Friday, October 31, 2008

MENYAMBUT HARI KEMENANGAN

“ Ya Allah, Ya Tuhanku…Engkau jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik buatku, Engkau terimalah segala amalanku, meski aku tahu terlalu banyak kekurangannya, meskipun aku malu untuk mempersembahkannya kepada-Mu, namun terimalah ya Allah dengan segala kekurangan....”
Mama sendirian bersama ayah bonda mama di pagi raya.

Ramadhan telah meninggalkan kita dan kita juga telah tinggalkan Ramadhan. Serasa sedih dan sebak, adakah mama sempat lagi bertemu Ramadhan yang akan datang. Jika ini, Ramadhan yang terakhir buat mama, mohon Allah menerima taubat dan amalan mama.
Sebahagian kecil cucu Tok Mek dengan wajah riang ria.

1 Syawal mama lalui dengan kesedihan yang tersembunyi. Kesedihan yang mama yang tak mampu ungkap dengan kata-kata. Ayah tiada di sisi mama untuk merayakan hari kemenangan besar ini, hari di mana manusia kembali kepada fitrahnya, setelah sepurnama mentarbiyah jasad dan roh. Mama pulang ke rumah bonda di Dungun, setelah 2 hari sempat berpuasa bersama ayah bonda di Kelantan. Memang keletihan mama memandu, mengambil masa 4 jam lebih juga jarak rumah ayah bonda Dungun dan Bachok. Alhamdulillah, Auntie Huda sentiasa bersama mama dalam setiap perjalanan.

Auntie Huda dan anak saudara mama, Alya Nadhirah di pagi 1 Syawal.

Demi menjaga hati kedua-dua belah pihak, mama berulang alik dari Dungun ke Bachok beberapa kali. Kedua-dua mama sayang dan kasih, kedua-dua juga mama mohon keredhaan. Alangkah bagus, jika ayah ada di sisi. Raya ke 2 mama pulang ke Bachok lagi. Meriah di rumah Tok Mek (bonda ayah) berbeza dengan rumak Nenek (bonda mama). Rumah Tok Mek gamat dengan suara cucu-cucu Tok Mek yang ramai. Kedukaan mama terubat dengan gelak dan tawa anak-anak saudara.

“Ya Allah.. Kau selamatkan keluarga kami dari azab api neraka-Mu. Lindungi keluarga kami dari fitnah dunia dan fitnah akhirat. Jadikan keluarga kami, hamba yang sentiasa mengingati-Mu...”

Mama bersama sahabat-sahabat di perkarangan Balai Islam, Lundang, Kota Bharu.


Hari raya ke 3, mama sempat menghadiri majlis lebaran bersama Tok Guru Nik Abd. Aziz di Balai Islam, Kota Bharu. Program ini anjuran Markaz Siswazah Kelantan (MSK). Pagi tu, mama bergegas keluar kerana sudah kelewatan, majlis bermula pukul 8.30 pagi. Tanpa mama sedari, telefon bimbit mama tertinggal. Ya Allah, subhanamalla yana mu wala yashu.. Mama memandu dengan gelisah, mama tak sempat memaklumkan pada ayah yang mama mahu ke program tu. Mama bersama Auntie Huda dan Auntie Rad menuju ke Balai Islam.

Ketika majlis lebaran mahasiswa/siswazah Kelantan.


Sesampainya, majlis telah bermula. Dan tak berapa lama kemudian, mama dapat panggilan dari ayah melalui handphone Auntie Huda. Mama rasa lega sangat. Kalau tidak, hati mama tak tenang, seperti ayah tidak meredhai pemergian mama.

“Ya Allah..ku mohon redha-Mu atas keredhaan suamiku.. Tanpa redha suamiku, ku hilang redhaMu... Tanpa redha-Mu, hidupku langsung tiada berguna...”

Lebaran bersama keluarga di kampung, mama rasakan begitu singkat pada raya. Pada petang raya ke 3, mama pulang ke rumah Nenek di Dungun. Dan terus pulang ke Kuala Lumpur pada pagi raya ke 4. Mama terpaksa pulang awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bila mama fikir balik, serasa tak termampu mama bersendirian pulang ke kampung. Kekuatan ini kurniaan dari Allah dan dari ayah. Ayah adalah kekuatan mama.....

No comments: