuda itu serba salah dan tidak senang duduk kerana khuatir bau itu datang darinya. Dia yakin bahawa dia benar-benar sudah membersihkan najis tadi sehingga hilang baunya. Sekali lagi terdengar, Tuan Guru bertanya dengan soalan yang sama tetapi dengan nada yang lebih keras.

Akhirnya, si pemuda tampil dan mengaku mungkin bau itu datang darinya, lalu memohon maaf kepada semua yang hadir dan juga Tuan Gurunya itu. Tuan Guru terus menghampirinya dan meminta pemuda menceritakan apa yang telah terjadi pada dirinya. Lalu diceritakan apa yang telah terjadi dan terus Tuan Guru memeluknya seraya berkata, “Ini adalah bau-bauan daripada syurga.”

Begitu alkisah yang telah diceritakan oleh Ust. Ghazali di surau Ad-Diniyyah. Mama sendiri tidak pasti sumber utama kisah ini, tetapi ia cukup untuk memberikan iktibar dan teladan buat kita dalam meniti hidup seharian. Fitnah itu cukup banyak dan di mana-mana boleh terjadi. Terpulang pada diri bagaimana untuk elak daripada fitnah, fitnah dunia dan fitnah akhirat.

Selain daripada itu, godaan wanita tadi sebenarnya menguji keimanan si pemuda yang hatinya terikat dengan masjid dan sejauh manakah solat yang didirikan boleh mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran dan maksiat.

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; pemuda yang hatinya terpaut pada masjid; 2 pemuda yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; pemuda yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” [Riwayat Muslim]

Mama teringatkan ayah lagi… Pernah satu tika ayah beritahu mama, tempat solat lelaki adalah tempat di mana azan dikumandangkan. Mama bangga mempunyai suami seperti ayah, tempat solatnya adalah masjid@surau.. Moga Allah meletakkan ayah dalam golongan yang mendapat lindungan arasyNya. “Ya Allah…selamatkan suamiku walau di mana dia berada dan lindungi dia dari segala kesusahan dan musibah. Kuatkan aku, ya Allah untuk terus beribadah kepadaMu…”

08 Ramadhan 1429

No comments: