Friday, October 31, 2008

YA ALLAH, TUHAN YANG MAHA PENYEMBUH

Entah mengapa semalam tiba-tiba kepala mama sakit teramat sangat seperti ada sesuatu yang sedang mengetuk-ngetuk otak mama. Badan mama mula terasa panas tetapi sejuk di dalam. Berbuka puasa, mama terpaksa berselimut kerana kesejukan. Lalu sejurus selepas berbuka puasa, mama solat maghrib dan hanya mampu membaca Al-Quran satu muka sahaja, lantaran kepala mama semakin kuat berdenyut. Sebiji ulphamol tak mencukupi untuk menghilangkan kesakitan ini.

Ya Allah, dugaan apa yang Engkau timpakan ini… Sembuhkan aku dari kesakitan ini, Ya Allah yang Maha Mengasihani.. Lalu mama turun ke bawah dan menelan 2 biji lagi uphamol. Mama tahu 3 biji pil itu sudah melebihi dos yang dibenarkan, tapi mama tidak mampu menahan kesakitan ini. Lalu mama naik dan berbaring. Adik mama iaitu Iza masuk melihat keadaan mama, mama hanya mampu meminta Iza menutup lampu dan seperti sudah tahu dengan kebiasaan mama, Iza memasang lampu garam bukit. Mama memejamkan mata, dengan hati berzikir menyebut nama Allah, moga kesakitan ini akan lenyap dengan mengingati Allah…


Tanpa mama ketahui jam berapa, mama terlena sepanjang malam dan mama dikejutkan dengan mimpi bertemu ayah. Wajah ayah muncul dalam mimpi mama dalam keadaan yang sungguh bercahaya dan tampak tenang. Mama sangkakan ayah pulang….tapi dalam mimpi tersebut ayah hanya tersenyum tanpa sebarang bicara. Mama terus terjaga dan melihat jam pada telefon bimbit mama, Ya Allah…sudah pukul 4.00 pagi! Mama bergegas bangun kerana mama belum solat Isyak. Dengan sedikit waktu yang ada selepas solat Isyak, mama bertahajud dan bertarawikh. “Ya Allah, dengan berkat bulan Mu yang mulia ini, selamatkan suamiku dan jauhi dia dari sebarang penyakit dan musibah. Sampaikan rindu dan kasihku padanya dan jika ditakdirkan antara kami ada yang pergi dulu, temukan kami kembali di akhirat sana Ya Allah, Tuhan yang menyatukan hati….”


Alhamdulillah, syukur sangat mama bila kesakitan yang dirasai sudah hilang dan badan mama pun sudah hilang panasnya. Ya Allah..sihatkan tubuh badanku untuk terus beribadat kepadaMu, jangan kau timpakan aku dengan ujian yang tidak mampu aku pikul.. Dengan rahmatMu ya Allah, temukanlah aku dengan malam lailatul qadr, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan”


Hari ini mama lalui dengan penuh kesyukuran atas kesihatan yang Allah berikan. Malam ini juga mama dapat bertarawikh seperti biasa di Surau Ad- Diniyyah serta bertadarus seperti malam-malam sebelumnya. Cuma malam ini ada kelainan sedikit. Oleh kerana semua kumpulan tadarus sudah menghabiskan bacaan yang ditetapkan, sahabat-sahabat Muslimat ini akan melihat dan memperbetulkan bacaan kumpulan Tadarus kanak-kanak pula. Bahagia sungguh mama berada dalam komuniti ini, penuh kekeluargaan dan menitik beratkan soal didikan anak-anak. Walaupun tak semua, tetapi usaha untuk ke arah itu jelas terpamer. Mama mendengar bacaan dari seorang anak bernama “Dayah”. Alangkah indahnya, jika tika ini mama turut mempunyai anak perempuan…. “Ya Allah kurniakan aku zuriat yang soleh solehah yang bisa menjadi pembela agama Mu kelak..”


Malam ini mama dan Auntie Iza balik sedikit awal. Auntie Iza tidur awal dan mama masih berjaga untuk menyiapkan tugasan sekolah mama. Mungkin malam ni, mama tak tidur… Ada sesuatu mama mahu buat… demi mencari cinta hakiki, kasih sejati.. Mama risau mama tak sempat untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Jika itu takdiran mama, mama redha..tetapi mama mesti bersedia. “Ya Rabbul ‘Izzati…terimalah segala amalanku Ya Allah.. jangan Kau campakkan kembali ia seperti kain buruk. Sesungguhnya aku terlalu hina Ya Allah…lebih hina daripada sampah.. Matikan aku dengan pengakhiran yang baik, matikan aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu, matikan aku dalam keredhaan suami dan ibu bapaku, matikan aku dalam keredhanMu dan Rasulullah SAW insan mulia….”


20 Ramadhan 1429

No comments: